Headline: e-dagang di sisi Islam
Publication: HM
Date of publication: Jul 10,
2009
Section heading: Variasi
Page number: 002
Byline / Author: Oleh Dr
Abdul Salam Muhammad Shukri
Soalan
SAYA menyertai perniagaan e-dagang. Apakah hukumnya jika
mendapat wang melalui kaedah terbabit kerana ia mudah manakala usaha pula
sedikit?
ANAS,Melaka
Jawapan
E-dagang (yang juga
dikenali dengan istilah dotcom) adalah satu kaedah transaksi elektronik maya
tanpa sempadan jarak atau waktu membabitkan perniagaan barangan atau
perkhidmatan.
Enam sektor perniagaan yang utama ialah pengiklanan,
pendidikan, kewangan, bidang profesional, peruncitan dan
pelancongan.
Contohnya, amazon.com menjual buku menerusi laman
web.
E-dagang adalah satu daripada cara perdagangan yang sangat
berpotensi besar untuk dikembangkan dengan adanya kemudahan teknologi maklumat
dan komunikasi.
Anda boleh mendapatkan pengetahuan lebih lanjut melalui
tulisan Nik Zafri Abdul Majid di
www.geocities.com/nikzafri/e-environ.htm.
Islam membenarkan sebarang
bentuk perniagaan sama ada secara nyata atau maya apabila perniagaan menepati
rukun dan syarat jual beli dalam Islam.
Ia meliputi akad atau kontrak
jualan (tawaran dan penerimaan), subjek akad atau barangan jualan serta pihak
yang berakad.
Secara umumnya, asas penting dalam sesuatu akad atau
kontrak ialah adanya tawaran dan penerimaan.
Barangan jualan pula
mestilah sesuatu yang tidak bercanggah dengan kehendak akad dan mengikut hukum
syarak, bendanya ada sewaktu akad dan boleh diserahkan pada waktu
ditetapkan.
Pihak yang berakad iaitu antara penjual dan pembeli perlu ada
kelayakan serta kuasa untuk melakukan akad (untuk lebih lanjut lihat, Faizah Hj
Ismail, 2000).
Memandangkan tujuan e-dagang untuk memudahkan urusan jual
beli dengan adanya kemudahan elektronik, tidak timbul persoalan mendapat duit
dengan cara mudah. Semua teknologi dicipta bagi memudahkan masyarakat mendapat
barangan dan perkhidmatan secara cepat tanpa menghabiskan banyak masa dan
tenaga.
Bagaimanapun, anda juga dinasihati perlu berhati-hati supaya
tidak terbabit dengan skim cepat kaya yang juga menggunakan kemudahan teknologi
terkini.
-----------------------------------------------------------------------------------
Artikel ini telah diambil
daripada pelbagai sumber dan diolah kembali oleh pengarang. Pengarang ingin
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka yang terbabit secara
langsung dan tidak langsung samada penajaan, galakan/sokongan moral dan
lain-lain sehingga terbitnya artikel ini terutamanya rakan saya Dr. Norhissam
Mustafa (kini berada di Johor Bahru) Tidak lupa, jutaan terima kasih diucapkan
kepada pembaca yang telah memberikan maklumbalas yang begitu pantas selepas
terbitnya artikel ini.
MENGIMBAS
KEMBALI PEMBANGUNAN PERSEKITARAN ELEKTRONIK/TEKNOLOGI MAKLUMAT DI MALAYSIA
(1997-2000) - Kajian Kembali Nik Zafri Abdul Majid
1.0 Kerajaan Elektronik
1.1 Pengenalan
Kerajaan Elektronik dijangkakan akan meningkatkan operasi dalaman kerajaan dan pembekalan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia. Ianya bermatlamatkan keselesaan, ketelusan dan kualiti interaksi dengan masyarakat dan perniagaan ; sekaligus, membaikpulih taraf aliran dan proses maklumat di dalam kerajaan bagi membangunkan dasar, menyelaras dan menguatkuasakannya secara lebih pantas dan berkualiti.
Kerajaan Elektronik akan memainkan peranan yang utama dalam menjadi pemangkin kepada pembangunan MSC, serentak menyahut seruan sosio-politik dan ekonomi Wawasan 2020 dan K-Ekonomi.
1.2 Visi
Visi Kerajaan Elektronik ialah untuk mempastikan setiap kakitangan kerajaan, perniagaan dan orangramai supaya dapat bekerjasama demi kebaikan negara. Visi ini menyaran penyusunan semula kerajaan (menggunakan teknologi maklumat dan multimedia bagi meningkatkan produktiviti secara dramatik) dan mencipta satu suasana kerjasama yang akan menggalakkan pembangunan secara bersinambung dalam industri multimedia.
Visi ini difokuskan ke arah membekalkan perkhidmatan yang cekap dan berkesan daripada kerajaan kepada rakyat secara lebih peka dan prihatin terhadap kehendak-kehendak semasa.
Program pengkomputeran kerajaan sehingga kini telah pun mencapai tahap-tahap automasi yang tinggi. Walaubagaimanapun, objektif-objektif tonggak Kerajaan Elektronik tidaklah terikat kepada pengkomputeran kerajaan semata-mata kerana kalau dengan hanya memperkenalkan komputer ke dalam struktur dan proses kerajaan, pastinya tidak akan mampu membantu hasrat pencapaian yang dinyatakan sebagaimana di atas.
Dengan merealisasikan Kerajaan Elektronik, perubahan pastinya akan berlaku ke atas operasi kerajaan dan terbentuknya tanggungjawab yang baru ke atas kakitangan perkhidmatan awam, perniagaan dan orangramai.
Dengan menawarkan pembaharuan dari segi perkhidmatan, informasi dan rangkaian akan membantu ke arah perkalihan paradigma dan pembangunan kemahiran-kemahiran yang baru. Hasilnya, Kerajaan Elektronik akan membantu menjadikan Malaysia sebagai negara maju.
