Jawapan : Pentingnya sistem ialah untuk memastikan dan meningkatkan lagi tahap keselamatan, kesihatan, persekitaran dan kebajikan pekerja terjaga.
SOALAN 2. Adakah dokumentasi itu penting?
Jawapan :
Jika ianya dapat menyelamatkan nyawa, maka dokumentasi itu penting, tetapi ianya mesti disusuli dengan pelaksanaan. Maka saya berpendapat, dokumentasi dan pelaksanaan adalah sama pentingnya.
Jika kita masih beranggapan bahawa dokumentasi itu terlalu membebankan, maka matlamat untuk mencapai satu sistem yang bertulis sebagai bukti pelaksanaan tidak akan tercapai.
SOALAN 3. Bagaimana nak memastikan semua orang faham mengenai pentingnya menjaga keselamatan, kesihatan dan penjagaan alam sekitar?
Jawapan :
- Komitmen ikhlas dan sepenuh-hati dari pihak pengurusan tertinggi.
- Delegasi tugas yang betul kepada orang yang betul.
- Komunikasi perlu berkesan dan mesej "suci" ini sampai sehingga kepada peringkat kakitangan sokongan mahupun buruh/pekerja.
- Latihan dan pembangunan secara berterusan.
SOALAN 4. Kenapa keselamatan, kesihatan dan pengurusan alam sekitar terabai?
Jawapan : Mengikut pengalaman saya - ada 3 unsur sahaja, pertama - sistem, kedua - pelaksanaan, ketiga - sikap :
- sifat menghafal dan bukannya memahami. Jika tidak faham,bagaimana nak menghayati serta jadikannya sebagai budaya syarikat?
- Sifat suka menuding jari apabila berlaku insiden dan kemalangan. (Tiada akauntabiliti – rasa dipertanggungjawabkan). Walhal jika mengikut prosedur yang betul (jika ada prosedur), perkara ini boleh diselesaikan mengikut lunas undang-undang. Tidak ada satu pun tempat kerja yang 100% selamat.
- Melakukan kerana terpaksa dan dipaksa. Melaksanakan sistem pengurusan keselamatan, kesihatan pekerjaan dan alam sekitar tidak boleh dilakukan kerana terpaksa, ianya akan menimbulkan lebih banyak masalah lagi.
- 'attitude' perlu betul dalam kita hendak melaksanakan sistem ini. (adopting the right attitude)
Jika awal-awal lagi, kita sudah tanamkan pemikiran negatif umpamanya "sistem ini menyusahkan" dan seumpamanya, maka kita perlukan bantuan professional.
- Mengukur keselamatan, kesihatan dan pengurusan alam sekitar menerusi satu perspektif yang sempit – contohnya dengan hanya adanya peralatan perlindungan diri (PPE), maka keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta alam sekitar telah pun terjaga.
Malah persepsi pemakaian PPE juga perlu difahami dalam 2 kategori:
a) adanya topi keselamatan dipakai untuk mengelak dari objek yang jatuh dari atas.
b) adanya topi keselamatan juga dapat menyelamatkan nyawa
Faktor-faktor lain ialah :
- Takut untuk berbelanja lebih bagi meningkatkan tahap keselamatan kerja.
- Tindakan menangani insiden dan kemalangan tidak bertepatan dengan undang-undang. Ini termasuklah "cuba menutup" kes-kes kematian, kecederaan parah dari pihak berkuasa dsb.
- Meletakkan kesalahan hanya kepada Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
SOALAN 5 : Kenapa perlunya Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan?
Jawapan :
Keselamatan, Kesihatan Pekerjaan dan Pengurusan Alam Sekitar bukan kerja perseorangan tetapi ianya adalah kerjasama dalam satu pasukan.
Perlu ada sesi bertukar-tukar pendapat, mengikut kepakaran dan pengalaman dalam bidang/jabatan masing-masing demi keselamatan, kesihatan dan pengurusan alam sekitar sesebuah organisasi.
Jangan hanya serahkan semua tanggungjawab kepada Pegawai atau Pengurus HSE sahaja. Inipun salah juga...
SOALAN 6. Adakah Penilaian Suasana Berbahaya, Impak/Aspek dan Risiko itu perlu?
Jawapan :
Penilaian ini perlu dimulakan daripada peringkat perancangan pra-operasi lagi. Sebarang suasana berbahaya, impak/aspek dan risiko perlu dikenalpasti secara proaktif berdasarkan pengalaman terdahulu. Kemudian ianya perlu dikawal semasa penilaian berlaku dan disemak kembali akan keberkesanannya.
Penilaian Risiko tidak sama dengan Pemeriksaan (Inspection) dan Audit.
Pemeriksaan adalah sesuatu yang biasa dilakukan (rutin), audit dan penilaian risiko adalah secara berkala dan berjadual.
Bezanya, penilaian risiko tidak diberikan laporan ketidakpatuhan (NCR) seperti audit dan pemeriksaan.
Penilaian risiko akan mengenengahkan masalah kecil yang berpotensi membawa kepada masalah yang besar jika tidak ditangani secara proaktif. Jika ada masalah besar, maka itu menunjukkan terdapat risiko yang tinggi dalam sesuatu operasi
Setiap masalah diberikan pemarkahannya yang tersendiri. Kesilapan penilai risiko ialah mengeluarkan laporan ketidakpatuhan. Ini boleh menimbulkan kekeliruan.
Tujuan utama Penilaian Risiko ialah untuk menjadi pemangkin dengan mengurangkan trend ketidakpatuhan dalam pemeriksaan dan audit.
Maka jika didapati jumlah NCR masih tinggi (makin bertambah) dalam pemeriksaan dan audit, maka kemungkinan besar pengenalpastian risiko secara proaktif adalah TIDAK TEPAT. Segera lakukan penyemakan kembali.