Nota/Penafian : Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis sebagai berkongsi pengalaman kembali (setelah jatuh) membuat pelaburan di pasaran saham.
Kita sering melihat rancangan, segmen berita, wawancara dan lain-lain yang memaparkan perangkaan yang menunjukkan pembetulan dalam pasaran (market correction) tetapi adakah ini satu perkara yang penting perlu kita ketahui?
Saya melihat perubahan mendadak dalam cara kebanyakan penganalisa atau peramal pasaran mencuba sedaya-upaya untuk meramal pasaran saham. Apabila saya meneliti setiap komen, analisa, ramalan yang diberikan – kebanyakannya (bukan semua) – tidak pasti dan sifat ‘playsafe’ atau ‘tunggu dan lihat’ – menjadikan semua pendapat yang diberikan hanyalah teori semata-mata.
Izinkan saya berkongsi sedikit pandangan holistik saya mengenai pasaran saham dan kenapa saya bertanggapan bahawa percubaan untuk meramal pergerakan pasaran saham kadangkala membazir masa dan sumber.
Pertama – kenaikan dan penurunan pasaran saham. Ini kerana pasaran adalah di mana ‘pembeli dan ‘penjual’ bergabung. Apabila terdapat ramai ‘penjual’ dari ‘pembeli’, maka harga akan turun. (apabila 'pembeli' ramai dari 'penjual', maka harga saham akan melambung tinggi)
Sebabnya : Dari pengalaman saya sendiri, saya melihat, kadangkala pelabur lebih dipengaruhi perasaan berbanding dengan logik. Apabila bertindak mengikut perasaan, maka pasaran akan menjadi tidak stabil. Maka sebarang ramalan akan menjadi buntu. Sebaliknya jika pelabur bertindak secara logik, maka pasaran juga berpotensi menjadi stabil.
Kedua - Menghabiskan masa terlalu lama di hadapan skrin untuk meramal pergerakan pasaran saham kadang-kadang boleh dianggap sebagai ‘membazir masa’. Adalah lebih baik, kita tumpukan 80% dari masa berkenaan dengan membaca bahan-bahan yang menambahkan pengetahuan pelaburan dan 20% diberikan terhadap skrin.
Ketiga - Pelabur berpengalaman akan tahu bahawa trend sering menunjukkan bahawa bulan Ogos, September (terutamanya September) atau Oktober, akan berlaku sesuatu yang mampu mengubah pergerakan saham, antara lain ialah :
- Peperangan (terutamanya peperangan yang berlaku secara mengejut)
- kesan asimetrik yang berasal dari luar negara (negara yang dipanggil ‘negara maju’) yang mengalami hutang negara yang sangat besar atau kadar faedah Rizab Persekutuan menjadi terlalu tinggi)
- kadar pengangguran yang sangat tinggi (tandanya : apabila pembayaran gratuiti atau bonus pada 2-3 bulan sebelumnya ‘terlalu tinggi’)
- kenaikan sumber tenaga secara mendadak, seperti petroleum dan diesel (minyak mentah termasuk minyak tanah) - apa yang ganjil ialah fenomena ini diikuti dengan kenaikan bahanapi yang lain seperti arangbatu, hidro dll TERMASUK alternatif seperti minyak sawit dan tenaga solar (saya pun hairan kenapa? - tetapi saya seperti bersedia untuk menghadapi suasana berkenaan)
- kenaikan harga barang makanan secara tiba-tiba, (tidak semestinya kenaikan barangan terkawal seperti gula dan minyak masak sahaja)
- kenaikan kos sara hidup (Contohnya kenaikan nilai hartanah selaras dengan kedatangan pelabur asing)
- nilai projek contohnya pembinaan yang dijalankan terlalu tinggi dari kebiasaan (mungkin pelabur terkejut, jika saya katakan bahawa, nilai projek yang tinggi BUKAN disebabkan oleh kenaikan harga bahan binaan tetapi kerana faktor dalaman seperti pembaziran, kerosakan yang tinggi tanpa kawalan, kemalangan di tempat kerja dan juga rasuah!)
Dan banyak lagi tanda-tanda lain – ada juga trend yang berlaku secara domestik (dalam negara) dan bukan berasal di peringkat antarabangsa.
Hal-hal yang disebutkan di atas juga menyebabkan pasaran menjadi ‘volatile’. Maka pelabur kadangkala banyak bergantung kepada maklumat dalam internet dan tidak lagi memeriksa kesahihan maklumat berkenaan.
Kadangkala ada maklumat yang bermotifkan spekulasi untuk memanipulasikan psikologi pelabur bagi menjual atau membeli (berawaslah)
Pendekata, tidak ada sebarang pelaburan yang boleh dikategorikan sebagai ‘sempurna’. Ianya bergantung kepada proses dan kebarangkalian.
Sebenarnya, salah satu faktor kejayaan saya sendiri (secara peribadi) ialah semua sumber yang pernah saya pelajari atau rujuk perlu digabungkan dengan pengalaman saya sendiri. Dengan kata lain, saya sendiri mencipta teknik pelaburan yang tersendiri dan tidak terlalu bergantung kepada bahan-bahan yang ‘bersepah’ di internet atau mengharapkan analisa dan ramalan pasaran pakar.
Apa yang penting kepada saya ialah meninggikan kebarangkalian untuk mengambil tindakan yang betul (kerana saya juga tidak kebal dari melakukan kesilapan). Tindakan yang betul ‘berulangkali’ akan meninggikan lagi kebarangkalian untuk saya meraih keuntungan berbanding berulangkali tindakan yang silap akan meninggikan kebarangkalian saya mengalami kerugian yang besar.
Jika diperhatikan betul-betul, semuanya bergerak dalam satu kitaran. Ada yang naik dan ada yang turun (begitulah sebaliknya)
Setiap kali adanya ‘bullish’, maka ianya akan diikuti dengan ‘bearish’. Begitulah sebaliknya.
Setiap kali berlakunya pembetulan (correction), maka akan datang pemulihan (recovery)
Walaubagaimanapun, bukan perkara yang senang untuk meramal dan mengawal pasaran saham. Ramai yang kecewa apabila perkara ini berlaku.
Tetapi yang pasti, pasaran saham adalah peluang keemasan untuk menjana pendapatan sekiranya pelabur menggunakan teknik dan strategi pelaburan yang ‘matang’ (persediaan untuk ‘untung dan rugi’ dalam pelaburan)
Jangan terlalu beranggapan bahawa pasaran saham merupakan cara ‘rahsia’ untuk menjadikan anda seorang yang kaya kerana ‘cita-cita’ itu kadangkala akan menjadi ‘illusi’ dan anda pasti kecewa melihat hasilnya. Jika anda beranggapan begini, maka anda juga menjadikan diri anda sebagai ‘spekulator’ dan anda setaraf dengan mereka yang berjudi atau menikam loteri.
Pasaran saham bukan tempat spekulasi atau perjudian – ianya adalah perniagaan yang mempunyai ‘untung dan rugi’ dan bukannya ‘untung’ semata-mata atau ‘rugi semata-mata'