Tujuan saya memaparkan kisah ringkas ini bertujuan untuk memberikan sedikit 'terapi minda' kepada rakan-rakan saya di luar sana yang masih belum dapat pulih sepenuhnya dari kisah 1997. Saya faham mungkin ada di kalangan sahabat-sahabat saya tidak mahu membaca malah tidak mahu lagi bergiat dalam pelaburan saham kerana trauma yang dialami. Namun, saya nasihatkan rakan-rakan supaya jangan putus asa, kita boleh sama-sama menjadi penasihat kepada pelabur-pelabur baru yang ada pada masakini.
Senario :
Apabila saya menjual atau membeli saham tanpa membayar harganya, ini dikenali sebagai kontra. Di sini, kita perlu menjual saham selepas tempoh "matangnya" di mana saya perlu membayar perbezaan di antara harga jualan dan belian. Ketika itu saya menggunakan broker untuk membayar perbezaan ini.
Senario : Contohnya : Saya membeli 1 lot saham "AAA" pada harga RM5.00 pada hari Selasa (T+0) Beberapa hari (T+3) kemudian pada hari Jumaat, saya menjual lot bekenaan contohnya pada harga 5.20 pada T+3, untung kasar (sebelum ditolak kos broker) adalah RM5.20 - RM5.00 *2 lot* = 1000 saham=RM400 (1 lot=1000 saham) dan saya tidak perlu menjelaskan kos belian 2 lot AAA di mana sebelum yuran broker ialah RM5 *2 lot* 1000 saham = RM10,000.00. Ketika itu saya merasakan tindakan saya adalah bijak kerana saya mempunyai dana secukupnya bagi menampung risiko kerugian namun saya tidak begitu melihat tanda-tanda dari luar negara yang menunjukkan pasaran saham akan jatuh merudum.
Apa yang berlaku kemudiannya ialah, saya menjual 2 lot AAA pada harga RM4.80, dan menjelaskan kerugian kerana harga jualan adalah rendah dari belian. Oleh sebab itu, harga belian sebelum ditolak yuran broker ialah RM5 - 4.80 * 2 lot * 1000 saham = RM - 400. Ketika itu saya masih mempunyai dana sokongan, namun pada suatu ketika T+3, harga AAA jatuh ke RM3.50, maka saya tidak mempunyai pilihan kecuali menjualnya pada harga berkenaan.
* Senario ini adalah contoh - bayangkan kerugian yang saya alami jika dikalikan dengan membeli 20 lot (malah lebih dari itu)
Kontra; risikonya; amat tinggi terutamanya apabila pergerakan pasaran yang tidak dapat dijangka dan anda tidak cukup dana untuk membayarnya - jadi kerugian sebelum ditolak yuran broker ialah RM5 - RM3.50 *2 lot* 1000 saham = RM3000.00 dan ini boleh menyebabkan anda berada dalam keadaan kritikal apabila tidak dapat membayarnya.
Juga amat penting kita melihat apa yang berlaku di luar negara, contohnya; walaupun sudah terdapat internet ketika itu - namun penggunaannya agak terhad sedikit berbanding masakini; saya telah mendengar kisah di internet, rakan-rakan pelabur memaklumkan sedang berlaku trend "jualan pendek" (Short Selling) secara besar-besaran hasil permainan spekulator bagi pelabur mendapat keuntungan dari harga yang sedang jatuh bagi saham yang harganya berada pada paras yang luarbiasa tingginya. Ketika itu 'saham AA' ditinggikan nilainya (overvalue) pada (contohnya) 25 pound (yang pastinya akan jatuh harganya) - kemudian ianya dijual pada harga 25 pound walaupun pelabur tidak memiliki sebaran unit saham AA. Apabila saham AA jatuh ke harga 20 pound, pelabur telah membeli stok berkenaan bagi menyelesaikan dagagannya dan mendapat keuntungan 5 pound sesaham. Bezanya apabila harga saham AA melambung ke 30 pound, pelabur telah kerugian 5 pound sesaham bagi membeli saham AA untuk menyelesaikan tanggungjawab dagangannya.
Inilah yang dilakukan oleh seorang spekulator matawang (dan pernah dilakukannya di sebuah Bank terkenal di UK sehingga bank berkenaan hampir muflis) yang kemudiannya spekulator berkenaan tidak mengaku bahawa dialah yang bertanggungjawab.
Pelajarannya di sini ialah, kita mesti faham bahawa nilai matawang dunia masih mempunyai kaitan secara asimetri dengan pelaburan saham.
Negara kita bernasib baik kerana Bursa Malaysia (ketika itu BSKL) dengan panduan dari YAB PM ketika itu, Tun Dr. Mahathir telah mengharamkan "Regulated Short Selling" dan Pinjaman Sekuriti sehari selepas hari jadi saya iaitu 5 September, 1997. Juga apabila USD diikat dengan RM pada harga RM3.80 = USD 1 Dollar (pegging) Tindakan bijak ini telah berjaya menyelamatkan ekonomi negara.
Namun, kerugian kontra saya ketika itu terlalu besar menyebabkan habis semua aset saya terpaksa saya jual. Ramai juga pelabur-pelabur (kebanyakannya rakan-rakan saya) yang menjadi hampir 'mereng' disebabkan situasi ini. Sehingga kini, saya masih belum dapat pulih sepenuhnya walaupun keadaan kewangan saya semakin stabil.
(Setelah negara kita kembali stabil, sekitar tahun 2006, Bursa Malaysia Security Berhad telah memperkenalkan kembali RSS dengan pemantauan yang amat jitu terhadap sebarang "jualan pendek" yang dilakukan)
Apa yang saya cuba paparkan di sini ialah :
a) Apabila kita melabur dalam pasaran saham; walaupun jualan kontra dan jualan pendek luarbiasa masih dalam kawalan; kita harus mempunyai dana yang mencukupi dan dirancang dengan teliti. Dana ini bukan sahaja untuk menampung sebarang kerugian yang tidak dijangka tetapi juga dana-dana untuk simpanan peribadi, keluarga, dll.
b) Kita juga perlu melabur dalam instumen-instrumen lain seperti 'unit trust' dsb. - dapatkanlah nasihat pakar.
c) Kita mestilah mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang pelaburan, jangan letakkan tanggungjawab hanya ke atas broker semata-mata - juga berhati-hati dalam memilih broker.
d) Kita mestilah peka kepada keadaan sekeliling kita termasuk pergerakan saham dunia tetapi kita mesti tahu membezakan antara khabar angin dan mengenali siapakah spekulator.
e) Jangan cepat terpengaruh dengan cara rakan-rakan melabur walaupun kita melihat rakan-rakan kita itu ada rumah besar, kereta besar, perabut mahal, gayahidup mewah dsb. Kemungkinan cara rakan-rakan kita melabur itu menggunakan cara-cara yang berlawanan dengan undang-undang termasuk adanya unsur-unsur skim cepat kaya yang berlindung di belakang "FOREX", "Saham syarikat besar" dsb.
f) Negara kita masih perlu berhati-hati; walaupun perundangan kita agak ketat; supaya mengawal 'liberasi' terhadap syarikat kewangan/pelaburan asing di Malaysia, liberasi pembelian aset di Malaysia, taraf perintis perlu dilihat kembali sesuai dengan keadaan semasa, pergerakan matawang dunia, imbangan impot dan ekspot dll.
Apa yang saya lihat hari ini, kita perlu bersedia dengan kemungkinan menangkis 'serangan cara lain dan halus' ke atas ekonomi negara. Cabaran yang bakal kita hadapi sangat berbeza dengan cabaran yang saya hadapi pada tahun 1997.