Kredit : Facebook WMA Haraki
Terlebih dahulu, Pok Nik ingin memohon maaf jika posting kali ini membuat sesiapapun terasa tersinggung.
Kebelakangan ini kita semakin kerap menyaksikan peningkatan kes perceraian, sama ada dalam kalangan pasangan muda mahupun pasangan yang telah lama mendirikan rumah tangga.
Hakikatnya, kursus perkahwinan yang ada hari ini mungkin masih belum mencukupi untuk benar-benar mempersiapkan pasangan menghadapi realiti, ujian dan konflik rumahtangga yang sebenar. Ianya jelas terutamanya kaum suami yang tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai pentingnya niat dan lafaz yang bersabit dengan talak - tidak boleh dipermain-mainkan.
Antara punca utama yang sering berulang ialah:
Pertama, kegagalan pasangan untuk saling memahami keperluan dan batas masing-masing. Ada yang menuntut kuasa mutlak ke atas pasangan, dan ada pula yang terlalu berlembut serta terus mengalah walaupun berhadapan penderaan mental atau fizikal.
Kedua, wujudnya perjanjian bertulis sejak awal berkaitan harta sepencarian, nafkah, bahkan kematian. Walaupun perkara ini dibenarkan oleh syarak dengan syarat-syarat tertentu, ia tetap memerlukan kefahaman yang matang agar tidak menjadi punca perselisihan di kemudian hari.
Ketiga, berlakunya kecurangan. Walaupun Islam membenarkan perkahwinan lebih daripada seorang, pelaksanaannya bukan berasaskan nafsu dan kemampuan harta semata-mata, tetapi menuntut ilmu, keadilan dan amanah yang sangat berat. Iman pula bukan datang dengan sendiri, sebaliknya perlu sentiasa dipohon dan dipelihara.
Keempat, ujian kewangan yang mencetuskan pertengkaran demi pertengkaran. Dalam tekanan beginilah iman sangat diperlukan, kerana syaitan sentiasa menunggu peluang untuk menyesatkan manusia melalui jalan maksiat. Akhirnya, maksiat itulah yang meruntuhkan rumahtangga.
Kelima, trauma akibat menyaksikan atau mengalami ujian rumahtangga yang berat, sehingga ada yang hilang kepercayaan terhadap perkahwinan yang sah di sisi syarak. Akibatnya, timbul pelbagai bentuk hubungan yang menyimpang, termasuk yang diharamkan, malah yang bercanggah dengan fitrah dan agama.
Keenam, sifat cemburu yang berlebihan, khususnya dalam kalangan pasangan muda. Cemburu yang tidak terkawal sering melahirkan prasangka buruk dan syak wasangka yang tidak berasas, seterusnya membuka ruang kepada bisikan iblis untuk merosakkan keharmonian rumahtangga.
Keadaan ini boleh timbul dalam pelbagai situasi sama ada apabila hanya salah seorang yang bekerja, kedua-duanya bekerja, atau apabila salah seorang, khususnya isteri, memiliki tahap pendidikan serta pendapatan yang lebih tinggi berbanding pasangannya. Di sinilah sering muncul rasa tidak percaya dan cemburu, terutamanya apabila pekerjaan pasangan melibatkan interaksi dengan ramai atau sedikit rakan sekerja.
Diakui bahawa kes kecurangan memang berlaku dalam realiti kehidupan, namun sebagai seorang suami atau isteri, setiap pihak wajib menjaga batasan syarak daripada sudut aurat, pergaulan, tutur kata dan maruah diri serta pasangan.
Jika keadaan ini tidak ditangani dengan hikmah, ilmu dan komunikasi yang baik, perbezaan peranan dan latar belakang ini mudah menjadi punca konflik serta pertengkaran yang berpanjangan.
Ingatlah bahawa walaupun isteri memperoleh pendapatan yang lebih besar daripada suami, tanggungjawab taklif syarak tetap diletakkan ke atas bahu suami, khususnya dalam soal nafkah. Kewajipan ini berjalan mengikut kemampuan suami, walaupun jumlahnya kecil atau sekadar memenuhi keperluan asas, termasuk kewajipan zakat sekiranya mencukupi syarat.
Isteri dibenarkan membantu suami dengan hartanya sebagai satu bentuk ihsan dan keredaan. Namun, kedudukan bantuan tersebut hendaklah diperjelaskan. Jika ia diberikan dalam bentuk pinjaman, maka ia hendaklah dianggap sebagai hutang yang perlu dilunaskan, dan tidak boleh dicampuradukkan dengan kewajipan nafkah atau tanggungjawab suami yang telah ditetapkan oleh syarak.
