Friday, May 19, 2023

MENJAWAB TUDUHAN "SEKULAR" TERHADAP SAYA

Assalaamuálaikum wbt.

Saya pernah berdepan dengan fitnah yang menuduh saya seorang yang sekular. Saya banyak mendiamkan diri pada awalnya kerana tidak mahu bergaduh. Lalu pada suatu hari, saya terpaksa menjawab tuduhan berkenaan. Itupun secara mesej peribadi.
i) Tuan menuduh saya sekular, tuan faham ke maksud sekular itu?
(diam tidak menjawab)
ii) Baik, saya terangkan supaya tuan tidak melihat pada pakaian zahir sebelum membuat tuduhan.
Sekular bermaksud secara mudahnya supaya tuan mudah faham:
a) Memisahkan politik dan agama (politik suku, agama suku)
b) Memisahkan sains dan agama (sains lain, agama lain)
2 contoh di atas. Apabila kita berniat hati, lidah dan anggota menyebut seperti yang ada di atas, maka seolah-olah kita menyatakan Al-Qurán itu tidak syumul kerana pada pendapat dangkal kita - di dalam Al-Qurán - tiada ilmu sains atau ilmu siasah. (silap haribulan GUGUR syahadah kita - luputlah aqidah)
Oleh kerana kita tidak pernah mengkaji akan kekayaan ilmu Allah SWT dalam Al-Qurán, tidak pernah berguru secara talaki - hanya dengan internet dan media sosial, oleh kerana kita bermain dengan sangkaan buruk (su-ul zhan) menilai manusia secara zahir, oleh kerana kita menafsirkan Al-Qurán menggunakan tamsil pemikiran, tahsinul aqli, tidak faham asbabunuzul, tidak faham tafsir atau menafsir/menterjemah secara harfiah, bertaklid membuta tuli, tidak mempelajari bahasa Arab terutamanya lughatul Qurán, tidak belajar ilmu kalam, tidak faham salaf dan khalaf, maka dengan sendirinya, kita akan mudah bersangka buruk kerana kita sangkakan kita ini baik dari segi pemakaian dan perwatakan kita - serta orang lain seperti saya ini adalah golongan sekular atau "kafir"
Saya terus menyambung :
Kalau kita tidak faham hal akademik atau sains, jangan cepat menuduh "orang akademik" dan "sains" sebagai sekular sebab ada "ulama memfatwakan" sedemikian. (hampir sama la dengan suka mentakfir orang lain, hanya dengan penglihatan secara zahir dan su-ul zhan) - sempitnya pemikiran kita.
Sabda Rasulullah SAW: (mafhumnya)
Maksudnya: “Mana-mana orang yang mengatakan kepada saudaranya: Wahai kafir. Maka jatuhlah (kafir itu) ke atas salah seorang daripadanya.” Riwayat al-Bukhari (6104) dan Muslim (111).
(Diam seribu bahasa)
Bila saya nak sambung lagi - terkeluarlah permohonan maaf dan penyesalan akibat tergopoh-gopoh. Bukan itu sahaja, pada awalnya, dia bercakap dengan takbur menggambarkan seolah-olah dia ini macam "ahli sufi" lah.
Saya terus menyatakan : "Syarat utama seorang ahli sufi pada semua zaman ialah membersihkan hati dari syak, zhon dan waham"
(Tidak pernah lagi hubungi saya selepas itu)
Tidak perlulah saya sebutkan nama manusia berkenaan kerana dia sudah pun memadamkan kenyataan yang jelik terhadap saya di salah satu akaun media sosialnya. Walaupun dia tidak meminta maaf secara terbuka, saya sudah pun awal-awal memaafkan dia.
Saya tidaklah nak mendakwa diri saya seorang ulama atau mujahid atau "tok guru" - jawapan yang saya berikan bukan bermakna saya ahli parti siasah tertentu tetapi itulah ajaran i'tiqad Ahlussunnah Wal Jamaah - 4 Madzhab yang rajih.
Saya sudah mendiamkan diri dan bersabar begitu lama - tetapi apabila ada insan yang mengaku dirinya "lebih Islam dari saya" berhasrat menuduh saya seolah-olah aqidah saya telah tergugat, maka saya terpaksa berdiri tegak berhadapan dengan mereka yang merasa diri mereka maksum untuk mematikan hujjah mereka.
(Sila perbetulkan diri sendiri sebelum memperbetulkan orang lain)
Tidaklah saya bangga dengan perbuatan saya ini, tetapi kalau sampai menjatuhkan maruah saya (sehingga keluarga saya turut aib), ianya sudah melampau.
Wallahuálam - wassalam

No comments:

Post a Comment