1.3 Objektif
Terdapat dua objektif yang perlu dicapai oleh Kerajaan Elektronik sebelum menyusun kembali konsep kerajaan menerusi perhubungan (connectivity) dan menjadi pemangkin kepada pembangunan pesat MSC.
1.4 Menyusun Kembali Kerajaan Menerusi Perhubungan
Kerajaan Elektronik akan mentakrifkan kembali perhubungan kerajaan dengan rakyat, perniagaan dan dirinya sendiri. Kepada rakyat, perhubungan ini akan menyebabkan peningkatan yang dramatik terhadap perkhidmatan dan membuka ruang kepada mereka untuk mendapat akses yang lebih meluas, selesa, peka, lebih berkualiti dan pada harga yang berpatutan. Sambungan menerusi kios elektronik dan Internet akan dapat membantu kerajaan dalam meningkatkan taraf pembekalan perkhidmatan tanpa kertas dan transaksi secara langsung (on-line)
Begitu juga kepada perniagaan dan industri, Kerajaan Elektronik akan meningkatkan perhubungan dan kepekaan terhadap aplikasi dan kelulusan. Di pihak kerajaan, perhubungan-perhubungan baru ini akan mengeratkan lagi hubungan menerusi aliran maklumat dan komunikasi bertaraf tinggi di antara komponen-komponen kerajaan. Peningkatan di dalam penyelarasan sumber kerajaan dan penggunaan peralatan penyokong analitikal dan keputusan (analytical and decision support tools)akan turut berlaku.
1.5 Pemangkin MSC
Sebagai salah satu daripada tujuh aplikasi tulang belakang (flagship) Kerajaan Elektronik akan turut menyumbangkan kepada kepesatan pembangunan Malaysia.
Kerajaan Elektronik menjadi model kepada pelaksanaan teknologi tanpa kertas untuk keseluruhan jabatan kerajaan seluruh Malaysia. Dengan terhasilnya yang sedemikian, peningkatan produktiviti di sektor awam akan merangsang pula produktiviti di sektor swasta. Gabungan kedua-duanya akan menstabilkan perkembangan ekonomi yang pesat di Malaysia.
Hubungan Kerajaan Elektronik dengan lain-lain tulang belakang aplikasi MSC adalah rapat dan menjalani proses perubahan secara serentak.
1.6 Pendekatan
Kerajaan Elektronik merupakan projek beraspirasi tinggi. Bagi mencapai visinya akan memerlukan program pembangunan dan pelaksanaan yang merangkumi segala aspek kerajaan seperti :-
a) proses menjuruterakan semula,
b) sistem yang baru,
c) struktur yang lebih baik dan
d) program latihan untuk membangunkan kemahiran yang baru serta menggalakkan nilai perkongsian.
Keutamaan dalam perlaksanaan aplikasi berdasarkan potensi akan diberikan.
Lima aplikasi utama untuk Kerajaan Elektronik telah pun disediakan. Kumpulan yang terdiri daripada agensi Multimedia Development Corporation (MDC) telah membangunkan 'Permohonan Cadangan dan Konsep. ("Concept Requests for Proposals" (CRFPs) yang menerangkan keperluan setiap aplikasi utama ini dan memberikan fleksibiliti yang diperlukan kepada konsortium dan syarikat swasta bagi melakukan inovasi dan membekalkan penyelesaian yang terbaik.
Dasar dan panduan mengenai aplikasi ini yang didasarkan kepada piawaian teknologi dan bukan teknologi sedang dibangunkan untuk memastikan penyelarasan dan kesesuaian terhadap keseluruhan aplikasi Kerajaan Elektronik di masakini dan di masa hadapan.
Pasukan ini juga akan mewujudkan Pelan Biru untuk Kerajaan Elektronik yang berasaskan visinya, mengambilkira arus perubahan aplikasi di alaf baru dan mendefinisikan tempoh CRFP di masa-masa hadapan.
1.7 Aplikasi Utama
Aplikasi utama Kerajaan Elektronik ialah :-
§ Pelesenan dan Lain-Lain yang berkaitan dengan perkhidmatan dan kegunaan kenderaan.
§ Pembayaran Utiliti - ini akan memudahkan orangramai menjalankan transaksi dengan lebih mudah. Dengan adanya tetingkap perkhidmatan secara 'one-stop'yang disediakan oleh Kerajaan Elektronik dijangka hanya memerlukan orangramai memperbaharui lesen atau membayar bil elektrik di kios-kios pusat-pusat membeli-belah atau menggunakan Komputer Peribadi di rumah menerusi sesi yang sangat mudah.
§ Pembelian Elektronik - Aplikasi ini bertujuan untuk menjuruterakan kembali, mengautomasi dan menukar sistem pembelian yang sedia ada. Sistem yang baru ini akan mempercepatkan masa dan menjimatkan kos pembelian sekaligus menjadikan kerajaan sebagai "Pembeli Pintar" Pembekal, besar ataupun kecil, akan dapat sama-sama merasai nikmat ketelusan yang ditawarkan oleh sistem ini.
Pejabat Perdana Menteri - Pejabat Bersuasana Generik yang akan menyediakan perkhidmatan teknologi informasi multimedia yang penuh integrasi, penyebaran yang mudah dan dapat diukur. Kakitangan perkhidmatan awam akan dibekalkan dengan cara yang mudah dan pantas dalam mengakses maklumat yang tepat dan terkini.
§ Sistem Informasi Pengurusan Sumber Manusia - untuk membantu kakitangan kerajaan bagi untuk melaksanakan fungsi Pengurusan Sumber Manusia dengan pantas dan cekap dalam suasana integrasi penuh.
§ Sistem Pengawasan Projek - mekanisma untuk membantu pelaksanaan projek. Perkhidmatan ini akan menyediakan pelantar penukaran idea dan mendemonstrasikan model amalan terbaik dalam perkhidmatan komunikasi dan pengurusan informasi.
