Oleh : Nik Zafri (Mei, 2007)
Atas permintaan ramai peminat dan pembaca, berikut adalah antara pautan-pautan penting bagi usahawan-usahawan memerlukan bantuan kewangan dalam bentuk geran atau pinjaman/pembiayaan.
Pautan-pautan URL yang saya letakkan di sini adalah antara agensi-agensi/institusi-institusi kewangan (kerajaan/swasta) yang jarang diketahui oleh bakal-bakal usahawan terutamanya golongan muda.
Kebanyakan isi kandungan pautan-pautan ini adalah dalam Bahasa Inggeris.
Walaubagaimanapun, masih terdapat lain-lain pilihan permohonan pinjaman/pembiayaan seperti MARA, TEKUN, PROSPER dan sebagainya (atau terus menghubungi bank-bank/institusi-institusi kewangan) yang tidak saya letakkan di sini kerana umumnya ramai yang telah mengetahui akan kewujudan agensi-agensi/skim-skim ini.
Sebelum pembaca melawat pautan-pautan ini, suka saya mengingatkan pembaca/bakal usahawan akan perkara-perkara berikut :
a) Pastikan pembaca/bakal usahawan menentukan apakah jenis perniagaan atau industri dan saiz (SMI/IKS dll). perniagaan selaras dengan jumlah geran atau pinjaman/pembiayaan yang bakal dipohon. Kesilapan yang sering berlaku ialah memohon jumlah yang tidak selaras dengan saiz atau jenis industri yang bakal diceburi.
b) Pastikan pembaca/bakal usahawan mempunyai pengetahuan, kelayakan dan pengalaman yang secukupnya sebelum menceburi apa-apa jenis perniagaan dan industri. Dapatkan input daripada perunding atau pakar atau rakan-rakan yang mempunyai pengalaman yang lebih lama dalam perniagaan/industri berkenaan. Kesilapan yang sering berlaku ialah kegagalan perniagaan/industri disebabkan kurang pengetahuan mengenai sistem, operasi dan pelaksanaan.
c) Kepentingan/Objektif utama permohonan geran atau pinjaman/pembiayaan adalah untuk perniagaan dan industri yang bakal diceburi. Kesilapan yang sering berlaku ialah apabila kelulusan diberikan, wang terus digunakan untuk 'menutup lubang' (hutang) yang besar. Jika ini berlaku maka aliran tunai perniagaan/industri akan mengalami kegagalan dalam tempoh yang pendek. Apatah lagi, jika wang itu tidak digunakan untuk perniagaan/industri sebagaimana permohonan asal.
d) Dalam membuat kertas kerja, pastikan pembaca/bakal usahawan memberikan keterangan yang benar dengan data, analisa atau bukti yang mencukupi. Kesilapan yang sering berlaku ialah apabila terlalu banyak haipotesis (kumpulan teori-teori) digunakan terutamanya pada bahagian 'Pemasaran'. Trend kini menunjukkan bahawa kebolehupayaan perniagaan/industri (business viability) merupakan satu bentuk 'cagaran' yang penting dan akan dinilai oleh panel pemberi pinjaman/pembiayaan atau geran. Kesilapan yang sering berlaku ialah meletakkan cagaran berbentuk aset semata-mata tanpa mengambilkira kebolehupayaan/jangkahayat perniagaan berkenaan. Atau memasukkan sejumlah wang dalam akaun bank syarikat bagi menunjukkan 'penyata bank yang baik' kepada pihak pemberi pinjam. Kemudian, wang itu dikeluarkan selepas menerima penyata. Perkara ini perlu dielakkan kerana trend menunjukkan bahawa bukanlah jumlah wang yang ada dalam bank yang diambilkira tetapi corak pergerakan 'turnover' (keluar masuk) wang berkenaan bagi tempoh tertentu.
'Turnover' ini perlu dibuktikan dengan data yang mencukupi seperti terdapatnya Pesanan Belian (PO), Invois dsb. Pembaca/bakal usahawan juga perlu cuba mendapatkan surat-surat sokongan/surat niat dari bakal pembekal, bakal pelanggan, institusi kewangan (surat niat kemudahan kredit) dsb. bagi menggambarkan viabiliti dan jangkahayat perniagaan berkenaan.
Setidak-tidaknya cubalah buat tinjauan dan penyelidikan yang mencukupi dalam perniagaan/industri yang bakal diceburi.
Banyak di antara pautan-pautan berikut juga memberikan sampel atau contoh kertas kerja atau pelan perniagaan termasuk proses-proses/kriteria-kriteria yang perlu difahami dan diperlukan oleh agensi pemberi pinjaman/pembiayaan atau geran.
Walaubagaimanapun, perlu saya nyatakan bahawa saya tidak ada sebarang kepentingan atau kaitan secara professional dan peribadi dengan agensi-agensi yang disebutkan di bawah ini. Tetapi, sekiranya pembaca/bakal usahawan memerlukan panduan-panduan lain/info. lain, sila e-mel kepada saya.
MALAYSIAN VENTURE CAPITAL (MAVCAP) - CRADLE INVESTMENT PROGRAM
Geran diberikan untuk perniagaan ICT, bioteknologi dan lain-lain industri yang berkaitan. Program ini juga membuka peluang kepada idea-idea baru untuk diperuntukkan geran. Usahawan juga dikehendaki mendaftar secara talian selain digalakkan/diwajibkan menyertai kursus-kursus yang disediakan.
http://www.cradle.com.my/cms/index.jsp
Artikel/Bahan Menarik Panduan Penulisan Ringkasan Eksekutif Panduan Pemerosesan Permohonan Carta Alir Proses Permohonan
MALAYSIAN DEBT VENTURES
Objektif Pinjaman/Pembiayaan diberikan adalah hampir sama dengan apa yang diperuntukkan oleh MAVCAP
http://www.debtventures.com
Dokumen-Dokumen Carta Alir Proses Permohonan
SMIDEC
Objektif Geran dan Pinjaman/Pembiayaan diberikan untuk IKS yang berpotensi. Usahawan juga dikehendaki mendaftar secara talian.
http://www.smidec.gov.my/checkgrantdataservlet?hdAction=grant
CREDIT GUARANTEE CORPORATION (CGC)
CGC mempunyai 6 Skim Utama iaitu Laluan Terus, Usahawan Kecil, Perbankan Islam, Anjal, Francais dan ENHANCER. Ianya berbentuk pinjaman/pembiayaan di mana CGC adalah badan yang memberikan jaminan kewangan dan syor kepada pihak bank bagi meluluskan pinjaman/pembiayaan berdasarkan kertas kerja/pelan perniagaan yang dinilai. Usahawan
juga dikehendaki mendaftar secara talian selain digalakkan/diwajibkan menyertai kursus-kursus yang disediakan.
http://www.iguarantee.com.my/iguarantee/index.htm
TECHNOPRENEUR
Technopreneur adalah satu inisiatif MDeC/MSC (Perbadanan Multimedia (Cyberjaya) - Koridor Raya Multimedia) untuk meluluskan geran khusus kepada usahawan ICT yang berpotensi. Terdapat juga maklumat berkenaan permohonan status MSC.
http://www.technopreneurdevelopment.net.my/cms/AllProduct.asp?CatID=122
No comments:
Post a Comment