Sedikit Pembetulan - artikel yang saya tuliskan kembali ini sebenarnya telah memasukkan kisah Wan Serang Bulan merupakan isteri muda YTM Engku Besar Jeram tetapi setelah diperiksa, saya dapati fakta lama masih ada tertera. Ianya telah saya perbetulkan sebentar tadi.
Mohon maaf di atas kekhilafan yang tidak disengajakan ini.
Mana-mana yang bertanda (*) Ralat Pembetulan - 30/03/2019
Assalaamu'alaikum wbr. dan Salam Sejahtera.
Setelah mengumpulkan banyak bukti dan wawancara dengan watak-watak yang boleh dipercayai selama lebih 3 dekad, saya telah memutuskan untuk menulis #sejarahalternatif mengenai apa yang sebenarnya berlaku; mengikut pendapat peribadi saya; semasa pemerintahan KDYMM Sultan Muhammad IV dan Tok Janggut/ YM Engku Besar Jeram yang difitnah menderhaka kepada baginda dan bagaimana penjajah memainkan peranan menggunakan "orang Raja" kerana penjajah sudah lama mengesyaki SM IV dalam diam-diam telah berkonspirasi dengan Tok Janggut/ YM Engku Besar Jeram bagi menghalau penjajah keluar dari bumi Kelantan (ada kebenaran sebenarnya!)
KDYMM Sultan Muhammad IV
Saya terpanggil untuk menulis kisah sebenar kerana hati saya amat tidak tenteram melihat fitnah demi fitnah dilemparkan kepada KDYMM Sultan Muhammad IV malah Tok Janggut (Haji Mat Hassan bin Panglima Munas) sendiri telah difitnah melakukan maksiat dengan gundik raja kerana marahkan "orang-orang Raja" yang dikatakan membunuh abangnya Mat Tahir. ( "orang-orang Raja" ini jugalah yang banyak memfitnah Dato' Perdana hasil pengaruh "anglophile" dan mereka menjadi talibarut penjajah malah tidak mahu penjajah tinggalkan bumi Kelantan kerana "sayangnya" pada penjajah. Tetapi di akhir hayat, "orang-orang Raja" ini telah insaf dan bertaubat - mudah-mudahan mereka juga mendapat husnul khatimah)
Jika Tok Janggut masih hidup, sudah tentu Pahlawan ini akan digelar "pengganas" walaupun dia sebenarnya berjuang menentang penjajahan yang meletakkan cukai menyusahkan rakyat (penjajah memang pandai, mereka menggunakan nama SM IV samada untuk meyakinkan (atau memaksa/memeras) rakyat Kelantan atau mungkin juga untuk menanam benih kebencian terhadap Raja)
Juga saya akan cuba mendedahkan bahawa mayat yang dikatakan tergantung secara terbalik adalah BUKAN mayat Tok Janggut (yang dikatakan meninggal pada 25 Jun, 1915) dan ke mana Tok Janggut telah menghilangkan diri. (Kisah ini hampir sama dengan Pahlawan Mat Kilau yang dikatakan mati di zaman penjajahan tetapi tiba-tiba pula terbit kembali dan meninggal pada usia 123 tahun - jika kita faham kisah ini maka kita fahamlah kisah Tok Janggut)
Tidak dapatlah saya namakan watak-watak yang pernah ditemui kerana jumlah mereka sangatlah ramai sekali - bagi mendapatkan kisah sebenar mengenai Tok Janggut tetapi saya sekadar memberikan 5 nama sahaja :
1) Allahyarham Encik Ahmad (Pak Mat) - Guru Silat Terlak 4 iaitu murid kepada murid Tuan Guru Abu Tamam bin Indera Muda. Pak Mat juga merupakan guru utama kepada Pak Su Noor (Mat Noor Rakit) Jurulatih Silat Kebangsaan. Arwah Pak Mat semasa itu menetap di Bunut Payong.
2) Allahyarham Nik Ismail (Pak Nik Ismail Burong) yang meninggal pada usia kira-kira 119 tahun - merupakan pemandu kepada Dato' Perdana Menteri Nik Mahmud. Juga merupakan murid kepada Tuan Guru Abu Tamam Indera Muda. Allahyarham Pak Nik Ismail ketika itu menetap di belakang Sekolah Naim Lilbanat, Kota Bharu.
3) Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Soh, Kedai Menanti
4) Allahyarham Tok Ayah Haji Senik Padang Mokkan
5) Allahyarham Haji Abdullah (Pak Su Lah Teluk Arjuna Kuala Besar) Guru Silat Minangkabau
(1) dan (2) merupakan saksi-saksi hidup dan pernah bertemu dengan Tok Janggut semasa hampir penghujung hayatnya (Tok Janggut dipercayai meninggal pada akhir 80-an *(atau pertengahan 90-an)* dan kuburnya didakwa bukan di Pasir Puteh *atau di Pasir Pekan*, Kelantan - tidaklah haluan artikel ini untuk menolak di mana kuburnya Tok Janggut - sekadar mengutarakan pendapat peribadi)
Manakala (3), (4), (5) adalah murid-murid Syeikh Muhammad Yusof (Tok Kenali) semenjak dari usia muda.
Apa yang saya bakal paparkan ialah Sejarah Alternatif dan tidak berniat untuk meminda apa-apa yang dipaparkan dalam Sejarah Konvensional. Ianya boleh ditolak atau diterima oleh sejahrawan kerana ianya hanyalah Sejarah Alternatif. Bacalah dengan hati yang terbuka supaya kita sedar, kita bukanlah mangsa "brainwash".
Saya juga bukan berniat merendah-rendahkan versi pelbagai yang pernah ditulis atau wawancara bersama keturunan Tok Janggut sendiri (malah ada sesetengah mempunyai fakta dan hujjah yang baik) tetapi saya sekadar ingin membersihkan nama Almarhum Sultan Muhammad IV yang sangat rapat dengan ulama seperti Tok Kenali (murid Syeikh Wan Ahmad Fathani) dan Dato Perdana Menteri Nik Mahmud - sahabat Tok Janggut juga sahabat kepada Tok Kenali dan murid kepada Syeikh Wan Ahmad Fathani)
Niat saya dalam tempoh jangkapanjang untuk merapatkan kembali ukhuwah dan tali persaudaraan yang telah lama terputus agar luka lama dapat dipulihkan walau sedikit memakan masa. Saya juga akan cuba menangkis percubaan penjajah bagi mewujudkan sentimen anti-raja.
Rasa saya kita semuanya tahu, penjajahlah yang telah "baling batu, sembunyi tangan". Bukanlah juga niat saya menyatakan semua orang British itu jahat kerana tidak adil jika penjajah yang buat onar, kita salahkan semua warga Inggeris pula. (malah ada juga kisah bangsa Inggeris diam-diam semasa zaman penjajahan telah simpati dan ikut sama membantu menyokong perjuangan rakyat Kelantan menentang penjajah)
Perlu saya tegaskan bahawa saya tidak menerima apa-apa imbalan/upah dalam menukilkan pendapat peribadi saya dan saya juga tidak mewakili mana-mana pihak semasa menulis akan hal ini. Ianya hanyalah pendapat peribadi saya.
Wassalaamu'alaikum, wallahualam.
Al-Fatihah
SEJARAH ALTERNATIF :
SIAPAKAH SEBENARNYA KDYMM AL SULTAN MUHAMMAD IV, PERJUANGAN TOK JANGGUT, HAJI HASSAN BIN PANGLIMA MUNAS
Tumpuan saya ialah hubungan di antara KDYMM Al-Sultan Muhammad IV dan motif perjuangan Tok Janggut, Engku (Tengku) Besar Jeram Tengku Sri Maharaja dan rakan-rakan mereka yang lain.
Walaupun saya sudah mendapat kisah sebenar yang saya yakini, tetapi untuk artikel ini saya tidak akan menyentuh banyak mengenai :
1) Pembunuhan Mat Tahir, abang kepada Tok Janggut oleh “orang raja” dan
2) Pembunuhan ayahnya Panglima Munas yang dituduh melakukan maksiat oleh "orang raja" dengan Wan Serang Bulan (isteri muda Engku Besar Jeram) dan kononnya dihalau seperti yang dinyatakan oleh setengah-setengah sumber) Mungkin ini satu percubaan untuk melaga-lagakan keluarga Tok Janggut dengan kerabat Long Gaffar.
Nota : Panglima Munas juga merupakan salah seorang pegawai tinggi kepada ayahanda kepada Engku Besar Jeram iaitu Tengku Sri Maharaja.
