Sebagai rakyat Malaysia, saya bersetuju dengan pandangan bernas dari kedua belah pihak samada dari pihak YAB PM dan juga kepimpinan professional dari Indonesia. Masalah tenaga kerja dialami di Malaysia meliputi hampir semua sektor - pembinaan, pengilangan, peruncitan dan banyak lagi. Walaupun demikian, layanan terhadap pekerja asing dalam sektor-sektor ini agak baik walaupun masih memerlukan peningkatan secara berterusan.
Apa yang saya fikirkan ialah sektor yang wajib diperhatikan ialah pembantu rumah. Walaupun majoriti rakyat Malaysia melayan pembantu rumah dengan baik dan adil, masih terdapat kes penderaan mental dan fizikal ke atas pembantu rumah. Perkara ini memerlukan kerjasama kejiranan dan masyarakat agar peka akan kejadian-kejadian seumpama ini yang sukar diperhatikan oleh pihak berkuasa kecuali terdapat laporan.
Masalah ini (walau bukan semuanya) juga melibatkan agensi berlesen pembekalan perkhidmatan pembantu rumah. Memang ada latihan yang diberikan kepada bakal-bakal pembantu rumah dan apakah hak-hak mereka. Tetapi kelemahan yang nyata ialah jarang dilakukan susulan lawatan oleh agensi-agensi ini semasa perkhidmatan dibekalkan oleh pembantu-pembantu rumah. Seperkara lagi, agensi-agensi ini perlu diberikan akses terhad kepada pangkalan data pihak berkuasa bagi mengenalpasti bakal majikan yang ingin mereka bekalkan perkhidmatan. Ini adalah untuk mengelakkan daripada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
Begitu juga hak-hak majikan juga perlu dijaga dan mereka juga berhak ke atas data-data agensi atau pekerja yang bakal bekerja di kediaman mereka.
Dalam konteks ini, Kementerian Dalam Negeri menerusi Jabatan Imigresen, Polis DiRaja Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat dan NGO seperti Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA) dapat bekerjasama untuk memantau dan memberikan maklumat kepada pihak berkuasa termasuk pemeliharaan identiti whistleblower dari pihak kejiranan terutamanya input dari Rukun Tetangga.
Selain itu, penumpuan khusus masih diperlukan ke atas "agensi ulat" yang tidak bertauliah dan berlesen yang membekalkan pembantu rumah yang juga mungkin tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah atau ditipu oleh agensi ulat berkenaan serta dirampas dokumen mereka. Ada juga kes-kes jenayah yang berlaku yang juga memerlukan perhatian yang amat serius.
No comments:
Post a Comment