(Foto animasi hiasan - Sumber foto : blog : affatutulasror93)
Maafkan saya, hari ini saya ingin mengenengahkan satu 'taboo' yang jarang dibincangkan secara mendalam di kalangan ramai antara kita di Malaysia - 'kecurangan lelaki dan wanita dalam perhubungan'. Tidaklah niat saya untuk mengaibkan sesiapa cuma sekadar ingin meluahkan perasaan. Saya juga bukanlah seorang pakar psikologi atau seorang ustaz - cuma sekadar berkongsi pengalaman dari pemerhatian sebagai 'orang tua' serta seorang manusia yang juga tidak sunyi dari kesilapan.
Semua lelaki atau wanita yang berlaku curang terhadap pasangan mereka samada suami atau isteri, teman lelaki atau wanita, tunang dsb. adalah; antara lain; ialah kerana perasaan 'ingin mencuba perasaan cinta sekali lagi, perhubungan yang intim, ingin merasa muda, dsb.' Faktor ini disebut oleh satu tinjuan psikologi sebagai manusia yang 'tidak mempunyai kepuasan emosi'
Saya tidak bersetuju dengan pendapat menyatakan hanya mangsa dari kaum Hawa sahaja yang akan mendapat kesan dan trauma yang mendalam, begitu juga dengan kaum Adam - cuma orang lelaki lebih pandai menyembunyikan perasaan kekecewaan dan sedih. Bagi mereka yang telah mempunyai zuriat, maka fahamilah bahawa anak-anak juga mengalami trauma (mungkin melihat pertengkaran atau menjadi mangsa setelah perceraian) serta mungkin akan terpengaruh dengan unsur negatif (dalam proses mereka membesar) yang ditunjukkan oleh ibubapanya.
Namun, seorang lelaki atau wanita yang curang dikatakan masih ada perasaan bersalah dalam perbuatannya kerana masih ada sekelumit rasa sayang dan prihatin (tetapi bukan perasaan 'cinta') dengan isteri atau suami mereka atau teman lelaki atau perempuan atau tunang mereka.
Ada kategori tidak kira lelaki yang wanita yang sukakan kecurangan berulang-kali kerana ianya kononnya merupakan satu 'new adventure' ('penerokaaan baru' kata mereka) - ini tidak perlu kita sentuh lagi kerana mereka seperti ini orang yang 'tidak berperasaan' lagi atau memegang prinsip "kita masih muda, enjoy life while you can" Golongan ini beranggapan 'boleh berbuat apa sahaja' atas nama 'kebebasan'.
Islam menetapkan seseorang suami boleh berpoligami sekiranya berkemampuan atau ada masalah kawalan nafsu. Tetapi hukum ini telah banyak disalahgunakan sebagai alasan untuk berlaku curang terlebih dahulu atau punyai 'duit' dahulu, baharu berkahwin lagi. (ada yang terlupa bahawa, jika tidak dapat berlaku adil, memadailah dengan 'seorang' sahaja) Tetapi peliknya - yang mempunyai 'duit berlebihan' menyebabkan mereka akan "cuba menggunakan kedudukan, pengaruh serta kemewahan" mereka bagi "melakukan maksiat". Masalah ini kini sudah menjadi satu parasit.
Lebih mengejutkan lagi ialah mereka yang 'tidak berduit' pun sanggup 'mengumpulkan duit' untuk melakukan maksiat. Ada yang telah putus asa dan mendengar bisikan "kalau dah jahat, tidak ada harapan lagi untuk menjadi baik - 'baiklah' terus menjadi jahat". (Harapan masih ada!)
Bagi yang sedang mengalami kebahagiaan dalam rumah tangga, ada pula yang menjadi mangsa cemburu dari yang orang lain yang memerhatikan suasana kebahagiaan berkenaan. Maka ada pula yang sengaja ingin merosakkan kebahagiaan berkenaan kerana 'mereka tidak bahagia' dan mempunyai sifat dendam. Bukanlah satu perkara yang pelik di alaf ini ada yang 'menggunakan ilmu sihir' yang diharamkan Islam.
Menjadi satu paradoks bila bercakap mengenai perasaan. Seseorang yang ditangkap oleh Pencegah Maksiat atau dicekup ahli keluarga - tiba-tibamenangis dan menyesal serta bersumpah untuk 'menjadi orang baik' atau 'orang alim' atau 'perasaan ingin kembali menjaga isteri dan anak-anak atau menjaga suami dan anak-anak - jika diberikan peluang sekali lagi. Sebenarnya perasaan seperti ini bukan boleh dikategorikan sebagai 'satu penyesalan' tetapi lebih kepada escapist kerana bila 'tersepit' - baru ingat 'nak jadi baik' - masa 'nakal' tu, terlupa pula (tidak dinafikan, ada juga yang benar-benar berubah selepas peristiwa ini)
Apa yang lebih menyedihkan apabila seseorang yang dianggap alim, warak, pengamal perubatan tradisional dsb. juga didapati melakukan perkara-perkara maksiat ke atas pesakit atau mereka yang meminta nasihat dari mereka. Ada yang mengambil peluang ke atas kelemahan dan keretakan perhubungan atau rumahtangga orang lain. Ini adalah satu bentuk pengkhianatan dan akan merosakkan kepercayaan orang lain sehingga menganggap tiada lagi wujud 'keikhlasan' dalam dunia ini.
Ada juga yang tertanya-tanya, kenapa 'orang alim' atau 'tok bomoh' sanggup melakukan maksiat, membuat pencabulan seperti itu dan seolah-olah 'menghalalkan' pula perbuatan berkenaan (boleh buat 'tak tau').
