Kita sering marah kepada pendatang asing, tetapi hakikatnya kenapa mereka begitu ramai di Malaysia? Siapa yang sebenarnya menjemput atau membuka ruang kepada kehadiran mereka? Kita perlu menerima kenyataan bahawa selagi ekonomi kita bergantung kepada tenaga kerja murah, industri akan terus memerlukan pekerja asing.
Kita juga mudah marah kepada pendatang asing, sedangkan dalam kalangan rakyat sendiri turut berlaku jenayah. Malah ada juga laporan yang menunjukkan segelintir daripada kita bertindak menganiaya mereka, termasuk keluarga mereka seperti isteri dan anak perempuan mereka.
Selain itu, kita marah kepada pendatang asing, tetapi pada masa yang sama ramai dalam kalangan kita tidak sanggup bekerja di bawah terik matahari di tapak pembinaan, atau merasa malu untuk berniaga sayur dan ikan di tepi jalan walaupun lesen disediakan oleh pihak berkuasa. Bahkan ada yang melakukannya tetapi berasa dirinya “lebih tinggi”, lalu memandang rendah kepada pendatang asing. Akhirnya, apabila melihat mereka bekerja keras, kita pula mudah rasa marah.
Bukanlah saya sokong kebanjiran warga asing, tetapi pada masa yang sama kita juga perlu muhasabah dan mengubah sikap sendiri.
Bila kita tidak sanggup kerja mengutip sampah, buruh pembinaan, pekerja kilang - maka mereka tentunya ambil peluang dan kuasai bidang-bidang ini. Bila kita marahkan mereka, memanglah mereka akan naik lemak dan melaung-laung hak mereka.
Kita yang salah, membiarkan mereka berkembang biak.
Kita marah pihak berkuasa - memanglah undang-undang dan penguatkuasaan perlu lebih tegas - pihak berkuasa ada lakukan kerja (bukan semuanya yang ambil rasuah), bukan setiap minit, setiap jam, tengok posting viral atau setiap kali ada panggilan masuk. Bila lambat sikit, kita mengamuk.
Selagi kita masih bergantung kepada tenaga kerja murah, realitinya kehadiran pekerja asing akan terus menjadi sebahagian daripada sistem ekonomi. Dalam masa yang sama, kita tidak boleh menafikan bahawa isu ini juga berkait dengan peluang kerja, pilihan kerjaya, dan kesediaan kita sendiri untuk melakukan kerja-kerja yang lebih mencabar atau kurang diminati.
No comments:
Post a Comment