Penafian : Diminta tidak menggunakan sebarang hasil tulisan saya termasuk yang berikut sebagai satu keputusan untuk melabur. Ianya sekadar panduan. Dapatkan nasihat dari pakar.
Kita melihat pasaran saham menjunam selepas PRU 14. Di sinilah ujian kepada pelabur terutamanya reaksi emosi terhadap pasaran.
Saya bukannya pelabur yang hebat tetapi berdasarkan pengalaman, suka saya menegur sikap tipikal para pelabur Malaysia :
Saya lihat pelabur suka menandaras saham pegangan mereka kepada harga belian dan harga jualan. Pada saya, sepatutnya apabila berlaku kejatuhan, kita perlu melihat banyak aspek, bukan terus melakukan jualan besar-besaran dan menanti pasaran pulih kembali.
Antara aspek yang perlu kita perhatikan ialah siapa "loosers" dan industri manakah yang sebenarnya mengalami penyusutan... Jika pelabur membeli saham yang tidak berkaitan dengan syarikat yang jatuh harga sahamnya, kekalkan dahulu pegangan, jangan jual walaupun kita lihat harga saham yang kita beli itu juga mengalami sedikit penurunan (kerana penurunan ini sebenarnya bersabit dengan "psikologi" pasaran bukan menandakan ekonomi akan hancur)
Lihat dahulu pengumuman syarikat yang pelabur beli sahamnya itu, dapatkan maklumat/risikan dari sumber yang betul, atau tidak salah jika kita melawat syarikat berkenaan untuk mendapat penjelasan dan nasihat.
Apa yang perlu dilihat ialah : adakah :
a) pendapatan mereka menyusut atau masih berjalan seperti biasa,
b) adakah terdapat sebarang tanda negatif dalam penyata imbangan mereka - rujuk nota pada akaun mereka atau
c) ianya adalah isu urustadbir korporat yang tidak telus
Jangan terpengaruh dengan khabar angin walaupun disokong dengan fakta/hujjah yang tidak jelas. Pelabur sendiri perlu membuat analisa ke atas data berkenaan sebelum membuat keputusan. Kadangkala ada segelintir broker pandai memberikan alasan, kononnya, harga saham "x" akan jatuh, lalu pelabur pun mudah percaya dan mengikut pendapat (yang sebenarnya) spekulasi untuk mempengaruhi psikologi pelabur dan menguntungkan “si spekulator"
Jika pelabur panik, mungkin pelabur akan mengambil tindakan kurang rasional seperti membeli kuantiti saham pada kaunter lain dalam jumlah yang lebih banyak untuk menutup kerugian kita.
Saya pernah menyatakan bahawa : Pasaran Saham adalah ibarat perniagaan – begitu juga dengan FOREX, ianya mempunyai potensi keuntungan atau risiko kerugian. Jika pelabur hanya inginkan keuntungan semata-mata dan tidak dapat menerima kerugian, maka pelaburan kita sudah menjadi satu PERJUDIAN.
Malaysia masih memiliki pelbagai "kusyen" (minyak dan komoditi dll) apabila pasaran saham mahupun kewangan menampakkan kejatuhan kerana Malaysia mempunyai pengalaman yang luas dalam mengendalikan masalah ekonomi. Malah dengan menghapuskan GST dan tidak terus mempraktikkan SST dalam tempoh yang agak lama akan meninggikan kuasa belian (ianya untuk kita rakyat sebenarnya)
Ada pelabur beranggapan bahawa mereka perlu membeli saham yang diniagakan dengan rendah minggu ke 52 - dakwa mereka ianya adalah satu pelaburan yang baik. Pelabur tidak sedar kadangkala ini hanyalah perangkap nilai (value trap) yang diletakkan dalam "laporan spekulator" yang dihias dengan “data-data yang cantik tetapi amat berbisa”. Ingatlah Pelabur tidak tahu dan tidak mungkin dapat meramalkan dengan tepat betapa eratiknya pasaran ini.