1.8 Peluang Untuk Syarikat-Syarikat
Kerajaan sedang dalam usaha untuk menubuhkan perkongsian pintar dengan konsortium tempatan dan antarabangsa yang terletak di dalam MSC bagi memperkenalkan penyelesaian terbaik dan terkini serta membangunkan aplikasi yang canggih. Inisiatif Kerajaan Elektronik ini akan mencipta satu laluan kepada syarikat-syarikat untuk merapatkan lagi hubungan dan mewujudkan kerjasama dalam menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.
Selain daripada kebaikan-kebaikan yang dinyatakan, Kerajaan Elektronik akan menyumbang kepada terciptanya suasana yang ideal bagi menyokong pembangunan industri multimedia di Malaysia.
Spesifikasi kontrak yang jelas akan membuka peluang kepada syarikat-syarikat bagi mengadakan inovasi penyelesaian baru yang kelak akan dapat dikomersilkan di pasaran antarabangsa. Sesungguhnya, pembangunan multimedia dalam kerajaan adalah serentak menjadi pemangkin kepada projek MSC.
1.9 Renungan
Peluang Ke Arah Penyusunan Kembali Kerajaan adalah "Sebahagian daripada kejayaan Pentadbiran Awam dalam memperkenalkan perubahan pengurusan dan pentadbiran ialah hasil perkembangan yang mendadak teknologi maklumat”
Perhatian akan terus difokuskan kepada memperkembangkan lagi teknologi terkini, dalam usaha keseluruhan kerajaan menghala ke arah Pentadbiran Awam Tanpa Kertas dan pelaksanaan Kerajaan Elektronik dalam sebagai sebahagian daripada pembangunan Koridor Raya Multimedia"
2.0 Telematik
2.1 Sasaran, Strategi, Objektif Program
Sasaran jangkapanjang ialah untuk memudahkan laluan sumber maklumat daripada dalam dan luar negara menerusi hubungan rangkaian komputer termasuklah kawasan luar bandar. Sasaran ini juga akan membantu pembuat keputusan pada kesemua tahap seperti penyelidik dan mungkin orang awam termasuklah mereka di luar bandar dapat menggunakan perkhidmatan telematik untuk :-
melibatkan diri secara aktif dalam kerjasama dalam dan luar negara bagi mendapatkan maklumat, data, grafik, gambar, video dll secara elektronik untuk meningkatkan perdagangan, pengangkutan, kesihatan, pendidikan, latihan dan lain-lain. Selain itu mereka juga dapat melibatkan diri dalam persidangan video dll.
Antara Objektifnya pula ialah :-
menghubungkan rangkaian ini dengan Koridor Raya Multimedia terutamanya MIMOS dan MDC menerusi penukaran maklumat berbentuk multimedia dan penglibatan dalam persidangan video. MIMOS dan/atau MDC akan berfungsi sebagai pusat latihan untuk kawasan luar bandar samada di dalam dan di luar negara bagi penyelarasan yang seiring.
2.1.1 Isi Pelan Tindakan adalah sebagaimana berikut :-
1. Mengadakan panduan dasar kebangsaan.
2. Mengadakan Rangkaian
3. Melaksanakan sistem rangkaian (termasuk mengadakan laluan ke peringkat antarabangsa)
4. Membekalkan peralatan dan terminal
5. Pembangunan Sumber Manusia menerusi Latihan
6. Penilaian
7. Khidmat Nasihat dan Perundingan – menerusi konsep perpustakaan maya yang dihubungi dengan rangkaian antarabangsa.
MIMOS dan/atau MDC akan mengenalpasti keperluan, formulasi projek, mengawas dan menilai, spesifikasi kontrak dan penilaian dsb. Ini akan dijelaskan menerusi seminar, mesyuarat maklumat dan menghantar kakitangan-kakitangan mereka ke lokasi-lokasi di luar bandar sekiranya perlu.
2.2 Pembiayaan Projek
Projek yang dijangka akan dibiayai dan disokong oleh kerajaan, MIMOS, MDC, UNDP, sektor korporat, syarikat yang dilantik, penyelidik dll. akan mengambilkira sokongan pentadbiran dan teknikal yang dibekalkan bagi melaksanakan projek ini.
2.2.1 Kebaikan
Kawasan luar bandar pastinya akan merasakan kebaikan daripada program telematik ini Kebanyakan sumber akan disalurkan ke arah prasarana berikut :-
1) Pembangunan telekomunikasi luar Bandar
2) Pembangunan sumber manusia
3) Pengurusan
4) Penyelenggaraan
5) Perancangan
2.3 Program
2.3.1 Strategi
Strategi keseluruhan pengenalan telematik luar bandar ialah untuk membantu dalam pelaburan yang stabil seterusnya meraih dan mengagih keuntungan/pendapatan secara adil menerusi lima prasarana utama yang disebutkan di atas.
2.3.2 Sasaran
Adalah dijangkakan, di alaf baru, program ini akan :-
(a) memenuhi kehendak perkhidmatan telekomunikasi – ini bermakna perangkaian bersepadu akan berlaku di antara kawasan bandar dan luar bandar.
(b) Meninggikan lagi tahap penggunaan perkhidmatan telekomunikasi di luar bandar.