Di sini saya ingin menegaskan beberapa perkara :
3) bahawa Wan Serang Bulan tidak harus dirujuk sebagai “gundik” raja tetapi adalah isteri yang sah kepada YTM Engku Besar Jeram mengikut syarak,
4) istilah “orang raja” telah muncul berkali-kali – ada yang mendakwa “orang raja” itu berkaitan dengan Sultan Muhammad IV dan ada pula versi yang mendakwa “orang raja” itu adalah pegawai kepada Tengku Sri Maharaja, ayahanda kepada Engku Besar Jeram.
Saya akan hanya menyentuh perkara ini secara am dan bukan secara khusus – namun watak “orang raja” ini amatlah penting dalam kajian sejarah alternatif saya kerana “orang raja” inilah; pada hemat saya; ialah orang yang memfitnah Tok Janggut, "orang raja" inilah yang amat sayangkan penjajah, "orang raja" inilah terlibat dalam pembunuhan Mat Tahir malah "orang raja" inilah yang memfitnah Panglima Munas berbuat maksiat dengan Wan Serang Bulan. BESAR kemungkinan “orang raja” inilah juga yang jatuh hati kepada Wan Serang Bulan lalu diletakkan tuduhan itu kepada Panglima Munas.
Mungkin juga tidak pernah berlaku pun sebarang kejadian maksiat kecuali ada yang ingin memfitnah Wan Serang Bulan.
Tanpa menyebut nama buku, HANYA ADA SATU (1) rujukan sahaja yang ditulis selepas zaman Penjajahan Jepun – cuba (atau sebenarnya “gagal”) memaparkan bahawa Tok Janggut dan keturunannya adalah orang-orang yang jahat, menderhaka pada raja dan sebagainya. Inilah yang menjadi rujukan ramai sejahrawan kadang-kadang mengabaikan sumber yang lain. (Maaf, setelah membaca buku berkenaan, saya TIDAK DAPAT menerima buku yang ditulis gaya “hikayat” tetapi penuh dengan pembohongan demi membela “orang raja” berkenaan atau telah diupah untuk menutup kesalahan “orang raja”)
Saya juga tidak akan menyentuh banyak mengenai motif perjuangan Tok Janggut kerana sudah ramai pengarang menyentuh mengenai perkara ini – kesimpulan muktamad saya ialah perjuangan Tok Janggut adalah kerana ketidakpuasan hati terhadap dua perkara
5) sistem percukaian penjajah.
6) Encik Latiff yang menjadi TALIBARUT penjajah
FULLSTOP
Saya juga sukar nak menerima sesetengah pengarang-pengarang tertentu samada dari bangsa Barat dan juga karya tempatan bukan kerana tidak mahu menerima hakikat tetapi fakta-faktanya sangat tidak jelas dan konsisten.
Sekadar menyebut beberapa contoh :
1) Ada karya, tulisan atau buku yang tidak menyebut mengenai peranan Engku Besar Jeram dan hubungan kekeluargaannya dengan Sultan Muhammad IV
2) Ada karya, tulisan atau buku yang tidak menyebut mengenai adanya emas yang banyak di Sungai Kelantan dan menjadikan penjajah begitu tamakkan emas
3) Ada karya, tulisan atau buku yang mempunyai motif tertentu dan hanya mengikut persepsi masing-masing dengan kecenderungan menghasut untuk membenci Tok Janggut dan juga Sultan Muhammad IV tanpa disokong oleh sebarang fakta yang kukuh.
4) Ada karya, tulisan atau buku gagal memaparkan peranan dan persahabatan Waliyullah Syeikh Yusuf (Tok) Kenali (murid Waliyullah Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain Mustafa Al Fatani) dan Dato Perdana Menteri Nik Mahmud dengan perjuangan Tok Janggut/Engku Besar Jeram dan bagaimana fatwa "jihad" telah dikeluarkan dan siapa yang meluluskan fatwa berkenaan.
5) Tiada karya yang menyebut mengenai alimnya Permaisuri Sultan Muhammad IV iaitu DYMM Raja Perempuan Sultanah Zainab (Nik Zainab bin Nik Muhammad Amin) yang juga murid kepada Tok Kenali. Juga banyak tidak disebut (atau sengaja dipadamkan) mengenai YTM Che Jarah, permaisuri kedua Sultan Muhammad IV.
Namun terdapat beberapa karya yang sangat baik ulasannya walaupun masih berkesimpulan bahawa yang digantung mayatnya adalah Tok Janggut dan banyak juga yang menyatakan bahawa BUKAN mayat Tok Janggut yang digantung dan diarak itu.
