25 Julai, 2016
Saya bertemu seorang bakal klien yang meminta saya memberikan sebutharga membangunkan dan menaiktaraf sistem dan dokumentasi yang ada sekarang konsisten dengan piawaian versi terkini.
Semasa saya melakukan penilaian jurang, saya dapati perkataan, cartalir, senarai semak, borang dll yang terdapat dalam prosedur, manual, pelan adalah sangat mirip kepada apa yang pernah saya bangunkan pada akhir 90-an. Apabila saya merujuk kepada sistem sokongan yang masih saya simpan, memanglah ianya 'sebiji' macam 'saya punya'.
Memang saya amat mengenali kerja saya dan hasil tangan saya. Apatah lagi terdapat "satu tanda" yang sengaja saya 'embed' kan dan tidak dapat dilihat dengan mata pada sesetengah dokumentasi dan rekod. Nampaknya perunding terdahulu tidak langsung memindanya dan sekadar 'copy & paste'.
Saya membuat penyelidikan sendiri dan mendapati orang yang dipanggil "perunding" oleh klien saya adalah bekas rakan sekerja saya. Mungkin dia telah 'mencuri' format-format saya. Malangnya format itu adalah format 'purba' yang saya tidak gunakan lagi tetapi saya masih mengenali format/templat saya.
Saya memberitahu klien saya mengenai perkara itu. Dia memberitahu saya beberapa perkara yang mengejutkan saya :
a. Si-anu tu selalu sebut nama Encik Nik - dia kata dia kenal dan kononnya Encik Nik lah yang mengajar dia. (dia 'jual nama' saya) Silap saya juga kerana percayakan dia ada menunjukkan "masters" (MBA) dsb.
b. Bila saya (klien) mendapati "sistemnya" kucar-kacir, saya hairan bila mendapat komen-komen yang sangat berat daripada badan persijilan. Lalu saya menamatkan perkhidmatannya dan teringat pula dia ada sebut nama Encik Nik.
Sekarang tembelangnya dah pecah.
Saya menjawab :
a. Memang saya mengenali dia, tetapi dia bukan dalam bidang saya, saya pun tidak sangka dia akan mengambil format-format lama saya, memang banyak kesalahan dalam format tu. Itulah akibatnya bila tidak merujuk kepada saya, kalaulah dia meminta izin, sudah tentu saya akan menunjukajar padanya dan akan memberikan format yang betul.
Tidak perlu ada "masters" pun nak bangunkan dokumentasi. Cuma perlukan pengalaman yang mencukupi dalam membangunkan sistem dokumentasi dan memahami pelbagai industri.
b. Dia telah mengambil dokumentasi sektor pembinaan yang langsung tidak sama dengan sektor perkapalan/'oil & gas exploration'. Sudahlah format yang lama - salah pula industrinya.
Ramai yang beranggapan bidang saya ini bidang mudah "kerja menaip sahaja". Ini adalah salah satu contoh dari ratusan contoh sistem pengurusan yang gagal kerana dokumentasinya tidak betul.
Saya terpaksa membaiki keseluruhan struktur sistem dokumentasi berkenaan.
Pengajarannya : Jangan curi ilmu, ianya tidak berkat. Duit yang diperolehi pun tidak bersih. Lebih baik ambil masa belajar bersungguh-sungguh. Tidak ada jalan pintas jika mahu berjaya.