3.0 Telekerja (Telework)
Tema : Implikasi ke atas Sektor Pekerjaan dan Perdagangan di Negara-Negara Membangun - Malaysia dan India
3.1 Latarbelakang
Projek ini akan mendokumenkan skop telework di India dan Malaysia, dan akan menilai potensi mewujudkan peluang pekerjaan dan lain-lain terutamanya ke atas kaum wanita yang tidak begitu bernasib baik dari sudut akademik, kemahiran dsb. Penyelidikan ini akan melihat aspek telework di dalam dan di luar sempadan kebangsaan dan memeriksa impak ke atas sektor perkhidmatan-perkhidmatan utama seperti, perisian, kewangan dan perbankan, media dan percetakan serta pendidikan. Faktor impirikal (pengalaman dan pemerhatian) akan mengenalpasti penghalang-penghalang pelaksanaan telekomuting dan tele-perdagangan (aspek telework kebangsaan dan antarabangsa) untuk menaikkan taraf pembangunan luar bandar, kecekapan sektor korporat. dan prospek industri kecil dan sederhana. Projek ini akan menilai implikasi positif dan negatif telework dari sudut kualiti pekerjaan untuk menyara hidup. Ianya, sebagai tambahan, akan menyumbang ke arah meninggikan lagi dayasaing di India dan Malaysia dalam masyarakat bermaklumat secara global. Ianya juga akan meransang interaksi dan pengemaskinian maklumat terutamanya mengenai dasar dan perhubungan bilateral Benua Selatan dan Utara.
Projek ini pada dasarnya adalah berorientasikan dasar. Di Malaysia, projek ini dibiayai oleh Kerajaan dengan kerjasama sektor-sektor korporat dan antarabangsa seperti UNDP (sebagai Penderma). Penderma projek ini akan mengenalpasti sejauh mana penglibatan dasar dalam menjadi pemangkin kepada objektif sosial. Projek di India pula dibiayai oleh IDRC, Kanada dan telah mendapat mandat daripada ejensi Penderma untuk mengadakan satu rangka dasar dalam usaha menggunapakai telework bagi meninggikan lagi dayasaing di peringkat kebangsaan, agihan pendapatan sosial dan wanita bekerja. Dengan penyebaran pengalaman belajar daripada negara-negara membangun yang lain, projek ini akan membantu rundingan konsensus di antara Benua Selatan dan Utara terutamanya berkisarkan isu-isu perdagangan perkhidmatan.
Penyebaran ini akan diagihkan kepada klien/stakeholder, termasuk kerajaan, kesatuan sekerja, pertubuhan profesional, pekumpulan wanita dan warga pendidik di bidang komputer.
3.2 Metodoloji
Projek ini terdiri daripada tiga komponen:
1. tinjauan budaya;
2. kerja lapangan berbentuk kuantitatif dan kualitatif;
3. bengkel-bengkel yang melibatkan pembikin dasar daripada 6 negara Asia dan para penyelidik di rantau ini bagi menyebarkan pengalaman belajar daripada faktor-faktor impirikal. Bengkel ini juga akan menggalakkan penglibatan daripada badan-badan perundangan dan pembuat dasar antarabangsa seperti, WTO, UNCTAD dan ILO.
Kebanyakan penyelidikan ini akan dijalankan oleh penyelidik dari India dan Malaysia. UNU/INTECH akan membekalkan kaedah, penyeliaan dan memastikan kawalan mutu. UNU/INTECH juga akan bertanggungjawab ke atas keseluruhan pengurusan projek terutamanya penyebaran hasil/keputusan menerusi bengkel serantau ini.
3.3 Output yang Diramalkan
1. Penerbitan Telework di Negara-Negara Membangun seperti India dan Malaysia.
2. Satu siri artikel dalam jurnal berbentuk professional, perniagaan dan ilmiah.
3. Laporan telework ke atas pembikin dasar dan stakeholder.
4. Bahan untuk program televisyen, radio dan akhbar.
3.4 Individu dan Institusi yang terlibat.
Projek ini akan dijalankan dengan kerjasama semua institut penyelidikan di India dan Malaysia antaranya MIMOS-Berhad dan NCSTI (National Centre for Software Technology, India). Institut-Institut ini berhubungan rapat dengan kerajaan, badan professional dan pendidik, dan mempunyai kuasa dan peranan pembikinan dasar. Tambahan pula, projek ini mendapat sokongan sepenuhnya Telecom Group of the Bombay First Initiative, satu organisasi yang di bawah payung Dewan Perniagaan dan Industri, Bombay. Di India, Bombay akan menjadi fokus utama kerja-kerja lapangan.
Perhubungan dengan lain-lain sistem UNU dan lain-lain organisasi sistem Bangsa-Bangsa Bersatu.
Dalam konteks sistem Bangsa-Bangsa Bersatu, projek ini melibatkan UNIFEM (bagi menilai dalam konteks dialog WTO, impak teleperdagangan ke atas wanita bekerja) ), dari UNCSTD ( inputs ke atas kerja-kerja mereka mengenai IT untuk Pembangunan), dari ILO (untuk input ke atas kerja-kerja mereka dalam menjadi pemangkin kepada perhubungan industri dan pengurusan), dan UNDP (ke atas kerja-kerja penggunaan telematik bagi pembangunan yang bersinambung.
3.5 Perancangan Aktiviti Projek yang telah dijalankan
Input projek ke atas agenda berikut :-
§ dengan menubuhkan panel 'Teleworking: Persyarikatan Maya dalam Ekonomi tanpa Sempadan', di New Delhi, India. 4-5 Disember, l997
§ bengkel antarabangsa perdagangan elektronik anjuran Persatuan Komputer India dan Persekutuan Komputer Rantau Asia Tenggara - Southeast Asian Regional Computer Confederation (SEARCC)- 5 Disember, l997
§ mengemukakan keputusan tinjauan semasa ke atas teleworking dalam bengkel yang dibiayai IDRC/Bombay First Initiative di Mumbai - 10 Disember, l997
§ satu pameran dan tunjukajar mengenai telekomuting anjuran Bombay First Initiative dan Persatuan Komputer India. Acara ini bertujuan mengenalpasti cabaran dan peluang organisasi dan kakitangan serta pekerja-pekerjanya. July, l998.
§ Bengkel Teleworking di Malaysia dan India anjuran Kerajaan Malaysia. Ogos, l998.
§ Bengkel global teleworking anjuran UNU/INTECH dengan NCST dan IDRC December, l998.
