Friday, April 14, 2023

AWAL 80-AN - KISAH NOSTALGIA - PENGALAMAN DI BUKIT JAWA MENCARI KULAT SISIR

(Foto-foto ini bukan milik saya tetapi diambil dari sumber rambang di Google)

Cuti penggal tahun-tahun awal 80an memang amat dinanti-nantikan oleh saya. Ini kerana saudara mara rapat hampir sebaya akan datang ke rumah saya di Lundang atau saya akan ke rumah mereka untuk bercuti. (biasanya dari kalangan sepupu atau dua pupu)

Rata-rata mereka datang - paling kerap samada dari Bachok/Kemudi atau Pasir Puteh/Selising/Bukit Abal/Berangan. Kami selalunya akan menghabiskan masa dengan pelbagai permainan kampung, menelaah buku, memancing dan lain-lain.
Antara pengalaman yang masih saya ingat ialah semasa bertemu dengan dua pupu saya Wan Salman - untuk bermalam di rumahnya. Dia mengambil saya turun dari bas dengan motorsikalnya di Selising.
Malam itu dapat menikmati juadah kampung termasuk kulat sisir (goreng kunyit, telur, cili, garam, bawang dll - lihat foto) Saya sering tertanya-tanya dari mana datangnya kulat sisir ini? (selalu Ummi beli 2-3 "kopi" (tin susu kosong) di Pasar Besar KB (lama)
Wan Salman tunjukkan saya sekumpulan kelkatu pada lampu gas (orang kelate panggil "gasleng" - gaslamp - sebenarnya lampu minyak tanah) Petua orang-orang kampung dulu-dulu, kalau selepas hujan, nampak kelkatu, maknanya ada kulat sisirlah. (petua ni sebenarnya ada logik sebenarnya)
Pagi-pagi selepas subuh, Wan Salman mengajak saya menaiki motornya ke kaki Bukit Jawa*.
*Bukit Jawa (lihat foto) merupakan sebuah daerah di jajahan Pasir Puteh, Kelantan. Bukit Jawa bersempadan dengan daerah Bukit Abal dan Padang Pak Amat. Bukit Jawa juga bersempadan dengan jajahan Kota Bharu dan Bachok. Selising merupakan pekan utama bagi daerah ini*
Kami mula mendaki Bukit Jawa menerusi trel-trel sempit. Saya amat seronok kerana melihat suasana kehijauan sekitarnya. Cuaca pagi pun amat dingin dipenuhi kabus. Kagum melihat Wan Salman dalam usia muda, cekap dalam menebas kawasan trel dengan "klewenya".
Wan Salman mengingati saya supaya tidak digigit semut "pok kiya" - ada orang panggil "pak kiok" (semut ini zaman kecil-kecil dulu selalu dibuat laga) yang banyak berkeliaran di kawasan berkenaan. (lihat foto) - mirip semut charlie.
Wan Salman memberikan air kosong sebotol (pada awalnya saya tidak tahu mengapa). Saya melihat, Wan Salman memercikkan air di sekitar batang kelapa yang telah patah. Tiba-tiba saya melihat kulat sisir telah mula mengembang dengan banyaknya. Saya; apa lagi; terus memercikkan air di batang kelapa yang lain. Banyak juga hasil yang dikutip itu.
Semasa hendak pulang setelah 3 hari berada di sana, Wan Salman membekalkan saya dengan beberapa plastik kulat sisir. Dia juga mengajar saya macamana nak bawa motorsikal sehingga ke simpang Selising - satu pengalaman yang menyeronokkan. (tak ada lesen) - sempat juga menziarahi kawasan maqam lama di kawasan berkenaan yang dikatakan berkaitan dengan Pahlawan Mat Kelate dan beberapa kawasan bersejarah lain di sana)

No comments:

Post a Comment