Asal Perkataan dan Melayu Rawa
Antara tokoh-tokoh Rawa yang terkenal ialah Tun Ahmad Sarji, Tun Dr. Siti Hasmah, Tan Sri Dato' Seri Rafidah binti Aziz, Tuan Guru Haji Yusof Rawa, Tan Sri Dato' Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman dan ramai lagi.
(Ada juga golongan yang menuduh kaum Rawa suka mengamalkan ilmu sihir seperti santau dsb. Pada saya, melambangkan kaum Rawa dengan ilmu sihir amat tidak adil dan satu fitnah yang besar. Kerana Ilmu sihir ini boleh diamalkan oleh mana-mana kaum dan tidak terhad kepada sesuatu bangsa sahaja)
Pelbagai kisah yang dapat didengar mengenai asal usul Melayu Rawa. Saya menggunakan perkataan Melayu kerana mereka dikategorikan sebagai rumpun Melayu Nusantara.
Antara pendapat-pendapat yang dikemukakan :
a) Ada yang berpendapat Melayu Rawa berasal dari suku kaum Rao (lihat (d)
b) Ada yang berpendapat Suku Rawa adalah bahagian dari rumpun bangsa Melayu Minangkabau, mereka berasal dari salah satu di antara ketiga daerah Minangkabau, yaitu Agam dan Tanah Datar dan 50 Kota.
c) Tetapi ada yang berpendapat bahawa perkataan Rao merujuk kepada sebuah empayar yang besar yang meliputi Pagar Ruyung, Kampar, Acheh dan banyak lagi.
d) Ada yang berpendapat : Rao merupakan nama pahlawan handal Majapahit di mana keturunannya dipanggil keturunan Rao. (Rawa)
e) Ada pula yang berpendapat kaum 'Rao' yang berasal dari Champa yang ramai berhijrah ke Sumatera di mana bahasa Rao telah diasimilasikan dengan dialek Minang yang digunakan di Lubu dan Leco - masih mengekalkan sukukata yang membezakan dari bahasa Minang biasa yang berasal bahasa Melayu purba di Indochina dan Segenting Kra. (namun terdapat pendapat lain menyatakan yang berasal dari Champa adalah bangsa yang digelar kini sebagai Melayu Deli dan bukannya Rawa - Wallahualam)
f) Secara tradisinya - orang Rawa perlu dijodohkan dengan orang Guai iaitu keturunan diraja (digelar keturunan Maharaja Ombak*) dan dikatakan keturunan Iskandar Zulkarnain contohnya Sultan Taufik.
*Maharaja Ombak atau Ombok digelar Tengku Embak (suku Rawa dan Minang) dan dikatakan bertanggungjawab membantu menyelamatkan Kerajaan Seri Menanti, Negeri Sembilan. (ada yang berpendapat bahawa bantuan untuk Seri Menanti diketuai oleh Sutan Amir Kaharuddin Budiman)
Dikatakan Tengku Embak telah membawa diri ke Raub kerana konflik takhta dan mendirikan rumahtangga dengan Tengku Rokiah. Tengku Embak juga telah berkahwin dengan keturunan Guai dan bermukim di Bolok (Lanchang) dan mangkat di sana.
f) Ada pula yang berpendapat bahawa Tok Mengkarak adalah raja yang sebenar (Raja Mutlak) yang lebih layak dari Sultan Taufik. Tok Mengkarak mempunyai saudara-maranya yang digelar Tok Biah, Tok Ju, Tok Langit dsb. Tok Mengkarak dikatakan berasal dari Bukit Seguntang (Sumatera)
Ada yang berpendapat terdapat sengketa kerabat berlaku dan akhirnya takhta telah diserahkan kepada Sultan Taufik.
Hijrah Perantauan Rawa ke Tanah Melayu
Ada empat gelombang perantauan Melayu Rawa ke Tanah Melayu iaitu:
a) Gelombang Pertama - antara 500 - 1400M terdiri daripada golongan petani dan pemburu emas, kerana Tanah Melayu terkenal dengan Semenanjung emas. (Golden Chersonese)
b) Gelombang Kedua antara 1401 - 1600M
c) Gelombang Ketiga antara 1601 - 1800M terdiri daripada pendakwah, pelombong emas. bijih timah dan tentera upahan Pulau Pinang dan Singapura selain Melaka.
d) Gelombang Keempat antara 1801 - 1900M dengan melarikan diri dari pihak Belanda yang cuba menghapuskan keturunan Kesultanan Rawa dari Rao-Mapat Tunggul, Padang Nunang dan Pagar Ruyung - di mana kerabat melarikan diri bersama-sama hulubalang dan pahlawan, ulamak dan rakyat pelbagai kemahiran (merujuk kepada Perang Paderi di Sumatera Barat (1815 – 1833)
Antara lain :
• Negeri Sembilan - Seri Menanti antara 1772 - 1848 menerusi Sungai Ujong berdekatan Seremban.