4.0 Teleperubatan
4.1 Petikan Ucapan Belanjawan 1997
‘Sebanyak RM3.494 bilion disediakan untuk meneruskan peningkatan taraf dan mutu perkhidmatan perubatan dan kesihatan awam dan memperluaskan perkhidmatan kepakaran ke hospital-hospital negeri dan daerah. Sebanyak RM743 juta pula disediakan untuk membina prasarana yang melibatkan antara lain pembinaan dan kenaikan taraf pusat-pusat kesihatan, klinik desa dan hospital baru. Dengan tambahan peruntukan yang besar ini, hospital dan klinik-klinik sewajarnya dapat memberi perkhidmatan yang lebih bermutu dan selesa kepada orang awam. Di samping itu, adalah diharapkan dengan memperkenalkan teleperubatan dan perkhidmatan teleperundingan dapat mengatasi masalah berkaitan dengan kekurangan perkhidmatan pakar yang dihadapi di negara ini. Kita akan juga terus membantu badan-badan kebajikan yang terlibat dengan usaha-usaha murni memberi perkhidmatan kemasyarakatan.’
Mengikut Definisi Rang Undang-Undang Teleperubatan 1997, "teleperubatan" ertinya amalan perubatan dengan menggunakan komunikasi audio, visual dan data
Di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Kementerian Kesihatan akan menjadikan HUKM sebagai hospital contoh kerana selain dari memberikan perkhidmatan kepada pesakit yang datang ke hospital ini, HUKM juga turut memberi latihan kepada pelajar-pelajar pakar di hospital-hospital di seluruh negara dan memberikan kemudahan rawatannya kepada masyarakat di luar bandar. Konsultansi juga boleh didapati melalui Tele-Perubatan. Melalui Tele-Perubatan ini, doktor-doktor luar akan dapat berhubung terus dengan pakar-pakar di hospital ini untuk membuat rujukan dan sebagainya.
Tele-Perubatan ini juga berfungsi bagi membolehkan pakar-pakar di hospital ini berhubung terus dengan pakar-pakar perubatan di seluruh negara bagi mendapatkan nasihat dan pandangan mereka.
HUKM mempunyai hubungan yang erat dengan hospital-hospital lain di seluruh dunia. Sebagai contoh, pakar-pakar Obsetetrik dan Ginekologi, Neurosurgeri dan Endokrinologi di hospital ini, sentiasa mengadakan hubungan kerja dengan pakar-pakar dari Amerika Syarikat, Australia dan sebagainya. Tiap-tiap jabatan pula sentiasa menjemput profesor-profesor dari luar negara untuk menjadi pemeriksa luar sekurang-kurangnya 2 kali setahun. Ini satu cara untuk menentukan taraf dan prestasi yang tinggi dicapai dalam semua bidang.
Dalam proses untuk memajukan dan memperkembangkan lagi penggunaan IT di negara ini, IT yang berasaskan multimedia akan diberikan perhatian utama.
Dalam bidang teleperubatan, kita akan menggunakan doktor pakar yang berada di luar negara untuk membuat diagnosis terhadap pesakit yang berada di Malaysia.
Doktor pakar dapat melihat gambar pesakit melalui komputernya yang dipancarkan dari hospital di Malaysia untuk membuat analisis, rujukan dan cadangan rawatan.
Hospital akan menggunakan teknologi maklumat yang canggih untuk berhubung antara hospital di rantau ini serta di seluruh dunia. Dengan itu, kepakaran doktor di seluruh dunia dapat dikongsi oleh doktor tempatan.
5.0 E-Dagang
Tema : Pembangunan Usahawan Menerusi E-Dagang
5.1 Pengenalan
Dilema utama dalam aktiviti perdagangan sejak dahulu ialah jarak yang jauh. Untuk mengembangkan perniagaannya, pembekal perkhidmatan perlu meluaskan pasarannya yang akan melibatkan kos yang banyak seperti pengangkutan, penyelenggaraan dan sebagainya. Di samping itu faktor waktu juga perlu diambil kira, lebih-lebih lagi jika melibatkan perdangangan antarabangsa diantara negara yang berbeza zon waktunya. Ini sudah tentu merumitkan bagi mereka berurusan.
E- Dagang (kini lebih popular dengan istilah dotcom) merupakan satu alat atau mekanisma yang akan membantu pembekal perkhidmatan/produk menyelesaikan masalah ini. E-Dagang merupakan satu kaedah transaksi elektronik maya tanpa sempadan jarak atau waktu. Dalam suasana maya, organisasi dapat menubuhkan pejabat maya yang dapat dikunjungi oleh pelanggan pada bila-bila masa sahaja. Contohnya seorang penjual buku, cenderamata, memorablia dll dapat mendirikan gedungnya menerusi laman web selaku pejabat maya (lihat Amazon.com) Ini merupakan satu metodoloji perdagangan yang sangat ideal dan mempunyai potensi besar untuk dikembangkan.
5.2 E-Dagang?
E-Dagang merupakan satu metodoloji perniagaan yang menggunakan perantaraan elektronik untuk melakukan keseluruhan transaksi perniagaan. Pembekal dan Pelanggan bertemu dalam suasana virtual untuk melakukan urusniaga dengan menggunakan teknologi Internet, digital dan lain-lain. E-Dagang melupuskan sempadan dan masa. Pelanggan dapat membeli-belah pada bila-bila masa sahaja dan di mana jua menerusi akses kepada Internet. Kaedah ini amat selesa bagi mereka yang tidak mempunyai masa untuk pergi membeli-belah atau tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas atau berbaris di kaunter.
Pembekal akan mendirikan gedung maya dan mempromosikan melalui laman web. Produk/Perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan/pengguna disenaraikan. Antara cara pengiklanan adalah dengan meletakkan sepanduk elektronik secara berbayar atau pintar seperti penukaran sepanduk dengan mana-mana laman web lain. Organisasi-organisasi lembah silikon biasanya akan menawarkan laman web percuma kepada pengguna Internet dimana mereka boleh memaparkan iklan sepanduk kepada pengunjung laman web tersebut.
