Saya ingin memohon maaf sekiranya posting ini agak panjang sedikit. Dulu, saya ada mendengar khabar, pihak membuat dakwaan bahawa mereka adalah keturunan Almarhum Syeikh Wan Daud Fathani yang dimaqamkan di Taif dalam Wilayah Mekah. Tidak perlulah saya bincangkan biografi Syeikh Wan Daud Fathani kerana banyak sumbernya di Google.
Untuk perbincangan ini, saya menggunakan beberapa screenshot dari geni kerana untuk menulis silsilah Syeikh Wan Daud secara terperinci amatlah rumit kerana terlalu banyak cabangnya. Saya mempunyai kaitan dengan keturunan yang sama menerusi kedua belah ibu (2 jalur - LImbat) dan bapa saya (1 jalur Besut). Tidaklah niat saya untuk berbangga atau riak kerana ilmu/akhlak saya masih jauh jika nak dibandingkan dengan tokoh ulama yang terkenal ini.
Saya juga tidak meletakkan foto Syeikh Wan Daud dan foto maqamnya di Taif atas sebab-sebab peribadi. Tetapi bagi sesiapa yang mengerjakan umrah/haji, ziarah ke maqam Syeikh Wan Daud Fathani adalah salah satu lokasi penting.
Saya pernah membuat satu penafian am suatu masa dahulu tanpa menyebut nama ulama berkenaan dan nama mereka yang mendakwa bagi tidak mengaibkan sesiapa.
Pagi tadi, saya telah menerima satu mesej dari seorang ahli keluarga menerusi Geni meminta tuliskan secara ringkas silsilah Tok Kaya Ratna Diraja Patani (Wan Yusof) untuk membuat penafian kerana masih ada yang mendakwa dan menghubungkan diri mereka kepada Ulama Nusantara terkenal ini.
Malah ada dakwaan bahawa keluarga/kerabat ini bukan keturunan Bugis atau berkaitan dengan Johor (lihat screenshot - Tun Tija (Wan Tija) binti Datuk Laksmana Kota Tinggi - yang berkahwin dengan Andi/Andik Ali/Faqih Ali)
Datuk Perdana Menteri Nik Mahmud Paduka Raja Kelantan pernah menulis:
“Syahdan dan pada suatu masa bulan sedang mengambang di tepi langit, tersebutlah cerita anak raja Bugis lari daripada saudaranya menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri rumah Laksamana Kota Tinggi, dipanggil Andik Ali.
“Tatkala Laksamana memandang kepadanya berasalah kasihan belas dan dipeliharanya sebagai anak angkatnya sendiri. Tidak berapa tahun kemudian diperjodohkan dengan anaknya Wan Tija. Tidak berapa lama selepas itu Andik Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani menumpang di rumah Mekong Damit Kampung Bira pada tahun 1049 H. Maka kerana lemah lembut tingkah lakunya dan berpelajaran orang di Patani memanggilnya Faqih Ali. Di situ ia beristeri kepada Ce' Dewi anak Sri Biji Diraja. Baginda sampai di Patani kira-kira tahun 1637 M”
Ringkasnya Syeikh Wan Daud Fathani dari jalur ibu dan bapanya adalah keturunan Mujaddid Syed Hussein Jamadil Qubra yang menjadi punca utama kepada keturunan Kesultanan Kelantan termasuk Long Gaffar menerusi perkahwinannya dengan Puteri Linang Cahaya binti Raden Mas Arya/Sultan Baki Shah Kerajaan Chermin.
Dari jalur ibunya - Syeikh Daud Fathani adalah salah seorang cicit Tok Kaya Ratna menerusi jalur ibunya.
Sepanjang yang saya tahu - Syeikh Wan Daud Fathani TIDAK pernah berkahwin dan TIDAK pernah ada zuriat kecuali dari punca adik beradiknya. Elakkan bernasab kepada bukan nasab kita kerana perkara ini dilarang.
Saya harap selepas ini, perkara ini agak jelas dan tiada lagi sebarang dakwaan dilakukan. Selebihnya bolehlah ditanyakan kepada mana-mana ahli keluarga Tuan Guru Haji Wan Latiff kerana amanat menjaga silsilah ini juga menjadi tanggungjawab keluarga kami.
Al-Fatihah : Syeikh Wan Daud Al-Fathani
(kebetulan malam ni ada majlis tahlil diikuti infaq asnaf - saya doakan semua pembaca sejahtera, murah rezeki)
Wassalam.