Berhubung dengan watak atau tokoh yang bernama Raden Panji yang pernah ditanyakan kepada saya, berikut adalah sekadar yang saya tahu berdasarkan catatan dan cerita yang pernah saya temui. Namun, perlu ditegaskan bahawa sebahagian daripada kisah ini masih memerlukan penelitian dan pengesahan sejarah yang lebih mendalam.
1. Raden Panji dalam Cerita Panji Jawa
Raden Panji ialah watak putera mahkota yang menjadi wira utama dalam kesusasteraan rakyat tradisional Nusantara, khususnya melalui Cerita Panji. Kisah ini dipercayai berkembang sekitar abad ke-13 atau ke-14, pada zaman Empayar Majapahit, khususnya dalam lingkungan pemerintahan Raja Hayam Wuruk.
Nama yang sering dikaitkan dengannya ialah Raden Panji Inu Kertapati, atau Panji Asmarabangun, putera mahkota Kerajaan Jenggala di Jawa Timur.
Dalam cerita tersebut, Raden Panji dikatakan pernah menyamar sebagai rakyat biasa atau kesatria dengan menggunakan gelaran Kelana Prabu Jaya. Beliau mengembara untuk mencari tunangnya, Dewi Sekartaji, yang turut dikenali sebagai Raden Galoh Candrakirana. Dewi Sekartaji kemudiannya menjadi permaisurinya.
Menurut salah satu versi cerita, Dewi Sekartaji telah difitnah oleh ibu tirinya yang mahu mengahwinkan anak kandungnya sendiri dengan Raden Panji. Akibat fitnah tersebut, Dewi Sekartaji diusir dari istana. Kehilangan tunangnya itu menyebabkan Raden Panji menjadikan pencarian Dewi Sekartaji sebagai satu misi peribadi.
Dalam usaha mencarinya, penyokong ibu tiri tersebut dikatakan turut menghantar tentera yang menyamar. Menyedari keadaan itu, Dewi Sekartaji yang juga dikatakan seorang pahlawan yang handal telah memotong rambutnya dan menyamar sebagai seorang lelaki dengan menggunakan gelaran Panji Semirang.
Menariknya, kedua-dua Raden Panji dan Dewi Sekartaji dikatakan pernah bertempur antara satu sama lain, malah pernah berjuang bersama-sama tanpa mengetahui identiti sebenar masing-masing.
Akhirnya, Raden Panji berjaya mengenali Dewi Sekartaji melalui tanda lahir dan barangan peribadinya. Setelah identiti mereka terbongkar, mereka kembali ke istana dan berkahwin. Perkahwinan tersebut kemudiannya digambarkan sebagai penyatuan Kerajaan Jenggala dan Kediri serta membawa kembali keamanan.
Watak Raden Panji dan permaisurinya, Raden Galoh Cenderakirana atau Dewi Sekartaji, kemudiannya diadaptasi ke dalam tradisi Wayang Kulit Jawa dan akhirnya berkembang dalam tradisi Wayang Kulit Kelantan, termasuk bersama watak seperti Pak Dogol (Semar) dan Wak Long (Bagong).
2. Raden Panji yang dikaitkan dengan Pasir Mas, Kelantan
Raden Panji yang dikaitkan dengan Pasir Mas, Kelantan pula adalah tokoh yang berbeza daripada watak Raden Panji Inu Kertapati dalam Cerita Panji Jawa.
Namun begitu, terdapat cerita dan catatan yang mengaitkan kedua-duanya dengan pertalian keturunan atau hubungan sejarah tertentu. Perkara ini tentunya memerlukan penelitian salasilah dan sumber sejarah yang lebih kukuh sebelum dapat dianggap sebagai fakta yang muktamad.
Nama yang dikaitkan dengan tokoh ini ialah Raden Panji Arya Jayanegara, anakanda kepada Raden Sundang (Kiai Mas Adipati Galuh III). Nama dan salasilah ini dikatakan terdapat dalam catatan berkaitan sejarah wilayah Tatar Galuh, khususnya Ciamis, Jawa Barat.
Beliau dikatakan mempunyai beberapa gelaran, antaranya Raden Bagus, Tok Raden Panji dan Raden Chahaya Sang Hyang. Ada juga cerita yang mengaitkan beliau dengan hubungan persaudaraan dengan tokoh-tokoh Walisongo.
Raden Panji ini dikatakan merupakan seorang tokoh agama atau pendakwah yang berhijrah dari Tanah Jawa ke Kelantan pada sekitar abad ke-18. Beliau dipercayai belayar melalui Kuala Tabal dan Pasir Mas.
Setelah mendarat di kawasan Pasir Mas, beliau dikatakan menyusuri laluan Sungai Tok Uban menuju ke Kampung Apam, yang menurut cerita tempatan diasaskan oleh beliau.
Pada ketika itu, pergerakannya dikatakan berlaku dalam lingkungan jaringan kerabat, ulama dan hulubalang Patani yang berhijrah atau melarikan diri ke Kelantan akibat serangan tentera Siam.
Beliau juga dikatakan pernah berguru dengan Faqih Ali dan mempunyai ramai murid serta penyokong daripada lingkungan Pondok Kampung Sena yang diasaskan oleh Faqih Wan Musa al-Fatani. Ada pula cerita bahawa sebahagian saudara-maranya berhijrah ke Perak namun perkara ini juga masih memerlukan pengesahan.
Di Kampung Apam, Raden Panji dikatakan sangat dihormati sebagai seorang yang alim, seorang waliyullah dan tokoh yang dianggap mempunyai karamah. Beliau juga dikatakan pernah menjadi imam dan mendirikan sebuah surau lama yang struktur binaannya dikatakan mempunyai persamaan dengan bentuk asal Masjid Kampung Laut.