Pembeli/Pelanggan hanya perlu mengunjungi mana-mana tapak web E-Dagang dan membuat pemilihan produk/perkhidmatan yang dikehendaki. Produk yang dipilih pasti akan sampai dalam tempoh yang ditetapkan.
5.3 Secara Pintar
5.3.1 Rakan Kongsi Maya
Ada pembekal yang melantik ‘agen maya’ secara bebas kepada mana-mana pemilik/webmaster laman web. Pemilik laman web yang berminat akan mengisikan borang permohonan dan dalam tempoh yang singkat mereka akan dilantik menjadi agen maya setelah memasang sepanduk pembekal di dalam laman mereka. Kod sumber html sepanduk berkenaan akan melibatkan No. ID (pengenalan) perujuk (pemilik laman web) dimana perujuk akan diberikan komisyen setiap kali transaksi berlaku menerusi laman web berkenaan.
5.3.2 Penajaan
Ada juga pemilik/webmaster laman web lain yang ditaja oleh organisasi korporat untuk memaparkan produk/perkhidmatan yang dibekalkan. Pemilik/webmaster biasanya terdiri daripada orang-orang yang bertaraf professional di bidang masing-masing dan sesuai untuk mempromosikan produk/perkhidmatan organisasi korporat dan dibayar royalti atau gaji bagi mereka yang bekerja secara rasmi dengan organisasi berkenaan, samada secara langsung atau pun secara maya.
5.4 Kaedah Pembayaran
Transaksi E-Dagang biasanya melibatkan pihak ketiga seperti bank, syarikat kewangan, pengeluar kad kredit dan badan-badan persijilan tertentu. Apabila pembeli membuat sesuatu pembelian, mereka akan diminta memberikan nombor kad kredit mereka untuk dienkripsikan oleh komputer penjual. Kaedah enkripsi ini akan membenarkan komputer penjual memintas nombor kad kredit pembeli untuk menyelesaikan proses pembayaran. Dengan ini nombor kad kredit pembeli tidak akan dibaca oleh penjual. Di antara teknologi yang menyokong pembayaran melalui kaedah ini ialah Secure Electronic Transaction (SET) yang dibangunkan oleh Master Card dan Visa serta Secure Socket Layer (SEL).
Selain itu, terdapat beberapa mod pembayaran yang telah diperkenalkan organisasi yang membangunkan E-Dagang seperti tunai digital (digital cash), cek digital dan teknologi sokongan seperti sistem Kriptografi PKI (Public Key Infrastructure) dan sijil digital. Kaedah tunai digital membolehkan pembeli menghantar wang di dalam talian tanpa menggunakan nombor kad kredit. Kaedah pembayaran ini dipelopori oleh DigiCash, Net.Trader dan Cyber Cash di Amerika Syarikat. Di Malaysia kaedah ini mula dibangunkan oleh MIMOS Berhad dan Hitechniaga Sdn. Bhd. melalui laman web Jaring's Mall. Apa yang perlu dilakukan oleh pengguna ialah mengisi borang permohonan dan memilih nilai wang digital yang mereka kehendaki. Setelah proses pembayaran kepada Jaring's Mall dilakukan anda akan diberikan nombor rahsia yang membolehkan anda melakukan pembelian.
Salah satu isu yang amat penting di dalam E-Dagang ialah kebimbangan pengguna terhadap keselamatannya. Ramai pengguna masih ragu-ragu terhadap keselamatan transaksasi melalui talian di mana terdapat kemungkinan maklumat peribadi mereka serta nombor kad kredit akan dipintas oleh penggodam sistem komputer. Namun dengan kemunculan teknologi seperti SET, SSL serta peningkatan firewall, pengguna tidak perlu bimbang lagi tentang keselamatan semasa melakukan pembayaran. Teknologi SET contohnya memerlukan pembeli, penjual dan pihak bank berdaftar dengan badan persijilan tertentu bagi mengesahkan identiti mereka semasa melakukan urusniaga. Pengesahan ini akan dilakukan secara luar talian seperti melalui telefon, faks dan sebagainya.
5.5 Kategori E-Dagang
E-Dagang dapat diklasifikasikan kepada dua kategori kunci iaitu diantara perniagaan dan perniagaan, dan diantara perniagaan dengan pengguna. E-Dagang diantara perniagaan dan perniagaan melibatkan transaksi diantara dua atau lebih syarikat. Biasanya ia melibatkan diantara pembekal dan organisasi penjual/pemasar. Contohnya sebuah kilang pengeluar/pencetak buku akan berurusan dengan sebuah gedung buku. Jenis E-Dagang yang kedua pula melibatkan penjual dengan pengguna akhir sesuatu produk. Contohnya gedung buku menjual produknya kepada pengguna melalui E-Dagang.
5.6 Saiz E-Dagang
E-Dagang merupakan satu bentuk perniagaan yang semakin berkembang di seluruh dunia. Ini adalah disebabkan peningkatan yang ketara dalam Teknologi Maklumat (IT) di mana ia bertindak sebagai penyokong utama E-Dagang. Intelligent Quest's World Wide/ Online Tracking Service, sebuah badan penyelidikan antarabangsa melaporkan bahawa 12% daripada pengguna Internet terlibat dalam E-Dagang. Sementara itu menurut Computer Intelligence pula sebanyak 2% daripada 4.8 juta perniagaan berkomputer diseluruh dunia menggunakan E-Dagang untuk menjalankan semua atau sebahagian daripada transaksi perniagaan. Ini menunjukkan peningakatan yang amat ketara dalam masa beberapa tahun sahaja.
Perangkaan terkini menyatakan bahawa pengguna Internet telah meningkat kepada 200 juta melalui sambungan dail terus dan 17 juta pengguna melalui sambungan tetap. Di Asia Pasifik termasuk Jepun penggunaan Internet telah meningkat kepada anggaran 25 juta pada tahun 2000. Peningkatan ini adalah 150% berbanding tahun 1997 sebanyak 10 juta pengguna. Kecenderungan trend menunjukkan penggunaan ini berkait secara langsung dengan e-dagang.