• Negeri Pahang - melalui Sungai Hulu Pahang (Bera, Hulu Pahang, Kuata Lipis, Raub, Bentong) sekitar tahun 1857-1863. Antaranya Tengku Khairul Alam, Pakeh Khalifah Saka, Tujuan Saka dll.
• Negeri Selangor - melalui Sungai Klang (Hulu Langat, Hulu Selangor) dan Sungai Selangor (Kalumpang, Ampang, Kuala Lumpur, Gombak) sekitar tahun 1867- 1873.
- melalui Sungai Perak, Sungal Bidor dan Sungai Bernam (Teluk Intan, Kuala Kangsar, Larut, Kinta, Gopeng, Tapah, Kampar) sekitar tahun 1875-76. Antaranya Datuk Sakti Putih dll.
(dikatakan terdapat krisis antara kaum Melayu Rawa dengan kerabat Di Raja Perak dan juga dengan grup Megat (tidaklah dapat disahkan samada benar atau tidak kisah ini)
Penghijrahan ke Negeri Kelantan
Catatan sejarah juga menunjukkan bahawa suku kaum Rao turut berhijrah ke Kelantan melalui jalan darat dan jalan Sungai Pahang sehingga ke Sungai Kelantan. Mereka telah menetap di Pasir Mas, Kelantan hasil usaha Sutan Amir Kaharuddin Budiman (yang dikatakan pernah membantu Kerajaan Seri Menanti, Negeri Sembilan)
Saya akan hanya menumpukan sedikit sebanyak kajian saya mengenai kaum Rawa di Kelantan terutamanya pengaruh adat istiadat, dialek, perkahwinan dengan kerabat Pattani dan Kelantan DLL.
(Dalam kajian saya mengenai Rawa, saya mohon maaf kerana saya tidak boleh menyentuh mengenai kisah Pagar Ruyung, kisah perkaitan persaudaraan dengan Minang dan Mendailing dsb. atau kisah Raja Brayun dan Datoh Klana)
Ini untuk mengelakkan sebarang konflik/krisis yang mungkin timbul - jadi, jika ada sebarang persoalan mengenai perkara ini, saya terus-terang tidak akan memberikan sebarang pendapat mengenainya)
Sutan Amir Kaharuddin telah berkahwin dengan Che Aminah Tok Aki dari Raub dan semasa di Chetok, Pasir Mas, Kelantan, baginda telah mengahwini seorang lagi isteri dari Kelantan dikatakan ini adalah kaum kerabat Pattani (Wallahualam)
Salah seorang puteri Sutan Amir Kaharuddin iaitu Che Puan Siti Zaleha (Tok Jeliha) telah berkahwin dengan kerabat Di Raja Pahang iatu Tengku Khairul Alam (dari jalur Padang Nunang)
Seorang lagi puterinya iaitu Che Siti Hajar telah berkahwin dengan Yamtuan Muda Pesisiran Siak Tengku Tialam Sultan Shahrul Alam Tengku Rendah.
Sutan Amir Kaharuddin atas dasar hormat dan takzimnya kepada Raja-Raja Patani dan Kelantan justeru memberikan tempat perlindungan, baginda telah menukarkan gelarannya kepada Mandur Diman (gelaran ini mengingatkan saya kepada Mandur Mis (Lundang)
Apa yang jelas, telah terdapat satu NGO keluarga yang dipanggil Pertubuhan Persaudaraan Tok Diman Chetok (lihat foto) telah ditubuhkan dan ramai ahlinya yang gelaran pangkal - Tuan, Nik dan Wan menjadi ahli Pertubuhan ini. (kemungkinan percampuran darah asbab perkahwinan antara Rawa dan Kelantan)
Pengaruh Adat Istiadat Rawa
(Nota, dalam topik ini, saya tidak akan menyentuh kisah sumpahan Raja-Raja Rawa contohnya pantang Pisang Merah bagi mengelakkan sebarang isu)
Adat Istiadat Rawa banyak diasimilasikan ke dalam kaum kerabat Reman dan Pattani - mungkin kaedahnya sedikit berbeza di tempat-tempat lain.