Apabila pelabur membeli tanpa berfikir kerana mengharapkan saham berkenaan akan melambung naik di suatu masa, sebenarnya pelabur telah melakukan silap besar. Memang tidak dinafikan, trend ada menunjukkan apabila pelabur menggunakan kaedah ini, maka ada kemungkinan harga itu akan melambung. Tetapi pada saya, pelabur perlu memeriksa "feasibility" dan "viability" (kebolehupayaan, kebolehlaksanaan) prestasi atau projek syarikat yang pelabur beli sahamnya itu dan bukan mendengar khabar atau sekadar berasa puas hati dengan “order book value”
Ada juga spekulator yang bersembunyi di sebalik "brokerage" yang menyarankan agar kita membuat pertaruhan "leverage". Sememangnya melabur secara marginal dan "leverage" berpotensi untuk memberikan pulangan yang tinggi tetapi ianya juga mempunyai risiko kerugian yang amat besar.
Jika kita tidak pasti dalam suasana ketidaktentuan pasaran, elakkan membuat pelaburan seperti ini. Mengambil "leverage" memerlukan pelaburan yang menguntungkan mengikut kadar faedah pembayaran di atas modal yang dipinjam. Ya, mungkin juga ketidaktentuan dalam pasaran dalam tempoh jangkapendek, cara ini boleh berjaya tetapi pelabur mungkin tidak dapat mengawal perasaan apabila pasaran merudum.
Saya berpendapat, jika membeli berdasarkan margin, ianya akan menghadkan opsyen dan kita mungkin terpaksa menutup posisi kita.
Saya lihat, rata-rata pelabur bijak dalam membuat perancangan kewangan namun kurang pula bijak dalam mengawal perasaan. Ini bererti perancangan kewangan yang diperbuat itu tidak ada "Plan B" iaitu jika berlaku kejatuhan harga, apa yang perlu dilakukan. Sikap ini akan menyebabkan kegagalan dalam mewujudkan koreksi pasaran dalam tempoh jangkapanjang.
Satu lagi kesalahan bagi pelabur kecil ialah mereka menghentikan Pelan Pelaburan Bersistem dalam Dana Ekuiti apabila pasaran merudum. Ini menunjukkan sikap tidak sabar pelabur. Sebenarnya pelaburan dana ekuiti yang bersistem adalah bertujuan melatih disiplin semasa fasa "bearish" dan ianya lebih berbentuk jangkapanjang. Jika kita membatalkan pelaburan di tengah-tengah perjalanan, maka sebenarnya kitalah yang rugi.
Perancangan/pengurusan masa amat mustahak dalam kita melabur dalam dana ekuiti. Ini kerana kita perlu bersabar dalam melihat pada terma-terma perjanjian yang kita tandatangani dan sentiasa bertanya sebelum menandatangani sesuatu perjanjian. Apa yang penting kita lihat antara lain sekurang-kurangnya ialah kemungkinan naik turunnya kadar faedah (serta apakah jaminan syarikat pelaburan berkenaan jika ini berlaku) dan juga tempoh perjanjian (kerana kita dapat menjangka berapakah keuntungan yang kita telah buat dalam masa suku, tengah dan hujung tahun (dikalikan pula dengan tempoh perjanjian)
Kita juga perlu pandai meramal suasana ekonomi dan sistem perbankan dan kewangan tempatan dengan mengambilkira perjalanan/perkembangan ekonomi di seluruh dunia.
Nota/Hint/Isyarat : Pasaran sedang mengalami pembetulan (correction) dari bearish ke bullish. Mudah-mudahan, sejurus sebelum Hari Raya Aidilfitri 2018 dan 2 minggu selepas Hari Raya Aidilfitri, saya menjangka pasaran akan pulih kembali (tanda-tandanya telah ada saya perhatikan)
FDI baru, penyenaraian baru dan potensi pelaburan baru bernilai berbillion ringgit sedang menanti dari dalam dan luar negara. Janganlah dirisaukan sangat.
Jika tidak pasti dengan apa yang saya perkatakan ini, maka tumpukan sahaja masa dan pelaburan kita kepada pelbagai Amanah Saham yang dijamin kerajaan atau Dana Bersama (Mutual Fund) - malah insuran sekalipun - atau menyertai pelaburan dalam bentuk Simpanan Tetap (FD) - ini semua lebih selamat.