Certification - done by an Accredited Certification Institution/body to organizations requiring such certification to boost confidence in their products and services. Accreditation is given based on specific trades/industrial expertise displayed by the certification body.
Consulting - a certified third party/person who guide organization to be certified based on law, standards and specifications
---------------------------
Oleh : Nik Zafri bin Abdul Majid
(Artikel ini sepatutnya disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan tetapi telah dibatalkan tanpa alasan yang munasabah)
Kita sering terbaca mengenai firma-firma dari segenap pelusuk dunia mendapat persijilan ISO 9000 atau ISO 14000 atau lain-lain yang berkaitan dengan bidang/industri pembekalan perkhidmatan/produk masing-masing. Namun apa yang saya perhatikan, masih terdapat kekeliruan dalam penggunaan perkataan 'akreditasi' dan 'persijilan' Ada yang juga yang masih kabur dengan etika, fungsi dan had kuasa asas sebuah firma perunding, badan persijilan dan lembaga/badan akreditasi (ISO) Izinkan saya untuk mengupas sedikit secara ringkas persoalan yang kompleks ini sekaligus menghilangkan segala kekeliruan yang timbul.
Setiap piawaian spesifik ISO dan segala perinciannya berada di bawah penyeliaan langsung Jawatankuasa Teknikal Organisasi Standard Antarabangsa (ISOTC) Contohnya ISOTC 176 untuk ISO 9000 dan 207 untuk ISO 14000. Perincian elemen/komponen pula dilakukan oleh jawatankuasa-jawatankuasa kecil (SC). Kadangkala untuk membantu menguatkan lagi tonggak SC, Kumpulan Penasihat Teknikal - TAG (Technical Advisory Group) ditubuhkan.
Biasanya, piawaian yang dijadikan aras ukuran/model antarabangsa oleh ISOTC adalah berpunca daripada :- a) Piawaian tempatan negara-negara terpilih, umpamanya, Piawaian British BS 7750 telah dijadikan asas utama kepada EMS ISO 14000.
b) Penyelidikan dan Pembangunan serta penemuan baru sesuatu produk atau proses seperti penentukuran, ujian dan sebagainya daripada negara-negara terpilih yang kemudiannya dijadikan asas dan pemangkin kepada kewujudan piawaian-piawaian baru atau penyemakan semula piawaian-piawaian terdahulu.
c) Undang-Undang tertentu, umpamanya, yang berkisarkan Alam Sekeliling atau Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ataupun Kejuruteraan.
d) Resolusi Persidangan-Persidangan Dunia umpamanya Geneva, Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu, dll.
Lembaga/Badan Akreditasi (juga dikenali sebagai correspondent member) biasanya ditubuhkan berlandaskan peruntukan undang-undang tertentu yang juga berkaitan dengan ISOTC. Mereka berkuasa penuh untuk menauliahkan/mengakreditasikan Badan Persijilan berlandaskan Panduan ISO/IEC (Contohnya 67 untuk ISO 14000) mengikut skop-skop kerja yang diluluskan sahaja. Contohnya sesebuah badan persijilan dapat mengeluarkan sijil ISO dalam skop kerja kejuruteraan aerospace untuk sesebuah organisasi/industri tidak semestinya boleh meluluskan persijilan untuk skop kerja farmaseutikal. Jadi organisasi farmaseutikal perlu mencari badan persijilan lain yang mampu meluluskan persijilan berkenaan.
Ringkasnya, Badan Persijilan pula berperanan antara lain :
a) Menilai/mengesahkan sistem ISO sesebuah organisasi bagi tujuan persijilan,
b) Mensijilkan organisasi yang layak,
c) Membuat penilaian susulan untuk memastikan kesinambungan penyelenggaraan dan peningkatan berterusan sesebuah organisasi setelah disijilkan,
d) Kebiasaannya, menjalankan latihan-latihan teknikal dan pengurusan yang menghalatuju kearah pemeriksaan yang bersabit dengan ISO (contohnya Penilaian Bertauliah dan Berdaftar)
Setakat artikel ini ditulis, tidak pula jelas dalam panduan-panduan ISO/IEC bahawa badan persijilan boleh mengendalikan perkhidmatan (d) ini kecuali dalam kes-kes seperti usahasama penajaan dan pengelolaan dengan perunding, pertubuhan-pertubuhan atau agensi yang berkaitan. Namun dari kajian saya mengenai draf/blueprint ISO 9001:2000 (versi terbaru ISO 9000 dijangka akan diterbitkan bulan November 2000) menunjukkan kekeliruan ini sedang diperjelaskan oleh ISOTC dan Forum Akreditasi Antarabangsa (IAF) menerusi Panduan ISO/IEC yang baru..