Antaranya ialah Adet Berjojak (Adat Berjejak)
Adat ini dikatakan diamalkan untuk bayi yang baru lahir yang habis pantangnya dan apabila mencapai usia yang ditetapkan (1 tahun), anak ini perlu menjalani adat berjejak - di mana, kaki, tangan dan dahi akan disapu minyak zaafaran dan dia perlu berjalan ke atas tikar yang ditabur bunga.
Anak ini kemudian dimandikan dengan air asam limau purut dan kenduri doa selamat akan diadakan (kebanyakannya berasaskan gulai ayam dan pulut kuning) dan anak itu akan mula memijak tanah dengan kaki ayam.
(Di sesetengah tempat meletakkan satu dulang (nekar) besar - dilapik kain kuning di mana bunga,bertih, beras kunyit, tanah liat, tepak sirih dll. ditaburkan di atas dulang ini. Anak ini perlu memakai serba kuning dan berjalan di atas kain kuning - jika lelaki - berkeris kecil)
Seperti di banyak negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan dan Perak, masih ada keturunan Rawa di Kelantan yang menggemari Gulai Lemak Nangka (Gulei Lomak Nangko (dan *Kelamai), rendang (di Kelantan dimakan bersama sambal daging) Di Gopeng, Perak terkenal dengan Rondang Atok/Rendang Tok. *Kelamai hampir sama dengan Lemang, cuma resipi dan cara masakannya berbeza.
Di Kelantan, yang paling dekat dengan Kelamai ialah Pulut Pagi - resipinya mirip Kelamai tetapi cara penyediaannya dan hasilnya agak berbeza)
Di Kelantan, contohnya Gulai Lemak Nangka di Kelantan dicampur dengan ikan kering.
Identiti Paloh Rawa - Machang, Kelantan
Paloh Rawa dikatakan berasal diambil sempena perkataan paloh dan rawa iaitu tanah rendah di tebing sungai yang akan dipenuhi air ketika musim tengkujuh. Manakala Rawa pula ialah nama sejenis pokok. Buahnya berwarna kebiruan-biruan apabila masak dan boleh dimakan.
Namun, terdapat sumber saudara-mara di Paloh Rawa menyatakan sepanjang ingatan mereka - tiada pokok rawa yang tumbuh di kawasan Paloh Rawa - mungkin ada pada zaman terdahulu - Wallahualam.
Menariknya lagi maksud perkataan "Rawa" atau "Rao" juga seerti dengan "Sawah, Paya, Pamah atau kawasan tanah berair/lembap" (mirip kepada maksud "Paloh" itu sendiri)
Jarak antara Paloh Rawa ke Chetok, Pasir Mas ialah 38km menerusi jalanraya. Tetapi - dari Paloh Rawa ke Chetok, Pasir Mas, kedudukan aliran Sungai Kelantan amat berdekatan sekali.
Dalam tahun-tahun 1780-an, Sungai Kelantan amat luas dan boleh dilalui dengan kapal sebelum pengaruh geomorfologi - topografi dan batimatri, pembangunan, iklim telah mempengaruhi keluasannya dalam tempoh 2 abad ini.
Dari sumber lisan yang tidak dapat disahkan:
a) Paloh Rawa mungkin mula terasas dalam tahun-tahun 1850an atau lebih awal dari itu,
b) Terdapat sekumpulan berketurunan Patani/Reman di yang tinggal di Paloh Rawa (melarikan diri dari Patani dari antara 1780-an - 1790-an ke Machang (timeline/garis masa yang hampir sama dengan zaman Sutan Amir Kaharuddin)
c) Sejarah awal Paloh Rawa juga tidak begitu jelas kecuali terkait dengan kisah Jambatan Guillemard yang dibina pada tahun 1924.
d) Ada pendapat menyatakan - mereka yang mengikuti perjalanan Sutan Amir Kaharuddin Budiman telah menetap di kawasan Paloh Rawa dan tidak meneruskan perjalanan ke Pasir Mas - dan mereka telah berkahwin pula dengan kumpulan Patani/Reman - wallahualam.
Dialek Kelantan mempunyai banyak istilah-istilah mirip kepada Perak dan Kedah - dan juga mirip kepada Indonesia termasuk Minang dan Rawa (tidak perlu saya menyentuh mengenai hal ini kerana ianya telah banyak dibincangkan (dalam satu kajian lain menunjukkan DNA Kelantan ada elemen-elemen Minang/Rawa)
Tangan = Kelantan : Tange, Rawa : Tangen
Makan = Kelantan : Make, Rawa : maken
Jangan = Kelantan : Jange, Rawa : jangen
Jalan = Kelantan : jale, Rawa : jalen
dan banyaklah lagi persamaan.