Dari segi pendapatan pula, E-Dagang mencatat perolehan sebanyak US$31 juta di Amerika sahaja pada tahun 1998. Jumlah ini dijangka meningkat kepada US$183 juta pada tahun 2003 iaitu peningkatan sebanyak 500%. Di Malaysia pula E-Dagang ternyata menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan. Pada tahun 1998 jumlah transaksi perniagaan melalui E-Dagang ialah sebanyak US$15 juta iaitu hampir 50% daripada perolehan di Amerika Syarikat pada tahun yang sama. Ia meningkat kepada US$46 juta pada 1999 dan pada tahun 2003 pendapatan E-Dagang dijangka mencecah US$1560 juta.
5.7 Skop E-Dagang
E-Dagang meliputi enam sektor perniagaan yang utama iaitu pengiklanan, pendidikan, kewangan, bidang profesional, peruncitan dan pelancongan. Kesemua sektor menyumbangkan pertumbuhan yang ketara terhadap perdagangan melalui talian. Pendapatan E-Dagang dalam sektor pengiklanan mencecah US$1.3 billion pada tahun 1998. Aset yang diniagakan menerusi talian oleh broker ialah US$420 bilion. Dalam bidang pendidikan, bilangan penuntut jarak jauh ialah 120 ribu pada tahun 1997 dan meningkat kepada 710 ribu pada tahun 1998. Sementara itu penggunaan teleperubatan meningkat kepada 300% dan lebih 3 juta orang mendapat manfaat daripada kemudahan tersebut. Sementara itu, bagi sektor kewangan pembelian aplikasi perbankan bernilai US$93 juta pada tahun 1998 dan peningkatannya dijangka sebanyak US$326 juta pada tahun ini. Bagi sektor pelancongan, tempahan tiket yang diperolehi melalui Intenet pada tahun 1997 hanyalah US$100 juta tetapi ia dijangka meningkat kepada US$3.1 billion pada tahun 2002. Ini ialah berikutan keyakinan orang ramai yang semakin meningkat terhadap keselamatan dan keberkesanan urusniaga melalui talian. Pengguna yang akan merancang perjalanan menggunakan Internet dijangka meningkat daripada 3.1 juta kepada 11.7 juta.
5.8 Pembangunan Usahawan Menerusi E-Dagang
Kemunculan E-Dagang merupakan satu prospek yang pintar dan menguntungkan para usahawan. Ini kerana berdasarkan saiz pertumbuhannya E-Dagang akan menjadi satu bentuk perniagaan yang utama pada masa hadapan. Perkembangan semasa menunjukkan masyarakat semakin peka terhadap K-Ekonomi dan arus globalisasi. Kesan ini mungkin tidak begitu dirasakan di Malaysia tetapi di negara-negara maju, ianya telah menjadi trend masyarakat di sana untuk melakukan pembelian online. Terdapat beberapa faktor yang mana ia boleh membantu para usahawan mengembangkan perniagaan mereka menerusi talian.
Antara Lain :
5.8.1 Pasaran Yang Luas.
E-Dagang menggunakan teknologi Internet sebagai platform utama perkembangannya. Oleh itu pasarannya seharusnya dilihat dari segi bilangan mereka yang menggunakan Internet. Di Malaysia sahaja bilangan ahli yang berdaftar dengan JARING ialah seramai 100,000 orang dengan 300,000 orang dijangka menggunakan Internet pada tahun 1997. Jumlah ini tidak menunjukkan pasaran yang luas tetapi jika dilihat kepada peningkatannya kepada 200,000 orang pada tahun 1998 dengan 600,000 pengguna ternyata E-Dagang mempunyai pontensi besar untuk dikembangkan. Pada masa sekarang terdapat lebih daripada satu juta pengguna yang berdaftar dengan JARING dan TMnet.
Walaupun bilangan pengguna Internet untuk dijadikan peluang pasaran bagi perniagaan menerusi talian masih lagi secara perbandingannya kecil, namun ia meningkat dengan begitu cepat sekali. Di samping itu kita perlu ingat bahawa perniagaan menerusi talian tidak akan terhalang oleh aspek geografi. Produk yang dipasarkan menerusi talian boleh dicapai oleh pengguna dari serata dunia. Inilah kelebihan pasaran bagi E-Dagang. Usaha untuk membawa produk ke pasaran antarabangsa bukan lagi terhad kepada organisasi besar malah termasuk organisasi kecil/sederhana dan orang perseorangan!!
5.8.2 Kos Perniagaan yang berpatutan
Jika halangan utama bagi seseorang usahawan menjalankan perniagaan di bandar (untuk peluang pasaran yang lebih luas) ialah kadar sewa bangunan yang tinggi, maka dengan E-Dagang masalah itu tidak wujud lagi. Dengan menempatkan perniagaan di sebuah pelayan web utama, mereka telah menempatkan diri secara global. Ini kerana teknologi web membolehkan ia diakses dari mana-mana tempat sekalipun. Apa yang menarik lagi ialah kosnya secara relatif adalah amat kecil. Contohnya untuk menempatkan perniagaan produk/perkhidmatan di pelayan web Yahoo Geocities atau Fortunecity, dua buah pelayan web yang mempunyai komuniti berjuta-juta pengguna Internet anda hanya perlu membayar lebih kurang RM100-150 sebulan. Potensi pasaran usahawan ialah kesemua komuniti Yahoo Geocities/Fortunecity khususnya dan pengguna Internet amnya. Selain itu usahawan turut ditawarkan khidmat penyelenggaraan perniagaan maya mereka.