Saya juga akan menyebut secara ringkas apa yang disebut oleh 5 sumber utama "orang-orang lama yang boleh dipercayai" mengenai Tok Janggut dan Sultan Muhammad IV.
Akhir kata untuk Bahagian 1 :
A. "Jangan kita buat apa-apa kerosakan. Kita TIDAK MARAH PADA RAJA KITA (Sultan Muhammad IV), hanya satu kita marah kepada kezaliman Ketua Jajahan ini (Encik Latif) . Kamu jangan merosak apa-apa di Limbungan ini. Hendaknya masing-masing mesti beringat dan bersedia pada setiap masa kerana di satu hari nanti kita akan menempuh kesusahan iaitu mungkin akan berperang dengan pihak yang berkuasa (British) di Kota Bharu sebab dengan sahnya tetaplah perkara ini akan disampaikan (fitnah) oleh ketua bedebah itu (Encik Latif) kepada Duli Yang Mulia [Mulia] Tuankunya Sultan Kelantan." (Tok Janggut)
B. "UNWANTED OPPOSITION and DIFFICULTIES (from the Sultan) have been experienced by the British adviser" (Laporan Sulit W.G. Maxwell)
C. "....ALLEN raises the POSSIBILITY that THE SULTAN MIGHT BE BEHIND THE WHOLE RISING, he does not investigate the matter further except to state : It is equally quite possible that the RULER HIMSELF was, by 1915, HEARTILY TIRED of British rule and prepared to join his relatives* in a revolt against it if such revolt looked like succeeding."
Jadi apakah penjajah telah mengesyaki bahawa Sultan Muhammad IV merupakan ketua konspirasi sebenar pemberontakan dan peperangan jihad terhadap British?
Jadi fitnah-fitnah yang menyatakan bahawa YTM Engku Besar Jeram ingin menjadi Sultan Kelantan atau Tok Janggut adalah penderhaka pada Sultan Muhammad IV atau Sultan Muhammad IV sangat murka lalu menitahkan agar Tok Janggut dan pengikutnya ditangkap ADALAH PERMAINAN PENJAJAH dan KRONI-KRONINYA semata-mata.
Al-Fatihah : KDYMM Sultan Muhammad IV, Tok Janggut, YTM Engku Besar Jeram dan semua pahlawan dan penduduk Pasir Puteh yang berani menentang penjajahan.
Bahagian II : Sultan Muhammad IV – Pro atau Anti-British?
BAHAGIAN II : KDYMM AL-SULTAN MUHAMMAD IV : PRO ATAU ANTI BRITISH
Walaupun tidak menunjukkan sebarang wajah tanda kerisauan di hadapan rakyat, namun KDYMM Sultan Muhammad IV sebenarnya amat berdukacita melihat :
1) perkembangan Perjanjian Inggeris dan Siam 1902, 1909 dan 1910 yang semudah-mudahnya membahagi, menjual dan menggadai banyak daerah/jajahan sewenang-wenangnya kepada British dan Siam,
2) perselisihan antara Duff dan Graham kerana agenda kerana (tamak) merebut hasil galian terutamanya emas di Sungai Kelantan dan tanaman di Negeri Kelantan yang memberikan kesan mendalam terhadap ekonomi Negeri Kelantan,
3) Akibat faktor (1), kebanyakan rakyat marhaen di bawah bekas jajahan-jajahan baginda telah berada dalam keadaan kucar-kacir dan kekeliruan termasuk saudara-mara baginda sendiri di Pattani yang turut memberontak terhadap Siam malah terpaksa pula menjadi pelarian.
Sultan Muhammad IV merasakan tindakan British dan Siam seolah-olah mencabar kedaulatan baginda sehingga baginda seolah-olah diperalatkan sebagai boneka dan dipaksa untuk menerima apa sahaja yang ditawarkan oleh pihak Penjajah hanya setelah keputusan dibuat oleh mereka. Sebagai contoh, pada awal Julai, 1915, Phra Phisa, Pegawai Tinggi Siam dari Bangkok telah mepersembahkan surat pemindahan kuasa dari Siam kepada British kepada Sultan Muhammad IV (keputusan itu langsung tidak mengambilkira pandangan dan input dari Sultan Muhammad IV - bayangkan perasaan Tuanku ketika itu yang terpaksa menerima syarat-syarat "orang luar" ke atas negeri baginda)
Baginda lebih berdukacita melihat rakyat baginda yang aman pada awalnya telah menjadi kucar-kacir kerana dipaksa penjajah British untuk membayar cukai yang tidak berpatutan. Walaupun Baginda diberikan sedikit dari bahagian cukai, namun British dan Siam mengambil keuntungan jauh lebih tinggi dari hasil tanah milik asal Kelantan dari turun temurun. (Malah baginda juga dilaporkan turut berdukacita apabila rakyat baginda di Pasir Puteh telah dikorbankan oleh pihak British dibantu oleh kroni penjajah yang menjadi talibarut mereka – Raja mana tidak sayangkan rakyat?)