Selain itu, Badan Persijilan juga berperanan aktif dalam jawatankuasa teknikal tempatan untuk menjalankan ujian rapi secara saintifik serta R & D keatas draf/blueprint piawaian yang bakal diperkenalkan. Ini penting untuk menyesuai dan mengorientasikan elemen-elemen piawaian berkenaan dengan suasana setempat.
Pakar Perunding pula secara asasnya hanya memberikan khidmat nasihat, latihan, perundingan dan pembangunan sistem ISO kepada organisasi yang menuju kearah persijilan. Secara etikanya, mereka perlu bebas daripada sebarang ikatan langsung dengan badan persijilan dan akreditasi. Namun begitu mereka perlu berdaftar dengan mana-mana badan/agensi (afiliasi) mengikut peruntukan undang-undang jika ada.
Di peringkat antarabangsa, jarang saya mendengar samada :
a) Lembaga Akreditasi (ISO) dan Badan Persijilan menjadi selaku Pakar Perunding, atau
b) Firma Perunding diberikan akreditasi untuk mengeluarkan sijil ISO tanpa melalui Badan Persijilan.
Penilai-penilai ISO dari firma perunding biasanya memiliki pengalaman dan pendedahan yang luas kepada berbagai jenis industri. Mereka juga merupakan penilai bertauliah/berdaftar serta ahli pertubuhan-pertubuhan professional (afiliasi) dalam bidang kualiti, keselamatan & kesihatan pekerjaan, alam sekitar, pengurusan dll.
Sememangnya, dalam membicarakan subjek yang sungguh luas ini, masih banyak perincian yang boleh dilakukan. Umpamanya saya meramalkan bahawa bidang akreditasi yang meliputi pendidikan/akademik, kemahiran/ketrampilan (LAN-MOE/MLVK-MHR), perkhidmatan, produk dll akan berpayung di bawah satu Lembaga Akreditasi (bebas) sahaja untuk memudahkan kerja-kerja penauliahan - tanpa sebarang kecenderungan Ini telah pun berlaku di kebanyakan negara-negara Eropah terutamanya UK.
Antara kebaikan-kebaikan hasil penjelasan saya ini ialah :-
a) menghilangkan kekeliruan dalam peristilahan dan mengurangkan tindihan kuasa pihak-pihak yang terbabit.
b) menjadi pemangkin kepada anjakan paradigma professional dalam konteks ISO yang semakin diabaikan.
c) mewujudkan 'quality spirit' yang asli sekaligus menghapuskan unsur bias.
d) mengecap hasil penerimaan sebenar produk/perkhidmatan di pasaran antarabangsa oleh industri-industri dan bukan hanya 'lip service' semata-mata dengan sekeping sijil yang belum tentu dapat dibawa kemana-mana.
e) organisasi perlu lebih professional dan mampu memahami sedalam-dalamnya apa-apa yang telah dijelaskan diatas demi ketepatan terutamanya dalam membuat pilihan yang betul dan tepat serta menguntungkan dari segi jangkapanjang operasi mereka.
Nota Penulis (selaku perunding berpengalaman (domestik/antarabangsa) > 15 tahun) : Dalam keghairahan semua pihak yang mempunyai kepentingan dalam 'jaringan akreditasi/persijilan/perundingan' yang luas ini - harus perlu memahami dan menumpukan perhatian kepada segmen pasaran masing-masing kerana ketiga-tiga tret ini adalah complementary dan adalah tidak wajar dijadikan asas untuk 'bertanding secara tidak sihat' atau mencari kepentingan 'perniagaan berlebih-lebihan' (tetapi tiada hasil akhirnya kerana kurang pengalaman) kerana tidak ada mana-mana pihak pun yang akan menang dan akan kalah lebih-lebih lagi dalam dunia dan era 'Knowledge Management' dan globalisasi ini.