1. FOKUS KEPADA 'BEKERJA' DAN BUKANNYA 'BERNIAGA' – mungkin anda sudah terlalu biasa dengan suasana pejabat tempat anda bekerja dahulu. Jadi kerja yang anda lakukan tidak ubah seperti seorang yang ‘makan gaji’. Sepatutnya fokus anda ialah terhadap pembesaran perniagaan dan bukan semata-mata 'bekerja makan gaji'.
2. ANDA MUNGKIN SEORANG 'TUKANG KAYU YANG HEBAT' TETAPI MALANGNYA ANDA TIDAK TAHU BAGAIMANA HENDAK MENJALANKAN 'PERNIAGAAN PERTUKANGAN KAYU' – ini disebabkan anda terlalu fokus kepada menjadi seorang tukang kayu tetapi anda lupa bahawa perniagaan pertukangan kayu menuntut anda untuk mengetahui aspek-aspek lain seperti *bajet, pemasaran, perancangan, operasi, penstoran, pemeriksaan, aspek kepuasan pelanggan dll*. Dengan kata lain, anda terlalu menumpukan perhatian kepada satu aspek kecil operasi semata-mata.
3. TERLALU CEPAT UNTUK BERKONGSI – mungkin anda merasakan anda tidak cukup modal, maka anda membuat keputusan tergesa-gesa mencari seorang rakan kongsi yang mempunyai wang.
Akibatnya perniagaan anda tiba-tiba 'tidak menjadi' – bukan kerana anda tidak bijak tetapi anda membiarkan kuasa wang rakan kongsi anda menguasai perniagaan yang anda sendiri bina.
Rakan kongsi anda sebenarnya beranggapan dia adalah seorang pelabur dan bukannya rakan kongsi. Apabila ada ‘mindset’ seperti ini, maka rakan kongsi anda akan menuntut keuntungan kerana dia akan mendakwa bahawa perniagaan anda tidak akan berdiri tanpa bantuannya.
Sebenarnya contoh perkongsian terbaik ialah apabila anda benar-benar telah mendapat keuntungan yang besar setelah beberapa lama berniaga atau keperluan untuk ‘diversify’. Atau mungkin juga, anda sendiri ingin menjadikan salah satu jabatan anda sebagai ‘profit centre’ untuk ditukarkan menjadi satu entiti perniagaan kerana potensinya yang besar. Ini adalah beberapa contoh bilakah anda memerlukan perkongsian
Langkah yang baik dan selamat ; jika anda belum bersedia berkongsi; adalah mengambil kakitangan yang berpengalaman dalam perniagaan dan dibayar gaji .
4. ANDA MEMULAKAN PERNIAGAAN DARI 'TIADA APA-APA' DAN BUKANNYA MEMBELI PERNIAGAAN YANG SEDIADA - Walaupun anda membuka perniagaan sendiri kerana anda ingin menjimatkan kos tetapi anda lupa bahawa untuk membina perniagaan anda, banyak aspek* yang anda perlu tahu terutamanya untuk pemasaran dan membina reputasi syarikat – ini akan memakan masa yang amat panjang.
Jika anda tidak mengambilkira faktor-faktor sistem pengurusan yang betul, perniagaan anda tidak akan bertahan lama.
Adalah lebih baik anda membeli sebuah perniagaan yang telah sediada dan bina perniagaan berkenaan sehingga berjaya.
5. BERANGGAPAN BAHAWA BILA IDEA TERCETUS MAKA TERBINALAH SESUATU PRODUK DAN PERNIAGAAN AKAN BERMULA - Sebenarnya pandangan ini kurang tepat. Perniagaan yang berjaya bukan bergantung kepada idea atau produk semata-mata tetapi kualiti tenaga kerja dan perkhidmatan.
Tumpukan masa untuk mengambil kakitangan yang benar-benar berpengalaman dan boleh melakukan kerja. Kerana jika anda terlalu ingin berjimat, sudah pasti anda akan membayar gaji yang murah. Hasilnya, walaupun produk anda berpotensi – anda gagal dalam perkhidmatan pembekalan produk dan memenuhi kehendak/kepuasan pelanggan.
6. DUIT ATAU KEUNTUNGAN? – kesilapan banyak usahawan yang baru bermula ialah untuk mendapat duit atau pendapatan yang banyak dalam tempoh yang paling cepat. Ini merupakan pemikiran ‘kuantiti dan bukannya kualiti’ – kurang sabar, pengurusan masa yang tidak teratur dsb. Ini merupakan antara faktor yang paling popular yang menyumbang ke arah kejatuhan sesuatu perniagaan.
Sepatutnya, anda perlu menumpukan untuk mendapatkan keuntungan dan bukannya pendapatan atau duit. Fokus anda ialah kepada pelan perniagaan dan unjuran kewangan. Kesabaran sangat penting kerana walaupun kadangkala memakan masa sedikit tetapi hasilnya sangat memuaskan.
Jika anda tumpukan kepada mendapat duit, maka anda akan risau bila duit anda habis. Sudah menjadi sifat usahawan seumpama ini akan membeli peralatan, automasi pejabat, mesin dsb. yang mahal serta diluar kemampuan. Lebih-lebih lagi apabila lekas ingin mendapat gayahidup 'berjenama dan mewah' - termasuklah tabiat suka 'berjoli'. Maka perniagaan anda hanyalah dibina berdasarkan angan-angan semata-mata.
7. ANDA BERTANDING HARGA SEMATA-MATA - Anda lupa bahawa tujuan perniagaan adalah untuk mendapatkan keuntungan - walaupun pulangannya kecil tetapi margin keuntungan amatlah besar. Ianya akan memanjangkan hayat perniagaan anda daripada ‘pertandingan mengurangkan harga’ yang biasanya tidak menghasilkan keuntungan yang tinggi atau mungkin 'tidak untung langsung'!
8. ANDA TIDAK MENJALANKAN R & D DAN TINJAUAN PEMASARAN YANG LENGKAP – Anda lebih suka berniaga sesuatu produk mengikut trend semata-mata(orang lain buat, kita juga perlu buat).
Perniagaan tanpa R and D dan tinjauan pemasaran yang lengkap pastinya mengakibatkan kerugian kepada perniagaan anda.
9. ANDA MENDAPAT WANG YANG BANYAK UNTUK 'KALI PERTAMA DAN KALI TERAKHIR' – keghairahan anda untuk mendapatkan wang yang banyak sehingga anda lupa bahawa pelanggan anda itu sepatutnya dijaga. Apabila pelanggan anda tidak dijaga, maka dia pasti tidak lagi menggunakan perkhidmatan dan produk anda.
Lebih 'berat' lagi bila pelanggan anda itu menyebarkan kepada pelanggan-pelanggan yang lain akan betapa teruk dan rendahnya kualiti produk dan perkhidmatan anda terutamanya cara anda memenuhi kehendak dan mengendalikan aduan pelanggan.