Nota :
Artikel ini saya tulis pada tahun 2004 di laman geocities semasa Allahyarham Dato Fauzi Shaari masih menjadi Ketua Polis Selangor. Saya tulis kembali kerana mengenang terlalu banyak jasanya kepada negara.
Kali terakhir saya bertemu dengannya ialah semasa perkahwinan anakanda Allahyarham dan berbalasan sms semasa Allahyarham sedang menunaikan Fardhu Haji - tiba di Masjid Nabawi untuk menziarahi maqam Rasulullah S.A.W. di mana Allahyarham ada bertanyakan kepada saya bacaan dan salam semasa mengadap maqam Baginda S.A.W. Saya juga meminta Allahyarham mendoakan saya sekeluarga dan Allahyarham dengan senang hati memenuhi hasrat saya.
Saya juga difahamkan dari Almarhumah Ummi saya bahawa, Darjah Gelaran Dato' juga telah diperolehi adalah hasil daripada syor dari Allahyarhamah Bonda saya semasa mengadap Almarhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang ketika itu merupakan DYMM Yang Di Pertuan Agong Yang Ke 10. Allahyarham dan Datin Fauziah sangat akrab dengan keluarga saya terutamanya Baba dan Arwah Ummi saya serta adik beradik saya. Kami semua telah mengenalinya selama lebih 30 tahun.
Saya menerima berita pemergiannya kembali ke Rahmatullah dengan penuh redha tetapi sebagai manusia biasa, saya amat terasa akan kehilangannya. AL-FATIHAH kepada insan yang memperjuangkan kebenaran.
IKHLAS DAN AMANAH
Kejujuran amat penting dalam kita menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepada kita. Inilah juga pesan mantan YAB Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Haji Abdullah Haji Ahmad Badawi - kepada mereka yang terpilih bagi menjalankan amanat membantu rakyat. Apa lagi jika kita terdiri daripada kalangan pihak berkuasa.
Saya telah lama mendengar khabar mengenai seorang manusia yang dikenali sebagai Fauzi Shaari (Anak kelahiran Larut Matang, Perak - 25 September 1950 - telah kembali ke Rahmatullah pada 1 Disember 2013 bersamaan 27 Muharam 1435 H dan jam 8.17 malam di ICU Hospital Selayang, Selangor) dalam kapasiti beliau sebagai anggota PDRM apatah lagi, beliau amat rapat dengan keluarga saya selama hampir 30 tahun.
Saya sentiasa mengikuti perkembangan beliau sebagai pegawai tinggi Polis DiRaja Malaysia dan pernah dilantik menjadi Pesuruhjaya Polis dan Pemangku Ketua Polis di beberapa buah negeri di Malaysia. Beliau juga pernah diwawancara oleh akhbar Utusan Malaysia dan saya begitu tertarik dengan kenyataan-kenyataan beliau yang begitu tegas dalam menangani isu-isu jenayah pelbagai.
Akhirnya semasa Datuk Fauzi Saari baru dilantik menjadi Ketua Polis Selangor (beliau kemudiannya dilantik menjadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Malaysia - dan telah menamatkan perkhidmatan 31 tahun dalam PDRM pada 24/09/06) - menggantikan Datuk Musa Hassan yang dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Negara (01/01/2005) - (Tan Sri Musa Hassan ketika itu merupakan Ketua Polis Negara yang baru) , saya telah memberanikan diri untuk membuat satu temujanji pada 24 Mac, 2004 untuk bertemu dengan beliau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Selangor di Shah Alam.
Semasa saya menelefon IPPK untuk membuat temujanji serta semasa saya tiba di IPPK, saya begitu tertarik dengan layanan yang diberikan oleh pegawai-pegawai beliau termasuk mereka yang bertugas di pos keselamatan yang begitu mesra dan cekap, walaupun saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai seorang tetamu kehormat kepada Ybhg Datuk Ketua Polis Selangor.
Semasa saya memasuki bilik Datuk Fauzi Shaari, dia terus bangun dan berjabat salam dengan saya. Saya amat kagum dengan sikap keramahan dan rendah dirinya walaupun telah bergelar 'Datuk'. Saya juga terperanjat apabila beliau bukan sahaja mengenali saya sebagai anakanda kepada Allahyarhamah Nik Zawahir, tetapi juga menerusi kumpulan-kumpulan artikel yang telah saya tulis pada akhbar Utusan Malaysia suatu masa dahulu termasuk penglibatan saya dalam beberapa siri wawancara segmen Bicara Korporat, Selamat Pagi Malaysia RTM TV1. (saya pun sudah lupa akan perkara berkenaan kerana kisah penulisan dan wawancara itu telah lama berlalu daripada hidup saya dan mungkin telah pun hilang di ingatan orangramai)
Rupa-rupanya beliau juga meminati bidang pengurusan kualiti kerana elemen ini merupakan asas utama bagi Polis D’ Raja Malaysia. Beliau juga sentiasa membaca hasil tulisan saya pada Mini-Portal K-Pengurusan yang telah beroperasi di laman web saya selama 6 tahun.
Saya tidak mampu berkata apa-apa kerana tidak pernah terlintas di hati kecil saya bahawa hasil penulisan saya yang tidak seberapa itu mendapat sambutan sedemikian rupa. Niat saya hanyalah menyebarkan ilmu kepada rakyat Malaysia terutamanya bumiputera tanpa meminta apa-apa balasan daripada sesiapapun kecuali Allah SWT.
Kami menghabiskan masa selama hampir 1 jam bertukar-tukar pendapat mengenai isu semasa dan sejurus sebelum saya keluar, beliau berkata kepada saya : “Perjuangan menegakkan kebenaran adalah satu perjuangan yang amat kompleks dan memerlukan keikhlasan serta prinsip yang teguh dan didasarkan kepada nilai-nilai murni termasuk agama. I would say that you are one of them, Nik Zafri - You make your mum proud”
Saya terpaku sejenak dan amat terharu dengan kata-kata berkenaan….
Walaupun Datuk Fauzi Shaari tidak memerlukan publisiti tetapi saya telah nekad untuk menulis secebis kisah berkenaan dirinya untuk memberikan pengajaran kepada orang ramai bahawa masih ada pihak-pihak berkuasa berpangkat tinggi yang ikhlas dan amanah dalam menjalankan tugas mereka.
Walaupun Datuk Fauzi Shaari tidak memerlukan publisiti tetapi saya telah nekad untuk menulis secebis kisah berkenaan dirinya untuk memberikan pengajaran kepada orang ramai bahawa masih ada pihak-pihak berkuasa berpangkat tinggi yang ikhlas dan amanah dalam menjalankan tugas mereka.