Wednesday, October 30, 2024

SI TANGGANG DALAM PERSPEKTIF "ALTERNATE REALITY"

TANGGANG - ANAK YANG BERJASA KEPADA ORANG TUANYA - Oleh Nik Zafri

Si Tanggang yang kini telah diangkat menjadi "kerabat ampuni" menerusi perkahwinan dengan isterinya, seorang Puteri Sultan, yang sedang sarat mengandung; disambut meriah oleh penduduk kampung asalnya di pengkalan kerana telah begitu lama Si Tanggang belayar jauh dari tempat kelahirannya.
Namun Si Tanggang nampak begitu resah dan menjengah kepalanya ke sana dan ke mari. Isterinya faham, siapakah Si Tenggang tengah tercari-cari itu.
Tiba-tiba dia ternampak ibunya yang tua Si Deruma sedang termengah-mengah datang dengan satu bungkusan digalas yang mengandungi masakan yang amat disukai oleh Si Tenggang, pisang salai yang dapat dihidu aromanya dari jauh.
Lalu diperintahkan dengan suara yang tegas oleh Si Tenggang kepada barisan pengawal supaya memberi jalan dan penghormatan yang tinggi kepada bondanya Si Deruma.
Si Tenggang menangis pilu melihat keadaan ibunya memakai baju usang - lalu berlari turun dari tangga kapal terus memeluk dan mencium tangan ibunya - serta tanpa segan silu, membuka bungkusan berkenaan dan terus menjamah pisang salai makanan kegemarannya dari kecil.
"Saya berjaya adalah berkat doa bonda dan usaha keras saya untuk mengubah nasib kita"
Ibunya mengangkat tangan bersyukur melihat anaknya tidak lupa diri serta asal-usulnya. Sedang Si Deruma mengangkat tangan bersyukur, terlihat seorang wanita muda yang cantik sedang sarat mengandung perlahan-lahan mendekatinya - lalu memeluk dan mencium tangannya.
"Bonda, saya menantu bonda. Dalam kandungan saya ini adalah cucunda bonda"
Ibunya Si Tanggang sekali lagi menitis air mata kegembiraan menyambut menantunya seorang Puteri Sultan yang sedang mengandungkan cucu sulungnya itu.
Isteri Si Tanggang tiba-tiba terlihat makanan yang sedang dinikmati oleh suaminya lalu terus menjamah makanan kegemaran suaminya itu. Rupa-rupanya isteri si Tanggang telah lama mengidam pisang salai. Si Deruma hanya tersenyum melihat gelagat anakanda kesayangan dan menantunya.
"Tanggang, janganlah habiskan pisang salai tu, bagilah kat isteri kau yang sedang mengidam tu - cucu mak tu dalam kandungan"
Si Tanggang tersenyum malu - lalu menghulurkan kepada isterinya untuk santap pisang salai yang menyelerakan itu.
Tidak lama selepas itu, Si Tanggang telah membelanjakan sejumlah besar hartanya dan menukar rumah usang di mana ibunya tinggal menjadi sebuah mahligai yang indah.
Malah telah dikunjungi oleh Tuanku Sultan dan Permaisuri iaitu mertua kepada Si Tanggang. Tuanku Sultan dan Permaisuri rupa-rupanyanya ingin mengenali dengan lebih rapat akan siapakah bonda kepada Si Tanggang yang mendidik Si Tanggang dengan baik.
Hubungan Si Deruma dan besannya amatlah rapat sekali dan setiap hari Si Deruma bersyukur kerana hidupnya dari keperitan dan kesusahan telah bertukar kepada kebahagiaan. Namun, Si Deruma terasa sedih kerana arwah suaminya Si Talang tidak dapat melihat dan mengecapi kejayaan Si Tanggang.
Si Deruma telah dijulang tinggi oleh Si Tanggang dan mendapat penghormatan tertinggi negara yang dikurniakan oleh Tuanku Sultan sebagai seorang ibu yang menjadi contoh dan inspirasi kepada negara. Si Tanggang juga telah dimasyhurkan sebagai pengganti Sultan apabila Tuanku mangkat.
Si Deruma juga beradu di kamar penuh kelengkapan yang jauh lebih besar dari Si Tanggang dan isterinya. Ibunya dijaga serta dilayan dengan baik oleh pembantu-pembantu, diberikan makanan dan minuman yang lazat.
Si Deruma juga tidak perlu lagi melakukan kerja-kerja berat seperti mencari kayu api untuk memasak, mengangkat air dari perigi, membasuh kain atau mengambil upah bekerja kampung mengutip kelapa.
Pusara ayahnya Si Talang juga bertukar dari kubur biasa kepada ibarat maqam diraja gayanya.
Orang kampung juga kagum dengan kemurahan hati Si Tanggang yang juga sentiasa suka bersedekah dan mereka juga amat menghormatinya kerana layanan yang sangat baik Si Tanggang kepada ibunya yang sudah tua dan uzur itu.
Rata-rata di warong kopi mereka berkata :
"Tanggang; anak kampung kita; akan menjadi seorang pemerintah yang baik"
(Kisah ini kisah legenda dunia realiti alternatif - agaknya inilah yang akan berlaku jika Si Tanggang tidak menderhaka kepada ibunya)

No comments:

Post a Comment