Boleh dikatakan kebanyakan dari kita gagal dalam melakukan sesuatu tugasan adalah bukan kerana cara bertindak tetapi CARA BERFIKIR.
Saya pasti ramai yang menggemari topik motivasi termasuklah menyertai kursus, membeli buku, membaca artikel dll yang memaparkan rahsia kejayaan perniagaan mahupun karier. Ironinya, tidak ramai pula yang berjaya walaupun telah mendapat tip-tip dari mereka yang berpengalaman.
Sebenarnya, kesalahan bukanlah pada bahan motivasi atau teks yang digunakan oleh penceramah atau cara ceramah disampaikan atau apa yang dibaca, tetapi kegagalan itu adalah kerana peserta kursus atau pembaca bahan-bahan itu sendiri.
Ini kerana terdapat sifat ingin berjaya serta-merta dan beranggapan motivasi yang disalurkan kepada mereka adalah berbentuk magis atau “kuasa yang sakti” untuk mengubah hidup mereka dalam tempoh yang cepat. Ini sebenarnya adalah sifat tergesa-gesa dan juga rasa “tamak” dan bukannya pemikiran positif.
Buktinya, mereka hanya akan bersemangat dalam tempoh jangkamasa yang singkat. Selalunya mereka akan gagal (malah sentiasa gagal) mengekalkan keadaan “bersemangat” itu. Bila semangat yang berkobar-kobar itu mula pudar, perasaan mereka akan sedikit demi sedikit diganti dan akhirnya dikuasai dengan “rasa rugi berbelanja untuk kursus motivasi”, “buat habis duit saja”, “tidak menjadi”, “ianya bohong” dsb. Lebih teruk lagi apabila penulis atau penceramah disalahkan – “penceramah itu hanya nak buat duit sahaja”
Tanpa disedari, pemikiran negatif inilah yang akan mencetus gelombang yang dicemari kebencian, irihati, marah, sakit hati, sangka buruk, sentiasa menyalahkan orang lain atas ‘nasib kita, menjadi pasif’ dll. Ini akan menyebabkan golongan ini berada dalam apa yang saya ibaratkan sebagai “causality loop” (1) – suatu keadaan yang mana golongan ini terperangkap dalam suatu kitaran hidup yang sama, membosankan dan tidak ada jalan keluar. Produktiviti kerja dan keuntungan/pendapatan perniagaan serta urusan anda juga akan terganggu. Anda rasakan seolah-olah anda tidak cukup masa untuk melakukan sesuatu perkara yang penting dalam hidup anda. Disusuli pula dengan rasa tertekan hampir setiap masa, selera makan anda kurang atau terlalu kuat. Lebih teruk lagi, anda dapati anda telah disahkan mengidap penyakit kronik seperti obesiti, darah tinggi, diabetes dll. Dunia anda akan menjadi sempit sehingga hari anda meninggal dunia dengan penuh rasa kekecewaan.
MAHUKAH ANDA MENJADI BEGINI? SAMPAI BILA??
“Apa yang anda fikir, anda akan zahirkan, anda akan menariknya, jika anda tumpukan masa ke atas apa yang anda tidak mahu, maka semuanya yang anda tidak mahukan itu akan dizahirkan, ditarik pada diri anda satu demi satu”
Apa yang dirasakan seperti “kononnya ada perbezaan” dalam kitaran ini – hanyalah suasana yang dicipta dari ilusi dan escapism sekadar hanya mengisi rasa kekosongan dalam diri. Ibaratkan seseorang yang mengubah kedudukan perabut dalam rumah yang sama untuk menghilangkan kebosanan melihat posisi yang sama setiap hari.
(1) A temporal causality loop (or simply causality loop) is a type of phenomenon whereby a specific moment in time repeats itself continually inside an independent fragment of time.
Kaedah terbaik ialah :
1. Riadah – apabila anda mengesan masalah bakal melanda dan cuba menguasai diri anda :
kosongkan diri anda serta merta, tarik nafas yang panjang – tahan dan hembus perlahan-lahan (3 X berturut-turut), tutup mata perlahan-lahan seolah-olah anda mula tidur, pandang (antara dua kening) seolah-olah anda berada dalam cahaya yang terang bersuhu nyaman, angin sepoi-sepoi bahasa, suasana di tepi pantai yang indah.
2. Minda - segera bersangka-baik (yakin yang negatif tidak selamanya negatif dan ianya pasti berubah menjadi positif), banyakkan senyuman, sentiasa berpesepsi positif - mengambil pengajaran dari kegagalan – menjadikannya satu kekuatan untuk bangkit walaupun jatuh berkali-kali, tidak mudah berputus asa, jika anda sakit - anda akan segera makan ubat dan bertemu dengan doktor, anda akan sentiasa berteguh cita-cita – berusaha ikhtiar – berdoa - dan berserah setelah bekerja keras untuk mencapai cita-cita yang diidamkan.
Anda akan dapati produktiviti, kualiti kerja malah perniagaan yang anda jalankan mendapat keuntungan (samada besar atau kecil). Lebih menakjubkan anda sendiri tetap berperasaan gembira dan ceria.
PADAMKAN DAN LUPAKAN PERKATAAN ‘GAGAL’ DARI KAMUS DAN DIARI HDUP ANDA
Sekiranya anda boleh berada dalam suasana seperti ini dan mengekalkannya sehingga melihat hasil yang memberangsangkan, saya yakin, gelombang yang dicetuskan dari diri anda adalah berbentuk positif, anda mendapat ketenangan menerusi kesabaran, sentiasa gemar mendapatkan nasihat yang baik, sifat ingin mencontohi mereka yang berjaya malah anda akan kagum melihat mereka yang gagal tetapi tidak pernah putus asa dan bangkit dari kejatuhan dsb.
Anda juga akan bersifat lebih menyintai kemanusiaan – tiba-tiba terasa perasaan insaf dalam diri anda, tiba-tiba menjadi seorang penderma yang ikhlas – membantu mereka yang dalam kesempitan – menjaga alam sekitar – dll.
Anda menjadi seorang pemberi yang tidak pernah mahukan sebarang balasan kerana anda yakin bahawa setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Tanpa disedari, anda juga mendapati anda dikelilingi oleh mereka yang berfikiran positif dan sentiasa berjaya.
Malah tidak mengejutkan saya jika anda akan dapat "hidupkan jiwa-jiwa yang mati" dan mereka yang pernah gagal akan menjadikan anda sebagai contoh untuk mereka kembali berjaya!!
Kekuatan minda umpama ini sangatlah luarbiasa – ianya mampu menukar suasana ‘causality loop’ kepada ‘ripple effects’ (2) yang membuka peluang demi peluang (seolah-olah tidak pernah kehabisan) dan anda rasakan diri anda sangat bertuah, menyedari betapa luasnya dunia ini terbentang menyediakan pelbagai perkara menarik yang masih belum anda terokai.
(2) the continuing and spreading results of an event or action.
Anda menjadi seorang yang idealistik dan inovatif. Andalah pelukis hidup anda sendiri. Anda juga menjadi seorang yang suka berterimakasih dan selalu bersyukur kerana dikurniakan akal yang bijak dan matang. Pola pemikiran ini akan mempengaruhi tindakan anda. Anda sentiasa melihat jalan keluar dari segala masalah anda.
Objektif anda adalah satu : “UNTUK BERJAYA”
PILIHLAH MASA DEPAN YANG CERAH SEKARANG!