Sultan Muhammad IV dikatakan telah berkali-kali mengadakan sidang tertutup dan rahsia dengan beberapa orang kerabat dan orang-orang kepercayaan baginda (di mana diyakini bahawa salah seorang telah membelot pada Baginda).
Baginda juga dikatakan telah lama mengesyaki terdapat ‘api dalam sekam’ dalam kalangan baginda sendiri. Oleh kerana British dan Siam ketika itu sedang sibuk campurtangan dalam pergaduhan besar antara Duff dan Graham, ditambah pula dasar British juga tidak mahu campurtangan dalam urusan agama, lalu Baginda mengambil peluang ini dengan begitu berhati-hati mengadakan sidang yang berasingan lagi rahsia dengan para ulama Syeikh Yusof Kenali (Tok Kenali) murid kanan ulama Syeikh Wan Ahmad Fathani. Dikatakan setiap kali British berhadapan dengan dua orang waliyullah ini, mereka seperti terketar-ketar dan terasa satu bahang panas hasil kekeramatan Tok Kenali dan gurunya Syeikh Wan Ahmad Fatani.
Dalam memberikan nasihat kepada Raja, Tok Kenali seperti gurunya - Syeikh Wan Ahmad Fatani akan merujuk kepada kitab Hadiqatul Azhar War Rayaihin Edisi Bahasa Arab. Kitab itu sebenarnya banyak menyelitkan balaghah, majazi, misal, kinayah dsb. bagi menyembunyikan rahsia sebenar yang hanya akan difahami oleh para ulama muhaqqiqin. Ianya juga merupakan salah satu rujukan Dato’ Perdana dalam karangannya “Pati Rahsia” – rujukan paling terkenal di kalangan pengamal-pengamal seni mempertahankan diri dan kedukunan.
*Nota : Tok Janggut semasa di Mekah telah sempat berguru dengan Syeikh Wan Ahmad Fatani. Syeikh Wan Ahmad Fatani telah memberikan gambaran mengenai apa yang akan berlaku kepada Tok Janggut semasa dia pulang dari Tanah Suci. Waliyullah itu telah menasihatkan Tok Janggut agar banyak bersabar kerana kesabaran itu akan menjadikan Tok Janggut seorang pahlawan yang sangat hebat serta akan mengetuai peperangan terhadap penjajah. Benarlah kata-kata Syeikh Wan Ahmad Fatani. Apabila Tok Janggut pulang ke Kelantan, dia telah diberitahu berita buruk mengenai kematian ayahnya dan juga abangnya akibat fitnah.
Setelah kematian Syeikh Wan Ahmad Fatani, Tok Kenali telah ditugaskan untuk mengambilalih tugas menasihat Raja. Tok Kenali sering menggunakan doa penutup pertemuan rahsia yang dipetik dari kitab yang sama antara lain, memohon kepada Allah SWT agar "diperkuatkan rakyat ke atas penjajah dan dikembalikan semua jajahan-jajahan asal milik Kelantan"
Kekecewaan baginda Sultan Muhammad IV turut dikongsi dengan Dato Perdana Menteri Nik Mahmud (ketika itu bergelar Dato’ Bentara Setia) yang akhirnya telah membawa kepada perkenalan baginda dengan sahabat baik Dato Nik Mahmud sendiri iaitu Panglima Mohd Hassan (Tok Janggut) yang juga murid kepada Tuan Guru Haji Nik Ismail, ayahanda kepada Dato’ Perdana.
Tok Janggut ketika itu berusia awal 60-an telah menawarkan khidmatnya untuk mengembalikan kedaulatan KDYMM Sultan Muhammad IV dan pada awal tahun 1915, satu fatwa rahsia telah dikeluarkan oleh Tok Kenali (ditashihkan oleh ramai ulama yang hadir) dan mendapat perkenan rahsia Baginda Sultan Muhammad IV sendiri.
