Sumber : Pelbagai/Internet/Kajian Sendiri
Bachok
Bachok pernah terkenal sebagai sebuah perkampungan nelayan. Pada masa dahulu ramai orang Siam berhijrah ke Bachok untuk memulakan penghidupan baru sebagai nelayan.
Menurut cerita orang tempatan, nama Bachok berasal dari dua perkataan Siam iaitu "bang" dan "choh". "Bang" bererti perkampungan dan "Choh" pula adalah jala atau jaring untuk menangkap ikan. Orang Siam menggelar tempat ini sebagai "Bangchoh" kerana mata pencarian penduduk bertumpu kepada menangkap ikan.
Menurut penduduk setempat lain pula, nama Bachok berasal daripada dua perkataan Siam "ban" and "chak". "Ban" bermaksud kampung dan "chak" adalah Nipah yang pada asalnya merujuk kepada Kampung Nipah, satu perkampungan yang lebih padat penduduknya yang terletak di selatan bandar Bachok sekarang. Bandar Bachok pada masa dahulu mungkin merupakan sebahagian daripada Kampung Nipah. Dan sememangnya ramai Orang Siam tempatan (yang kebanyakannya tinggal di Kampung Balai, lebih kurang tiga kilometer ke utara bandar Bachok) pada hari ini masih memanggil Bachok sebagai Ban Chak atau Kampung Nipah.
Bahasa Aceh (malah sesetengah tempat di Kelantan), maksud "Bacok" pula ialah menetak atau melibas. (dengan parang atau pisau atau apa-apa senjata tajam)
Bachok terkenal dengan kisah-kisah yang dikaitkan dengan Kesultanan Jembal. Malah daerah "Gunung" dianggap oleh sesetengah penduduk tempatan sebagai tempat bersemayam salah seorang Raja berketurunan Jembal. (kesan Kuari Indera (milik YAM Tengku Besar Indera Putra masih terdapat di sana - dengan pelbagai kisah mistik di sebaliknya) Sememangnya banyak sejarah Kesultanan Jembal dikaitkan Kampung Jembal, Kampung Seneng, Jelawat, Kampung Rusa, Melawi dll. Gunung juga bersambung dengan Bandar Melor yang juga dikaitkan dengan Kesultanan Jembal. Malah Bachok juga merupakan salah satu sasaran keturunan Patani/Long Gaffar/Legeh melarikan diri dari tekanan Siam.
Terdapat juga ramai penduduk asal Siam beragama Buddha bersama ramai keturunan Jembal masih ada di Pauh Lima, Tawang dan Pengkalan Datu di mana terdapat beberapa "ketik Siam" di sana.
Bachok juga terkenal dengan melahirkan ramai ulama-ulama terkenal seperti Tok Bachok. (untuk info : Al Allamah Arif Billah Tok Bachok ( 1868 - 1953 ) nama penuhnya ialah Tuan Guru Haji Uthman Bin Haji Muhammad . Beliau berasal dari keturunan Cina Muslim Monggolia dan mendapat gelaran Tok Bachok kerana kealimannya dan kesungguhannya mengajar serta mendidik masyarakat di Bachok .
Beliau merupakan sahabat baik kepada 4 Wali Allah yang lain iaitu Tok Kenali, Tok Padang Jelapang, Tok Kemuning, Tok Selehong)
Dongeng
Terdapat satu batu menyerupai seekor burung yang seakan-akan sedang terbang dari laut di tepi pantai sepanjang kira-kira 2 kilometer itu. Tempat di mana batu yang dikatakan wujud kini dikenali sebagai Kampung Tok Burong.
Masyarakat dahulu kala di sini juga percaya mengenai cerita kononnya wujud sebuah kemudi emas yang timbul dipermukaan air di pantai itu bersama-sama seekor buaya putih.
Menurut cerita, buaya putih sakti itu telah mengambil seorang budak perempuan di situ untuk dijadikan anak angkatnya sehingga dewasa.
Kerana sayangnya yang tidak terhingga, buaya putih itu sentiasa memberi berupa barang-barang kemas kepada budak perempuan itu. Tempat di mana berasalnya cerita dongeng itu kini dikenali sebagai Kampung Seri Kemudi.
Sebagai seorang yang mempunyai ramai saudara mara dan pernah membesar di Bachok - sebelah Ummi dan Baba, (Rumah peninggalan nenek moyang saya (di Nyior Cabang) masih berdiri dengan utuh dan telah dijadikan homestay oleh sepupu saya), saya banyak mendengar kisah sejarah dan mistik di Bachok. Semasa kecil, saya dan sepupu (pemilik homestay berkenaan) yang tinggal di Kampung Kemudi pernah mengalami banyak kisah mistik yang dikaitkan dengan sejarah oleh ninda saya - yang sehingga kini belum dapat dirungkai sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment