Al-Fatihah dan didoakan semoga dipermudahkan terjumpanya mangsa yang hilang di Jeram Air Putih. Tidak dapat saya membayangkan kesedihan kaum keluarga termasuk rakyat Malaysia yang prihatin yang turut berdoa untuk terjumpanya mangsa yang masih hilang. Sekalung penghargaan yang tidak terhingga kepada pihak berkuasa terutamanya pihak bomba yang bertungkus-lumus untuk mencari mangsa.
Nasihat saya, janganlah kita berbudaya menuding jari kepada mana-mana pihak sekalipun. Sebaliknya kita kena mencari jalan pencegahan supaya tragedi ini dapat dikurangkan pada tahap paling minima. Janganlah ada juga sifat "firefighting", iaitu sikap menanti berlakunya tragedi baru kita nak kelam-kabut - dengan orang politiknya, dengan pendapat-pendapat masing-masing dsb.
Fenomena kepala air (saya gelar "tsunami sungai") bukan satu fenomena yang baru. Ianya telah mengorbankan banyak nyawa kerana berlakunya secara tiba-tiba. Fenomena kepala air ini selalunya berlaku di sungai-sungai yang berdekatan air terjun dan bukit bukau, terutamanya pada musim tengkujuh.
Saya beruntung kerana dapat memainkan peranan yang kecil dalam projek mitigasi banjir dan analisa risiko banjir bersama pihak berkuasa selama beberapa tahun. Banyak ilmu yang dapat saya pelajari dari perunding-perunding kejuruteraan dari pelbagai agensi. Namun, apa saya sentiasa ingat dari muda lagi ialah satu petua yang telah terbukti secara saintifik terutamanya ahli geologi.
Kini telah terdapat banyak papan-papan tanda amaran mengenai bahayanya kepala air dan bagaimana untuk mengetahui tanda-tandanya sebelum terlewat. Patuhilah amaran berkenaan. Elakkan pendakian air terjun atau eksplorasi kawasan tanpa kebenaran atau pengawasan pihak berkuasa atau mereka yang mahir dan berpengalaman. Siren amaran (termasuk CCTV) walaupun tidak dipasang secara keseluruhan di semua hotspot kepala air, sistem ini dapat mengesan perubahan aliran air dari segi halaju dan paras air serta pergerakan tanah secara tiba-tiba.
Walaupun banyak tanda-tanda pengecaman diberikan, tetapi ianya yang gagal diperhatikan, didengari atau diamati kerana ditenggelami bunyi bising yang lain, sorak-sorai keseronokan dan keasyikan dll. Antara tanda-tanda yang sukar dikenalpasti oleh orang awam ialah perubahan warna air daripada jernih kepada gelap atau kehitaman (disebabkan kelodak/lumpur), aliran air tenang bertukar deras, bunyi seperti letupan dari jauh (lagaan batu-batan sehingga terhakis tanah sekitarnya (runtuh), akar pokok tidak stabil, juga menyebabkan tanah pecah dan pokok tumbang dll.
Tetapi ada satu tanda bagi kita yang bukan ahli geologi dapat mengenalinya dengan segera.
Apabila tiba-tiba berkumpulnya sampah sarap, ranting kayu, daun-daun kering yang sangat banyak secara tiba-tiba berdekatan dengan tempat mandi, beri amaran kepada semua yang sedang mandi supaya segera bergegas ke tempat yang selamat minima antara 50-100 meter kerana kepala air akan menyusul - semakin dekat dengan kawasan air terjun, semakin pantas ia akan tiba (antara 15- 30 saat sahaja (ada yang kurang dari itu) dengan halaju yang sangat deras - dalam tempoh 5-10 minit, paras air boleh naik dari satu hingga dua meter, air daripada dua meter sesaat boleh naik sehingga 10 meter sesaat.
Kepala air mampu membawa orang dewasa lebih menyedihkan kanak-kanak ke jarak yang jauh dan biasanya akan mati lemas.
Ada juga yang hilang mungkin tertanam di dalam kelodak, lumpur dan pasir malah terlekat di celahan batu pada paras yang dalam. Hanya penyelam yang mahir atau ekskavasi secara sistematik, alihan aliran sungai (river diversion) atau menggunakan pam yang berkuasa tinggi antara cara-cara yang dapat memudahkan operasi mencari mayat yang hilang. Tetapi operasi mencari akan menjadi sukar apabila hujan lebat dan ribut petir yang mampu mengalihkan mayat ke jarak yang lebih jauh.
Dalam pengalaman tidak seberapa saya melibatkan diri dalam projek mitigasi banjir, analisa risiko banjir yang saya tuliskan antara lain menyenaraikan kepentingan kestabilan cerun, kawasan tebing/dasar sungai yang perlu distabilkan, kawalan aliran sedimen dll perlu dilakukan seberapa segera. Undang-undang yang sediada juga perlu dikuatkuasakan terutamanya ke atas pembuangan sampah di kawasan sungai, kawalan ke atas aktiviti pembalakan, syarat-syarat yang lebih ketat untuk pembinaan struktur di tempat-tempat tinggi dan berisiko, kawalan pelombongan pasir (haram) dan paling penting ialah Malaysia perlu mempunyai Akta Risiko Banjir nya yang tersendiri.
No comments:
Post a Comment