Kuala Lumpur: Langkah menetapkan had umur minimum 16 tahun dan mewajibkan pengesahan identiti mampu menangani peningkatan ancaman bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM)
Pendekatan tegas berkenaan bagaimanapun memerlukan sokongan ibu bapa, sekolah dan industri teknologi agar keselamatan kanak-kanak dapat dijamin secara menyeluruh.
Presiden Persatuan Wanita Dalam Urustadbir & Teknologi (WIGTA), (Puan Hajjah) Tetty Henney binti Zulkifli berkata, langkah ini melebihi prosedur teknikal sebaliknya menjadi benteng pertahanan baharu melindungi golongan rentan daripada eksploitasi dalam talian kian sukar dibendung.
Katanya, golongan remaja khususnya berusia 13 tahun hingga 15 tahun secara psikologi masih belum memiliki kematangan penuh untuk mengenali taktik manipulasi dalam talian seperti ugutan seksual atau pemalsuan identiti.
“Kajian antarabangsa menunjukkan kumpulan umur ini kerap berkongsi maklumat peribadi tanpa sedar, sekaligus membuka ruang kepada eksploitasi.
“Penjenayah siber sangat licik. Mereka memanipulasi emosi, rasa ingin tahu dan keinginan untuk diterima.
Tetty Henney berkata, ambang umur 16 tahun ditetapkan sebagai langkah pencegahan berdasarkan data risiko dan tahap kematangan
Penetapan umur 16 tahun dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk tahap perkembangan kognitif remaja lebih cenderung memahami implikasi privasi dan risiko dalam talian.
“Statistik data CSAM turut menunjukkan peningkatan ketara insiden melibatkan pengguna bawah 16 berbanding kumpulan umur lebih tinggi.
“Keupayaan kanak-kanak pada usia 13 tahun hingga 15 tahun juga masih di tahap perkembangan impulsif dan lemah dalam pertimbangan.
“Jadi, kita mahu memastikan apabila remaja melangkah ke dunia media sosial, mereka sudah cukup matang dan dilindungi,” katanya lanjut.
Beliau berpendapat, pengesahan umur untuk membuka akaun media sosial bukan bertujuan menyekat kebebasan digital sebaliknya menjadi lapisan keselamatan kanak-kanak.
Ujarnya, pengesahan berkenaan mampu menghalang akses bawah umur ke ruang berisiko tinggi.
“Secara tidak langsung, akaun palsu tidak lagi digunakan oleh kanak-kanak untuk memintas syarat umur
“Pemangsa dewasa yang menyamar sebagai remaja juga lebih mudah dikesan mengikut kesahihan undang-undang,” ujarnya.
Kerajaan dijangka mengumumkan garis panduan teknikal serta pelaksanaan fasa pertama dasar ini dalam masa terdekat.
Langkah ini diumumkan selepas satu siri perbincangan antara agensi keselamatan siber, Kementerian Komunikasi, serta pakar perlindungan kanak-kanak.
No comments:
Post a Comment