Jawapannya sangat mudah : apabila seseorang itu merasa dirinya 'besar', banyak 'ilmu', banyak dipuji, ramai pengikutnya - ianya akan membawanya; dalam perspektif Islam; kepada penyakit hati yang bernama 'riak' atau 'ujub' - maka dia akan lupa pada ajaran agama sebenar, asal-usulnya, pembimbingnya (atau hanya belajar 'ikut buku') dan beranggapan semua yang ada pada dirinya adalah milik mutlaknya maka dia akan lupa pada Penciptanya. Mereka ini hanya menjadi 'baik' secara 'tidak ikhlas' (di hadapan khalayak ramai)
Faktor internet dan media sosial walaupun mempunyai banyak kebaikan, tetapi juga lebih banyak keburukannya terutamanya pada anak-anak muda dari kalangan murid-murid dan pelajar - dengan mudahnya mendapat capaian kepada bahan-bahan pornografi dan lucah. Bayangkan kerosakan yang akan berlaku jika tiada kawalan dan beranggapan 'tahulah mereka menjaga diri'.
Saya tidak menyanggah mereka yang ingin menjalankan perniagaan dan produk berkaitan dengan 'ubat kuat' atau 'kuat tenaga batin', tetapi dicadangkan satu kawalan diadakan ke atas perniagaan seperti ini kerana bimbang dibeli dan disalahgunakan oleh mereka yang bujang dan belum berkahwin.
Ini belum lagi kita menyentuh masalah sumbang mahram yang seperti tidak ada pengakhirannya.
Semua yang disebutkan di atas sangat menakutkan sekiranya tidak dibendung dengan cara yang betul; mampu merosakkan institusi kekeluargaan dan keturunan dengan lahirnya zuriat yang hasilnya daripada perhubungan haram, kadar perceraian yang tinggi, dendam-mendendam, secara generiknya juga menyumbang kepada kenaikan kadar jenayah.
Ada yang akan menyatakan pada saya "Ini akhir zaman"..."Kembalilah pada ajaran agama" - sememangnya mudah pada kita untuk mengeluarkan kenyataan berkenaan tetapi kebanyakan dari kita sendiri hanya tahu bercakap dan tidak tahu berbuat apa-apa.
Dilema dan fenomena ini perlu dilihat bukan dari satu sudut sahaja, ianya perlu dilihat dari banyak sudut lain. Antara sabjek yang boleh disentuh ialah Disiplin diri, cara didikan, penyemaian semula kasih sayang, berdoa, berikhtiar dsb.
Adalah diakui, manusia sememangnya tidak sempurna tetapi jika berulang-kali malah ratusan dan ribuan kali, maka 'ketidaksempurnaan' juga adalah halwa mulut dan untuk 'menyedapkan hati'.
Tidaklah saya ingin berbicara panjang mengenai hal ini.
Berikanlah perhatian kepada isteri dan anak-anak kita serta orang-orang yang tersayang.
Tips :
a) Selalulah ada riadhah, cuti (bukan semestinya 'jauh-jauh') dan aktiviti bersama dengan isteri, suami dan anak-anak. Adakan juga pertemuan keluarga - carilah ahli keluarga atau orang yang boleh dipercayai - yang boleh diminta nasihat apabila bermasalah.
b) Tidaklah salah jika kita selalu menyebut kepada isteri atau suami kita "saya menyintaimu" dalam apa-apa bahasa dan loghat sekalipun. Carilah tempat-tempat atau lokasi yang memberikan kenangan manis.
c) Bahagikan dan jadualkanlah masa dengan baik - jangan selalu menggunakan perkataan "saya sibuk ni!!" kerana bila kita kehilangan orang yang kita sayang - menyesal pun sudah tidak guna lagi.
d) Jangan 'terasa' bila orang muda memanggil kita yang pertengahan umur sebagai 'Pakcik' atau 'Makcik'. Anggapkan itu satu perasaan hormat walaupun mungkin ada yang cuba 'sarkastik' atau 'perli' - Ya...mungkin juga untuk 'mengingatkan kita bahawa 'jadi muda' itu bukan untuk selama-lamanya!)
e) Isteri dan suami jangan lekas 'bersalah-sangka' apabila tiba-tiba ada yang ingin 'menjaga kecantikan' atau 'ingin berdiet/menurunkan berat badan' - kerana menjaga kecantikan, kebersihan diri dan menurunkan berat badan adalah sebahagian daripada resipi rumahtangga yang bahagia.
f) Elakkan meluahkan perasaan menerusi media sosial secara terbuka kerana kadangkala padahnya sangat buruk dalam tempoh jangkamasa yang panjang.
Saya amat memahami perasaan kita semua yang rata-rata dilanda dugaan dalam mencari rezeki dan betapa sukarnya untuk memberikan perhatian apabila terpaksa 'mencari duit'. Namun, janganlah digunakan ini sebagai alasan untuk mengeruhkan lagi keadaan atau alasan untuk berpisah. Jangan jatuhkan nilai perhubungan yang baik dan mendakwa 'tidak ada lagi kebahagiaan dalam hidup'.
Saya doakan anda semua bahagia! Dan diharapkan pembaca juga mendoakan saya sama!
Artikel ini dibuka untuk komen umum. Sila jaga penggunaan bahasa anda semasa memberikan komen. Jika terlalu peribadi untuk dikongsi atau berminat untuk sesi motivasi dan kaunseling, sila e-mail ke nikzafri@gmail.com
No comments:
Post a Comment