AL-FATIHAH - kepada anak-anak tahfiz yang terkorban, mudah-mudahan dikurniakan pahala syahid marakah dan memasuki syurga tanpa hisab..Amin...
Sekalung takziah juga kepada ibubapa dan saudara-mara serta para sahabat mangsa. Semoga redha dengan takdir Allah SWT dan semoga beroleh kebaikan dan dapat kita sama-sama menghayati hikmahnya.
Selamat Hari Malaysia juga diucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama atau di mana juga berada.
Kesimpulannya tragedi ini perlu melihat kepada 5 isu utama :
a) FAKTOR AGAMA/KEROHANIAN - memberikan anak-anak perkhidmatan pendidikan tahfiz akan mendapat ganjaran dunia dan akhirat berlipatkaliganda. Kesedaran ibubapa mengenai pentingnya menghayati agama menerusi Al-Qur'an sudah mula bercambah dan perkara ini perlukan sokongan yang padu - kerana ini juga salah satu cara pencegahan anak-anak kecil dari terdedah kepada unsur-unsur yang tidak baik seperti isu moral terutamanya premis yang diuruskan di tengah-tengah bandaraya.
b) FAKTOR PERUNDANGAN, KUALITI, KESELAMATAN/KESIHATAN PEKERJAAN DAN PENGURUSAN ALAM SEKITAR - hak anak-anak dan pengurusan untuk mendapat perlindungan dan keselamatan (termasuk isu sabotaj/khianat kerana isu sabotaj/khianat JUGA adalah isu "security" yang termasuk dalam HSSE (Health, Safety, SECURITY and Environment) dan Kualiti) mengikut lunas perundangan dan sememangnya dituntut oleh Islam (sebahagian daripada usaha ikhtiar)
Utamanya perhatian perlu diberikan ialah : apabila berlaku tragedi seumpama ini, LANGKAH PENCEGAHAN, PENGENALPASTIAN RISIKO SECARA PROAKTIF/MITIGASI bagi memastikan tragedi ini tidak berulang lagi atau dapat diminimakan.
Antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah : Latihan/Induksi/Fire Drill (keutamaan), Perundangan, Penguatkuasaan, Akses dan Pelan Lantai, Penilaian Bangunan, penentuan "Assembly Point", Pelan Kecemasan Kebakaran/Bencana Alam termasuk "sabotaj", pemadaman api, pemeriksaan berkala, pencegahan menerusi alat pengesan kebakaran/asap/kebocoran gas, pendawaian elektrik, penggunaan mesin/janakuasa dll, CCTV, KAWALAN KESELAMATAN seperti di IPT dsb.(lihat faktor (e) - semuanya ini perlu mengambilkira dalam fasa rekabentuk, tender, pembinaan, pasca-pembinaan dan penyerahan tapak. Susulan pemantauan perlu juga dilakukan semasa premis itu beroperasi.
Saya juga mengharapkan agar jangan segera menutup premis-premis yang berorientasikan kebajikan sekiranya terdapat perlanggaran undang-undang dan piawaian, sebaliknya berilah nasihat dan pengusaha premis-premis seumpama ini perlu bersikap terbuka terhadap perkara ini.
Selain itu, kaunseling professional perlu diberikan terhadap mangsa-mangsa kebakaran yang mungkin mengalami trauma terhadap kejadian ini.
c) FAKTOR KEMANUSIAAN - orang ramai terutamanya umat Islam yang dipelopori oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Rasmi Negara dengan sokongan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Mufti, Ulama dan mereka yang ingin menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) perlu membantu dana tahfiz dan mereka yang memerlukan (asnaf - anak yatim - fakir miskin - mereka yang tiada tempat tinggal - rumah orang-orang tua dll seumpamanya)
Di sini kerajaan perlu mempertimbangkan lebih pelepasan cukai dari kadar yang ada sekarang untuk menggalakkan sumbangan diberikan dan sampai ke sasaran. Saya pasti Lembaga Zakat di seluruh Malaysia dapat membantu untuk memastikan dana pengusaha ini mencukupi.
d) FAKTOR POLITIK - secara negatifnya, isu ini jangan dipolitikkan, jangan diapi-apikan (kerajaan perlu mengambil tindakan tegas atas mereka yang menghasut tetapi bertopengkan agama) dan jangan pula ada kisah-kisah bantuan yang tidak sampai ke sasaran. Secara positifnya, semua ahli politik (tidak kira mana-mana parti) perlu membawa isu ini ke peringkat Parlimen untuk diperdebatkan.
Saya pasti isu ini akan dipersetujui secara majoriti tidak mengira parti dan perhatian akan segera diberikan dengan mengambilkira faktor (a) - (c) dan (e) di atas dan point berikutnya.