Di sini perlu diletakkan satu nota penting: siapakah sebenarnya yang membina Masjid Kampung Laut masih menjadi persoalan sejarah yang mempunyai beberapa versi. Ada cerita yang mengaitkannya dengan Raden Panji, manakala versi lain mengaitkannya dengan Raja Imam, Wan Ibrahim, Wan Salim, Wan Ahmad atau tokoh-tokoh Walisongo dari Demak. Oleh itu, perkara ini tidak wajar dinyatakan sebagai fakta muktamad tanpa penelitian sumber primer.
Menurut catatan Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan (PPSK), Raden Panji dikatakan membawa beberapa barangan khas dari Jawa yang kemudiannya disimpan oleh keturunannya, antaranya:
- Batu penggiling ubat tradisional,
- Batu nisan yang dikatakan telah dibawa dari Jawa sebagai persediaan untuk makam beliau dan isterinya.
- Pohon Gayam, tumbuhan yang dikaitkan dengan Jawa Tengah, yang dikatakan telah ditanam dan masih hidup di Kampung Apam.
Raden Panji juga dikatakan sangat dihormati oleh kerabat pada zaman pemerintahan Long Yunus dan dikatakan mengenali Long Gaffar. Terdapat cerita bahawa beliau pernah membantu Long Yunus dan Long Gaffar dan kaum keluarga Raden Panji telah diberikan kediaman di sekitar Istana Balai Besar, tetapi setakat yang saya fahami, dakwaan tersebut masih belum dapat disahkan secara kukuh.
Apa yang lebih menarik ialah cerita mengenai hubungan perkahwinan antara keturunan Raden Panji dengan kerabat Long Gaffar serta ulama-ulama Patani. Sebahagian daripada mereka dikatakan disemadikan di sekitar Pasir Mas dan Limbat, Kelantan.
Daripada jaringan perkahwinan dan perkembangan keturunan tersebut, dikatakan lahir ramai keturunan yang menggunakan gelaran Nik, Wan dan Tuan.
Yang jelas, terdapat dua Raden Panji yang sering bercampur dalam penceritaan: satu ialah watak legenda dalam tradisi Cerita Panji Jawa, manakala satu lagi ialah tokoh yang dikaitkan dengan sejarah perkembangan Islam dan masyarakat di Pasir Mas, Kelantan.
Kedua-duanya menarik untuk dikaji, tetapi janganlah kita mencampurkan kedua-duanya sehingga menjadi seolah-olah mereka adalah individu yang sama.
3) Kampung Panji, Kota Bharu
Kampung Panji di Kota Bharu sangat menarik dalam konteks persoalan yang kita bincangkan, tetapi selepas saya semak sumber yang ada, saya rasa kita perlu berhati-hati sebelum mengaitkannya terus dengan Raden Panji Arya Jayanegara.
Sumber rasmi Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu yang memberikan penjelasan yang agak berbeza tentang asal nama Panji. Kawasan yang kini dikenali sebagai Daerah Panji pada asalnya berkait dengan Kampung Pok Bok/Pok Boh.
Sekitar tahun 1900, kawasan tersebut dikatakan menjadi tempat tumpuan kerabat Raja Jembal (Kedai Lalat - Kota Jembal). Pelbagai acara sukan dan pesta diadakan di situ. Semasa pesta berlangsung, panji-panji dinaikkan sebagai tanda atau pemberitahuan bahawa pesta sedang berlangsung.
Walaupun pesta tersebut akhirnya tidak lagi diadakan, kawasan itu terus menjadi tempat orang ramai berkunjung, termasuk untuk membawa pulut kuning dan berhajat. Lama-kelamaan, nama Pok Bok/Pok Boh menjadi semakin dikenali sebagai Panji, dan akhirnya nama tersebut digunakan untuk kawasan pentadbiran Daerah Panji.
Jadi, berdasarkan sumber rasmi ini:
Panji di Kota Bharu tidak semestinya berasal daripada nama seorang tokoh bernama Raden Panji.
Ini penting kerana nama Panji memang mempunyai beberapa kemungkinan asal dan tidak semestinya merujuk kepada seseorang.
Kita sekarang mempunyai tiga perkara yang perlu dipisahkan:
a) Raden Panji Inu Kertapati/Panji Asmarabangun : tokoh utama dalam tradisi Cerita Panji Jawa.
b) Raden Panji Arya Jayanegara/Tok Raden Panji : tokoh yang dikaitkan dengan penghijrahan Jawa, Pasir Mas dan Kampung Apam dalam tradisi sejarah lisan Kelantan.
c) Panji sebagai nama tempat di Kota Bharu : Kampung Panji dan Daerah Panji.
Setakat sumber yang saya temui sekarang, belum ada bukti kukuh yang menghubungkan nama Kampung Panji Kota Bharu secara langsung dengan Raden Panji Arya Jayanegara.
Malah, sumber rasmi memberikan etimologi alternatif yang agak spesifik, iaitu panji-panji yang dinaikkan semasa pesta di Kampung Pok Bok/Pok Boh.
Namun saya tidak akan menutup kemungkinan
Mungkin kita sebenarnya sedang berhadapan dengan lapisan sejarah yang berlainan:
Panji sebagai istilah/nama simbolik
↓
Panji dalam tradisi Jawa dan Cerita Panji
↓
tokoh-tokoh yang menggunakan gelaran Raden Panji
↓
penghijrahan tokoh Jawa ke Kelantan
↓
nama tempat yang menggunakan "Panji"
Wallahu a'lam.