5.8.2 Sokongan Organisasi Korporat dan Multinasional.
Perkembangan yang pesat dalam IT telah mendorong beberapa firma korporat tempatan untuk membangunkan E-Dagang. Ini dapat dilihat daripada usaha firma-firma ini mendirikan mendirikan tapak-tapak web yang menyokong platform E-Dagang. Antara pelopornya ialah Hitechniaga Sdn.Bhd. melalui kerjasama Microsoft Corp. telah membangunkan tapak web Mybiz. Tapak web ini dibangunkan khusus untuk syarikat bertaraf IKS (Industri Kecil dan Sederhana) mendirikan perniagaan di Internet. Selain itu syarikat Mytex Solutions Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang mencipta dan mempamerkan halaman web telah memperkenalkan pakej 'ringgit sehari' untuk perniagaan tempatan. Pakej ini ditawarkan kepada sesiapa sahaja terutama daripada IKS untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka melalui laman web sendiri.
Selain itu Kumpulan Renong juga telah melibatkan diri secara aktif dalam pelaburan jangkapanjang yang amat menguntungkan ramai usahawan yang terlibat samada kecil mahupun besar. Di papan-papan utama BSKL juga menunjukkan potensi yang amat memberangsangkan terhadap apa yang dikenali sebagai ‘saham teknologi’ atau ‘saham IT’ atau ‘saham internet’.
Di samping organisasi korporat tempatan, firma/organisasi gergasi/bluechip asing ternyata turut berminat untuk mengembangkan E-Dagang di Malaysia. Di Malaysia. Microsoft Corp. umpamanya sudah mengumumkan komitmen mereka untuk membantu pengusaha kecil agar dapat melibatkan diri dalam E-Dagang. Syarikat ini telah pun mengadakan usaha sama dengan TMNet (lihat msn.com.my), GHL Technologies, Hitechniaga, Sunway Technologies dan Silicon Communication dalam membangunkan persekitaran E-Dagang berasaskan pelantar teknologinya.
5.8.3 Usaha Kerajaan
Usaha kerajaan menerusi cetusan idea YAB Perdana Menteri Malaysia dalam menggalakkan penyertaan industri tempatan dalam E-dagang memang tidak dapat dapat disangkal lagi. Ini dapat dilihat daripada Pelan Utama E-Dagang Negara dan Rangka Kerja E-Dagang Negara yang diketengahkan semasa mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) MSC di Cyberjaya yang melibatkan Microsoft, Lotus, Apple dll. Rangka kerja tersebut meliputi tiga prinsip panduan dan empat pendekatan yang strategik. Prinsipnya meliputi kerjasama pihak kerajaan, perniagaan dan komuniti, pengiktarafan ciri E-Dagang tanpa semapadan dan penciptaan peluang untuk negara memperolehi manfaat daripada inisiatif tersebut. Pendekatan strategik pula meliputi amanah dan keyakinan terhadap e-dagang, memperbaiki rangka kerja undang-undang dan peraturan, memperkukuhkan infrastruktur dan sokongan logistik untuk e-dagang, disamping mengoptimakan ekonomi dan faedah sosial.
Pelan utama e-dagang negara pula terdiri daripada program dan projek khas yang meliputi tujuh kawasan untuk mencerna inovasi, meningkatkan akses pasaran, memacu pembangunan kreatif, perlindungan harta intelektual, pengedaran atau portal mengukuhkan identiti jenama dan antara muka perkhidmatan. .Inilah di antara intipati dalam rangka kerja dan pelan utama e-dagang negara yang diharapkan dapat menjana ke arah perkembangan e-dagang Di Malaysia. Usaha kerajaan ini tidak dapat di pandang remeh memandangkan rancangan ekonomi yang dijalankan oleh kerajaan sebelum ini telah mencapai kejayaan. Para pengusaha tempatan seharusnya tidak ragu-ragu lagi untuk turut terlibat dalam e-dagang berdasarkan peranan kerajaan yang begitu aktif untuk membangunkanya.
Selain itu, pelbagai skim/geran yang telah disiapkan untuk penyelidikan dan pembangunan, bantuan usahawan (termasuk latihan/pemindahan teknologi) oleh agensi-agensi yang terlibat secara langsung dengan MSC.
Projek MSC memberikan kesan yang kuat dalam pembangunan e-dagang. Melalui salah satu aplikasi utamanya iaitu pemasaran tanpa sempadan yang relevan dengan e-dagang. Pembukaan Bandar raya pintar iaitu Cyberjaya juga turut mempengaruhi perkembangan e-dagang. Masyarakat di bandar ini akan menggunakan sepenuhnya kemudahan dunia IT dan e-dagang disamping aplikasi-aplikasi utama serta pecahan/perinciannya yang lain.
5.9 Kesimpulan
Boleh dikatakan perubahan dalam industri IT adalah yang paling pantas sejak bermulanya revolusi perindustrian pada abad ke-19 dahulu. Industri IT adalah dinamik sekali apabila ia mengambil masa kurang daripada 20 tahun untuk berkembang. Bersama-sama industri IT ini adalah perdagangan elektronik atau e-dagang yang memberi impak cukup besar dalam bidang perniagaan. Organisasi gergasi antarabangsa terutamanya yang berada di lembah silikon telah mencatat pulangan berbilion dollar melalui e-dagang.
Kebanyakan raja perniagaan e-dagang ini bermula secara sederhana. Yahoo! Inc. contohnya sewaktu memulakan operasinya hanya mempunyai 12 orang pekerja dengan ruang pejabat yang sempit dan tidak berhawa dingin. Tetapi dalam masa dua tahun selepas penubuhanya ia mempunyai kakitangan diseluruh dunia dengan pendapatan bernilai berbillion dollar sehingga dapat menguasai kepentingan dalam Geocities, sebuah pelayan web yang terkenal di kalangan komunitinya. Faktor penting yang mendorong kejayaan mereka ialah kemampuan kualitatif dan kuantitatif mereka memahami kehendak pelanggan/pengguna. Dengan melakukan inovasi terhadap kaedah konvensional, mereka mampu menarik minat pengguna untuk berurusan dengan mereka.