Kefahaman yang betul, kejujuran dalam berkomunikasi, serta saling menghormati peranan dan tanggungjawab masing-masing merupakan kunci utama untuk mengelakkan cemburu berlebihan daripada menjadi racun yang meruntuhkan institusi perkahwinan.
Ketujuh, suami isteri perlu mengetahui dan meyakini bahawa dalam ajaran Islam, wujudnya sihir serta gangguan jin yang boleh menjadi sebab kerenggangan atau perpecahan hubungan rumahtangga. Namun, perkara ini hendaklah difahami dan ditangani dengan ilmu, iman dan panduan syarak, bukan dengan sangkaan melulu atau ketakutan berlebihan.
Apabila terdapat tanda-tanda yang mencurigakan dan tidak dapat dijelaskan secara logik setelah usaha zahir dilakukan, seorang suami khususnya digalakkan untuk mempelajari ilmu perlindungan diri yang berasaskan al-Quran dan sunnah, seperti memperbanyakkan doa, zikir, dan amalan ruqyah syar‘iyyah. Usaha ini bertujuan untuk mengelakkan atau mengurangkan kesan gangguan yang mungkin berlaku.
Sekiranya keadaan memerlukan bantuan, maka hendaklah berjumpa dengan individu yang benar-benar berilmu dan berpegang kepada syariat, serta dikenali amanah dan akhlaknya. Dalam masa yang sama, perlu sangat berwaspada terhadap mereka yang hanya berlagak alim, menggunakan ayat-ayat agama untuk kepentingan diri, atau dukun palsu yang mengamalkan perkara syirik dan menyeleweng.
Yang paling utama, janganlah segala masalah rumahtangga terus disandarkan kepada sihir semata-mata sehingga mengabaikan tanggungjawab muhasabah diri, komunikasi dan usaha memperbaiki hubungan. Pegangan kepada ajaran/hukum agama yang sahih, istiqamah dalam hasrat atau cita-cita yang baik, usaha ikhtiar, doa yang berterusan, serta tawakal kepada Allah SWT adalah benteng terbaik dalam memelihara keharmonian rumahtangga daripada gangguan yang zahir mahupun yang tersembunyi.
Kelapan, suami isteri yang berhadapan dengan masalah hubungan suami isteri atau sering disebut sebagai masalah “katil”, perlu berikhtiar untuk merawat dan memperbaiki keadaan tersebut. Usaha ini boleh dilakukan sama ada melalui kaedah tradisional yang dibenarkan, mahupun rawatan moden termasuk nasihat perubatan, ubat-ubatan atau panduan yang bersesuaian.
Masalah ini merupakan antara punca besar keretakan rumahtangga, namun sering disembunyikan kerana rasa malu, ego, atau keengganan untuk mengakui kelemahan diri. Sedangkan Islam menggalakkan ikhtiar dan usaha memperbaiki keadaan, selagi ia dilakukan melalui jalan yang halal dan beretika. Kejujuran serta saling memahami antara suami dan isteri amat penting agar masalah ini tidak berlarutan sehingga membawa kepada perceraian.
Kesembilan, suami isteri digalakkan untuk mendapatkan khidmat kaunseling sama ada melalui pejabat agama atau kaunselor bertauliah. Janganlah rasa malu atau segan untuk mendapatkan bantuan, kerana kaunselor terikat dengan etika profesional yang menuntut kerahsiaan sepenuhnya terhadap segala nasihat, perbincangan dan masalah yang dikongsikan oleh pasangan.
Kaunseling bukan tanda kegagalan dalam perkahwinan, sebaliknya satu usaha matang untuk mencari jalan penyelesaian, memperbaiki komunikasi, dan memelihara keharmonian rumahtangga. Dengan bimbingan yang betul, banyak konflik boleh ditangani sebelum ia menjadi lebih parah dan sukar diperbaiki.
Sesungguhnya, di akhir zaman ini, penyelesaian yang sebenar ialah kembali dengan ikhlas kepada ajaran agama, walau sebanyak mana dosa dan kesalahan yang telah dilakukan. Perbanyakkanlah taubat. Kita memerlukan bimbingan daripada mereka yang benar-benar memahami hikmah syariat, bukan sekadar menghukum, tetapi mampu membimbing dan menyelesaikan masalah rumahtangga dengan hikmah dan rahmah.
Allah SWT berfirman:
“Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan semua dosa.”
(Surah Az-Zumar, ayat 53)
Dan Rasulullah SAW bersabda:
“Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasannya adalah wanita (isteri) yang solehah.”
(Riwayat Muslim)
Maka bertaubatlah, kembalilah berdoa kepada Allah SWT tanpa rasa putus asa, walaupun maut seakan hampir. Sesungguhnya rahmat Allah itu lebih luas daripada segala kesilapan dan dosa manusia.



No comments:
Post a Comment