Fatwa berkenaan ialah mengisytiharkan “JIHAD FII SABIILILLAH” terhadap penjajah!
Fatwa rahsia ini tersebar di seluruh pelusuk Tanah Melayu serta sampai kepada pengetahuan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu (bermula dari Terengganu yang dipelopori pula oleh Tuan Guru Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad Al-Aidrus (Tok Ku Paloh – sahabat Tok Kenali) sehinggalah kepada semua ulama dan pembesar Istana mereka yang telah lama dalam diam-diam tidak berpuas hati dengan apa yang dilakukan oleh pihak British dan Siam. Ianya juga telah tiba kepada sahabat-sahabat seperjuangan Tok Janggut seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Dato’ Bahaman dan ramai lagi.
*Tok Janggut pernah berjuang bersama-sama dengan Mat Kilau di Pahang dengan menggunakan nama samaran/gelaran untuk mengelakkan penjajah mengetahui identiti beliau yang sebenar. Tok Janggut adalah seorang pedagang beras dan minyak masak dan dikatakan, dia sering menggunakan profesyen ini untuk merisik pertahanan British. Oleh kerana Tok Janggut adalah seorang yang cukup hebat penyamarannya, maka pihak penjajah TIDAK MENGETAHUI rupanya yang sebenar!
Lalu baginda Sultan Muhammad IV dikatakan telah merancang satu strategi pemberontakan yang cukup hebat bagi mengkucar-kacirkan pihak Penjajah namun baginda juga telah berpesan kepada Tok Janggut supaya nama baginda sekali-kali tidak boleh dikaitkan dalam pemberontakan ini kerana tidak mahu penjajah tahu peranan sebenar Baginda dan Dato Bentara Setia Nik Mahmud kerana ramai pembesar Istana masih mendapat kepercayaan British.
British telah mendengar desas-desus lalu mengesyaki bahawa YTM Engku Besar Jeram turut terlibat dalam konspirasi anti-Penjajah. Lalu British telah melakukan satu intimidasi dengan mengikis kuasa Engku Besar dan diserahkan kepada Pegawai Daerah (D.O.) yang diketuai ketika itu oleh Encik Ibrahim dan kemudiannya Encik Salleh (sebelum Encik Latiff ditugaskan)
Namun British telah silap perhitungan kerana Encik Ibrahim dan Encik Salleh adalah rakyat Kelantan yang mempunyai hubungan yang baik dengan penduduk Pasir Puteh dan masih menghormati Kerabat Di Raja. Banyak kali juga British mendapati kutipan cukai tidak mencapai sasaran (hasil muslihat Encik Ibrahim dan Encik Salleh).
Lalu British tidak ada jalan lain, mereka telah melantik Encik Latif dari Singapura untuk menggantikan Encik Salleh. Ini juga merupakan kesilapan terbesar penjajah serta mengeruhkan lagi pergolakan kerana Encik Latif mempunyai sikap tegas dan amat sombong.
YTM Engku Besar kecewa dengan British yang telah mengikis harta dan kuasa miliknya di Pasir Puteh yang selama ini diiktiraf oleh Raja Kelantan dan Patani ketika itu. Malah Engku Besar sendiri telah dikenakan cukai. Tanah-tanah warisan moyangnya Long Gaffar yang banyak menempatkan penduduk Pasir Puteh telah dirampas oleh pihak British dan diserah pentadbiran kepada D.O. Ramai yang tidak tahu, penduduk miskin di Pasir Puteh akan kehilangan punca zakat dan infaq dari Engku Besar yang terkenal dengan sifat hartawan dan pemurah itu. Ini telah menimbulkan kemarahan dan kebencian yang teramat sangat.
Engku Besar Jeram pernah berkali-kali menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap Pegawai Daerah, kepada pihak British dengan menunjukkan dokumen-dokumen yang sah mengenai pengiktirafan Engku Besar Jeram sebagai Pemerintah Jeram turun-temurun.
Namun, rayuan dan rundingannya walaupun disebut “atas nama Sultan” telah diisytihar sebagai TIDAK SAH akibat siri-siri Perjanjian British dengan Siam sekaligus menidakkan kedudukan Engku Besar Jeram. Engku Besar Jeram juga telah berulang-alik ke Istana Balai Besar mengadap KDYMM Sultan Muhammad IV bagi menjelaskan motif sebenar perjuangan Tok Janggut. Perkara ini amat mengkhuatirkan British kerana versi yang berbeza telah diberikan oleh Encik Latif. Apatah lagi apabila KDYMM Sultan Muhammad IV seperti tidak menampakkan pendirian yang jelas terhadap perjuangan Engku Besar Jeram dan Tok Janggut.