Saya juga mengharapkan pihak berkuasa seperti SPRM memainkan peranan yang lebih baik dalam memantau kemungkinan berlakunya rasuah dalam kelulusan bangunan termasuk dalam fasa pembinaan. (lihat faktor (e)
e) FAKTOR PERNIAGAAN - Kita tidak boleh nafikan wujudnya sesetengah premis yang membantu anak-anak yatim, fakir miskin, asnaf dan tahfiz sesetengahnya mengenakan caj yang sangat tinggi. Walaupun ada sebab-sebab tertentu seperti penggajian kakitangan dan tenaga pengajar termasuk kos tanggungan elektrik, air, internet, penyediaan kemudahan/infrastruktur/sumber/makan-minum dll., maka di sinilah faktor (c) perlu memainkan peranan yang amat besar.
Pihak berkuasa juga saya minta; walaupun syarat perlu diperketatkan; agar tidak mengenakan caj yang tinggi termasuk memberikan pelepasan cukai (bukan sahaja pada penderma), pengusaha-pengusaha, kontraktor, perunding dll seumpama ini kerana mereka melakukan pekerjaan yang amat mulia sekali.
Semua pihak juga saya nasihatkan agar tidak mengambil peluang untuk "berniaga" sebaliknya membantu secara ikhlas - niat kita ialah "membantu menyelamatkan nyawa" secara proaktif - saya pasti usaha murni kita akan mendapat perhatian ramai dan sudah tentu ada insentifnya nanti.
Yang pastinya, seruan dari rakyat Malaysia termasuk saya ialah memberikan hukuman yang paling berat setelah terbukti mensabotaj/mengkhianati sehingga menyebabkan kebakaran dan kematian.
Pihak berkuasa yang berkenaan juga perlu memastikan penguatkuasaan yang tinggi terhadap pengedaran/penyeludupan/penyalahgunaan dadah kerana ianya telah melanda anak-anak muda kita pada hari ini.
----------------------
Elak sikap ‘bina dulu, mohon kemudian’
Oleh : Mohd. Yusof Ahmad - 17 September 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 16 Sept. – Niat untuk menubuhkan pusat pendidikan tahfiz perlu diiringi dengan usaha untuk memenuhi semua syarat ditetapkan pihak berkuasa terutamanya berkaitan keselamatan tempat yang hendak didirikan sekolah tersebut.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, kesedaran dalam kalangan orang ramai yang mahu mendirikan pusat pengajian seperti itu harus dipuji tetapi ia belum mencukupi sebelum beberapa faktor tertentu diambil kira berkaitan cara ia beroperasi.
Justeru itu katanya, sikap ‘bina dulu dan mohon kebenaran kemudian’ patut dielakkan oleh mereka yang berhasrat menubuhkan pusat pendidikan persendirian.
"Seperti yang kita tahu, pusat pendidikan agama seperti tahfiz tumbuh macam cendawan sama ada oleh secara berkumpulan atau secara individu. Kadang-kadang kurang daripada 10 pelajar pun sudah mahu tubuh pusat tahfiz.
"Kesedaran ini kita puji tetapi pengendali masih perlu patuh kepada syarat-syarat pihak berkuasa terutamanya berkaitan keselamatan pelajar dan kita tidak boleh hanya berharap semua itu akan dapat diatasi selepas kita tubuhkan dulu sekolah ini," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Tahfiz Darul Ulum, Negeri Sembilan yang dirasmikan Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah hari ini.
Yang turut hadir Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Kamal Amran Kamaruddin; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Selamat Paigo dan Pengerusi Akademi Darul Ulum, Mustaffa Daharun.
Semalam, seramai 21 pelajar dan dua orang warden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Datuk Keramat di ibu negara, maut selepas terperangkap dalam tragedi kebakaran asrama.
Dalam pada itu Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid mengingatkan ibu bapa supaya emilih pusat tahfiz yang menawarkan kemudahan pembelajaran yang selamat untuk anak-anak dalam mempelajari ilmu akhirat kerana menjaga keselamatan diri itu juga dituntut dalam Islam.
Menurutnya, dalam menuntut ilmu, prasarana dan keselamatan anak-anak di tempat belajar perlu diambil kira.
Malah katanya, ibu bapa juga diingatkan supaya tidak hanya memikirkan syafaat menghantar anak mempelajari ilmu al-Quran semata-mata, sebaliknya banyak perkara lain yang dituntut dalam Islam termasuk aspek keselamatan.
"Suka diingatkan apabila memilih anak-anak belajar di pusat tahfiz dengan tujuan mendapat ilmu, perkara utama yang perlu difikirkan adalah kemudahan-kemudahan yang disediakan.
"Pilihlah tempat yang lebih efisien serta menjamin ketenteraman (keselamatan) anak-anak untuk mengejar ilmu akhirat," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pusat-pusat tahfiz di negara ini perlu memperbaiki kemudahan yang ditawarkan serta mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Katanya, perkara tersebut yang juga meliputi aspek keselamatan adalah dituntut dalam Islam.