Tuesday, January 20, 2026

Bahasa Melayu sebagai Teras Pendidikan: Suatu Kenyataan Kepimpinan Nasional


Oleh: Nik Zafri Abdul Majid

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar Bahasa Melayu dimasukkan sebagai teras dalam Dasar Pendidikan Negara wajar disambut dengan sikap terbuka, matang dan berpandangan jauh. Titah ini bukan bertujuan menafikan kepelbagaian, sebaliknya mengajak seluruh rakyat dan pembuat dasar untuk kembali kepada asas pembinaan negara yang telah dipersetujui sejak merdeka.
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, sambil pada masa yang sama menjamin kebebasan penggunaan dan pembelajaran bahasa-bahasa lain. Keseimbangan ini mencerminkan kebijaksanaan penggubal Perlembagaan: Malaysia dibina atas kepelbagaian, namun disatukan oleh satu bahasa bersama. Dalam konteks ini, meletakkan Bahasa Melayu sebagai teras pendidikan bukan langkah ke belakang, tetapi kesinambungan kepada kontrak sosial dan prinsip kenegaraan.
Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah lama menggariskan bahawa pendidikan berperanan membentuk insan seimbang serta memperkukuh perpaduan nasional. Pendidikan tidak sekadar memindahkan ilmu, tetapi membentuk nilai, pemikiran dan jati diri. Oleh itu, bahasa pengantar utama bukan isu teknikal semata-mata, sebaliknya berkait rapat dengan hala tuju negara dan identiti generasi masa hadapan.
Dalam perjalanan pembangunan negara, terdapat usaha memperkukuh penguasaan bahasa asing, khususnya Bahasa Inggeris, atas pertimbangan daya saing global dan akses kepada ilmu. Salah satu contoh dasar lalu ialah penggunaan bahasa Inggeris bagi pengajaran sains dan matematik. Walaupun dasar tersebut digubal dengan niat baik, penilaian semula menunjukkan keperluan imbangan yang lebih adil agar matlamat penguasaan ilmu tidak menjejaskan kefahaman pelajar dan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Pengalaman ini memberi pengajaran bahawa kekuatan sistem pendidikan terletak pada keseimbangan, bukan penggantian mutlak.
Isu Bahasa Melayu sering menjadi sensitif kerana ia bersentuhan dengan emosi, identiti dan sejarah. Namun, perbincangan ini tidak harus dilihat sebagai pertembungan antara bahasa, kaum atau ideologi. "Multilingual" adalah kekuatan negara, tetapi bahasa kebangsaan ialah asas penyatuan. Banyak negara maju mengekalkan dan berbangga bahasa kebangsaan masing-masing sebagai bahasa pendidikan utama, sambil menggalakkan penguasaan bahasa asing sebagai nilai tambah strategik.
Persoalan sama ada wujud pihak yang menidakkan Bahasa Melayu perlu ditangani dengan berhati-hati. Secara umumnya, tidak ramai yang menolak kedudukan Bahasa Melayu secara terbuka. Namun, terdapat kecenderungan untuk melihat isu bahasa melalui lensa ekonomi dan pasaran semata-mata, sehingga aspek kenegaraan dan jati diri kurang diberi penekanan. Di sinilah perlunya kepimpinan yang konsisten dan berprinsip dalam menterjemahkan dasar.
Kenyataan bahawa pihak yang tidak menerima Bahasa Melayu sebagai teras pendidikan “lebih baik tidak tinggal di negara ini” hendaklah difahami sebagai peringatan nilai, bukan penolakan terhadap sesiapa. Setiap negara mempunyai asas yang perlu dihormati begitu juga dengan Malaysia:
Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, institusi Raja dan bahasa kebangsaan
Menghormati asas ini adalah tanda kesetiaan kepada negara.
Sebagai satu kenyataan kepimpinan nasional, kita wajar menegaskan bahawa Malaysia mampu bersaing di peringkat global tanpa mengorbankan jati diri. Bahasa Melayu mesti terus diperkukuh sebagai bahasa ilmu, bahasa wacana dan bahasa perpaduan, sambil penguasaan bahasa lain dipertingkat secara sistematik. Inilah pendekatan seimbang yang mencerminkan kematangan sebuah negara berdaulat berakar kukuh di tanah sendiri, namun terbuka luas kepada dunia.

No comments:

Post a Comment