Lalu berlakulah pemberontakan bersejarah YANG PALING MENAKUTKAN PIHAK PENJAJAH yang turut mengorbankan Sarjan Che Wan oleh Tok Janggut. Peristiwa yang sepatutnya tidak bertukar menjadi tragedi ini ialah kerana Sarjan Che Wan :
1) mengganggu syarahan yang disampaikan oleh Tok Janggut,
2) meminta Tok Janggut berjalan di hadapan seolah-olah beliau orang yang salah,
3) menyebut “Atas titah perintah Sultan Muhammad IV” dan bukannya “Atas Arahan Pihak Penjajah” untuk menangkapnya – dianggap oleh Tok Janggut sebagai kata-kata talibarut Penjajah yang memburukkan nama Sultan,
4) Apabila Tok Janggut enggan berjalan di hadapan, maka Sarjan Che Wan cuba menggarinya, lalu Tok Janggut bertindak pantas menikam Sarjan Che Wan sehingga membawa maut.
(ada versi menyatakan bahawa Sarjan Che Wan bukan ditikam oleh Tok Janggut tetapi oleh orang lain kerana Tok Janggut bukan berada di situ semasa kejadian. Begitu juga kisah syarahan Tok Janggut sebenarnya berlaku sehari sebelum kejadian di mana perkara ini sampai kepada pengetahuan Encik Latif dan diarah Sarjan Che Wan menangkap Tok Janggut dan membuat onar di rumah tok Janggut serta mengganggu anak-anak dara di sekitar Pasir Puteh - Wallahualam)
Pemberontakan dan siri-siri serangan hendap ini telah menyebabkan ketakutan yang amat di pihak British sehingga mereka terpaksa berundur dari Pasir Puteh malah memindahkan semua kaum keluarga mereka di Kota Bharu ke tempat perlindungan milik Montgomery di Simpang Kubang.
Polis dan Tentera yang bekerja dengan pihak British termasuk Encik Latif sering ditakut-takutkan oleh Tok Janggut dan para pengikutnya malah banyak melakukan serangan hendap terhadap mereka.
Ada suatu kisah lisan antara lain; Encik Latif yang asalnya begitu angkuh telah bertukar menjadi seorang yang penakut dan bacul. Semasa beliau berundur dari Pasir Puteh, beliau diiringi oleh beberapa orang konstabel. Dikatakan semasa beliau berpaling ke belakang, dia dapati ada konstabel telah ditikam mati tanpa mengetahui dari mana puncanya. Selain itu, serangan terhadap bot-bot dan merampas kembali harta benda yang pernah dirampas oleh pihak British : terus berlaku di mana-mana.
Dikatakan pengikut Tok Janggut mencecah sehingga 3000 orang tidak termasuk bantuan dari Terengganu dan perlu disebut di sini – iaitu bantuan dari keluarga Dato Lundang (Nik Mat dan Nik Mahmud bin Dato' Lundang yang kemudiannya juga menjadi mangsa fitnah sebagai pembunuh kepada Mat Tahir dan saudara kepada Penghulu Mat Adam) – peristiwa ini juga antara penyebab leluhur Lundang yang terkenal iaitu Mandur Mis dan Penghulu Adas telah dipadamkan daripada sejarah Kelantan kerana menyokong perjuangan Tok Janggut)
Namun, takdir telah menentukan, khabar angin bahawa Sultan Muhammad IV menyokong pemberontakan ini telah disampaikan oleh beberapa pembelot kepada pihak British menyebabkan pihak British terpaksa menguji kesetiaan Sultan Muhammad IV dan semasa itulah Sultan Muhammad IV terpaksa menitahkan agar Tok Janggut ditangkap supaya tidak dilihat sebagai anti-British. Namun sebelum titah itu dikeluarkan, terdapat titah rahsia baginda kepada Dato Menteri (Mohd Hassan Salleh) dan Dato’ Bentara Setia (Dato Perdana Nik Mahmud) untuk segera memaklumkan Tok Janggut dan Engku Besar Jeram supaya menghilangkan diri.

No comments:
Post a Comment