Sunday, March 13, 2016

MENGENALPASTI, MENILAI DAN MENGAWAL RISIKO DAN SUASANA BERBAHAYA - Pengenalan asas(Keselamatan Kerja) - Nik Zafri

Mengenalpasti suasana berbahaya (Hazard) dan penilaian risiko melibatkan kesinambungan maklumat secara kritikal bagi membuat sesuatu keputusan. Proses ini dapat membantu mengenalpasti punca berlakunya kemalangan (mengenalpasti suasana merbahaya - Risk Identification) , kemungkinan berlakunya kemalangan (penilaian risiko) dan apakah akibat-akibat yang berpotensi dari kemalangan berkenaan. Selain itu ianya juga dapat membantu untuk mengambil langkah-langkah yang sepatutnya bagi mencegah dan menghalang kemalangan berkenaan secara proaktif (mengawal – control)
Nota : Versi terkini ISO 9000 (ISO 9001:2015) boleh dijadikan asas rujukan di mana ianya menekankan bahawa penilaian risiko boleh dikenalpasti semasa fasa Perancangan di mana peralatan seperti Analisa SWOT dan PDCA boleh digunakan untuk mengenalpasti Potensi Risiko berdasarkan pengalaman yang direkodkan dalam sesi audit, pemeriksaan, penilaian risiko terdahulu (jika ada) dan mesyuarat semakan semula pengurusan.
Terdapat banyak cara untuk mengenalpasti suasana berbahaya dan menjalankan penilaian risiko. Teknik yang digunakan adalah bergantung kepada suasana tempat kerja. Namun apa yang penting ialah, kerjasama antara pihak pengurusan dan kakitangannya amatlah mustahak bagi mencapai penilaian suasana berbahaya yang berkesan dan efisyen.
Kemalangan yang berat biasanya jarang berlaku. Ini kerana sudah ramai pihak pengurusan, kakitangannya telah sedar mengenai kepentingan menjaga keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.
Walaubagaimanapun, kemalangan pada kekerapan yang rendah kadangkala bukan bermaksud tiada potensi kemalangan itu tidak akan berlaku. Biasanya, dalam keadaan yang tidak disangka-sangka, ianya boleh berlaku, ini kerana sesebuah organisasi yang beranggapan tempat kerja mereka selamat akan cenderung kepada sifat mengambil mudah.
Di sinilah kepentingan pengenalpastian potensi kemalangan, penilaian risiko dan langkah-langkah kawalan boleh diambil bagi mencegah insiden dan kemalangan secara proaktif.


Sistem pengenalpastian potensi suasana berbahaya dan penilaian risiko perlu melibatkan :

a)    Mengenalpasti operasi dan rekabentuk yang berpotensi menampakkan kelemahan – contohnya jika ianya beroperasi melebihi masa atau rekabentuk yang berkali-kali disemak.

b)    Berfikir di luar kotak berdasarkan pengalaman

c) Memastikan langkah-langkah kawalan yan sediada termasuk prosedur standard operasi yang digunakan masih relevan dengan proses (contohnya, jika ada teknologi baru, perlukah prosedur itu dipinda dan perlukah langkah-langkah kawalan ditambahkan untuk disesuaikan dengan suasana yang baru?

d) Berkongsi pengalaman dengan organisasi lain – biasanya menerusi penyertaan dalam seminar, persidangan, kursus dan bengkel mengenai penilaian risiko.

Antara cabaran yang biasa dihadapi :

a)  Pengurusan masa yang diperlukan untuk mengenalpasti suasana berbahaya dan potensi kemalangan yang akan berlaku jika tiada kawalan dilakukan.

b) Perlunya kombinasi kepakaran dalam teknik-teknik mengenalpasti suasana berbahaya dan kawalan risiko (HIRARC (Hazard Identification, Risk Assesment and Risk Control, HAZID (Hazard Identification Techniques), HEMP (Hazard and Effect Management Process), HAZOP (Hazard and Operability Studies) Hal ini boleh dilakukan dengan perkongsian maklumat di antara satu organisasi dengan satu organisasi yang lain, perkhidmatan perunding atau pakar dari luar untuk membuat penilaian bebas tanpa sebarang kecenderungan dan pengalaman yang direkodkan (di sini data sangat diperlukan)

c)    Pengetahuan dan pengalaman mengenai tempat/premis/tapak kerja dan teknik yang diperlukan.

d)    Memastikan mereka yang menjalankan tugas penilaian, audit mahupun pemeriksaan adalah mereka yang bertauliah.