Saturday, April 08, 2023

TOK KAYAN/TOK EGOK - LIM TOH KHIAM - Ditulis kembali oleh Nik Zafri (09 APRIL 2023 - pada pertengahan bulan Ramadhan)

Nota : Penulisan berikut telah saya tuliskan kembali atas permintaan beberapa orang kerabat, saudara-mara rapat saya termasuk untuk paparan kepada sejahrawan muda dan peminat-peminat sejarah. Saya sudah lama mencari sumber untuk penulisan berikut tetapi banyak yang gagal saya tuliskan setelah berdekad mencari fakta mengenai penulisan ini.

Penafian :Apa yang tercatat di bawah ini adalah dari sumber pelbagai termasuk dari Internet, Hikayat Patani, kitab-kitab, jurnal-jurnal, nota-nota/catatan-catatan/log-log lama yang saya miliki sendiri dan juga kisah mulut dari penduduk tempatan Patani serta kaum keluarga dari Reman.

Walaupun segala usaha terbaik telah dilakukan untuk mengesan sebanyak sumber mengenai Tok Kayan atau Tok Egok (Lim Toh Khiam) tetapi saya tidak dapat mengesahkan sesetengah dari fakta-fakta yang digunakan. (pembaca akan mendapati perkataan "dikatakan" berulang-ulang digunakan dalam penulisan ini)

Sesiapa yang ingin kongsikan penulisan ini dialu-alukan tetapi digalakkan "copy and paste" pada blog atau akaun sosial media masing-masing dengan memberi kredit kepada saya.

------------------------------

Lim Toh Khiam atau Lim Toh Khian adalah dari kalangan Tiongkok berdarah Teochew berasal dari Chenghai/Huilai di Guandong. Dia berpindah ke Quanzhou/Chinchew, Fujian.

Namanya berbeza-beza cara sebutan umpamanya Lin Daoqian atau Lin Tao Chien. Di Pattani, semasa dia memeluk Islam, dia juga dikenali sebagai Tok Kayan/Tok Egok

(ada sumber yang menyatakan nama beliau sering diubah kerana untuk mengelirukan pihak berkuasa China dari mengesannya)

Dikatakan Lim merupakan seorang lanun yang aktif di kawasan perairan China. Lim merupakan seorang yang amat berpengaruh sehingga diilaporkan mempunyai pengikut lebih dari 5000 orang mengikut satu rekod Ming yang dicatat pada bulan Julai 1569.

Lim juga diibaratkan sebagai "Robin Hood" yang merompak dari yang kaya/sombong dan dibahagikan kepada penduduk tempatan yang miskin untuk menarik hati mereka menjadi pengikutnya.

Lim juga pernah beroperasi di Champa dan Luzon dan Filipina. tetapi telah dipatahkan serangannya di Taiwan oleh Yu Dayou, seorang panglima Maharaja Ming Jiajing. (ada sumber menyatakan Yu Dayou adalah dari zaman Dinasti Song atau Dinasti Tang)

Lim telah melarikan diri ke Kepulauan Penghu dan kemudiannya Beigang di Taiwan tetapi berjaya dikesan oleh Yu Dayou.

Lim pernah berperang dengan seorang lagi Ketua Lanun yang handal bernama Lin Feng kerana perebutan kawasan perairan dan ingin memaparkan kehandalan masing-masing sebagai Ketua Lanun. Pihak berkuasa China juga pernah berhasrat untuk merekrut Lin Feng bagi membantu menangkap Lim Toh Khiam.

Namun, walaupun Lin Feng berselisih faham dengan Lim, dia enggan membelot dalam kumpulan lanun. Akhirnya setelah dipujuk, Lin Feng akhirnya berpura-pura bekerjasama (hanya untuk mengetahui taktik pihak berkuasa China) dan secara diam-diam telah menyalurkan maklumat kepada Lim Toh Khiam.

Apabila pihak berkuasa China mendapat tahu akan konspirasi Lin Feng, Lin Feng telah melarikan diri ke Pulo (Pulau) Condor (kemudiannya ditukar menjadi Pulau Con Son oleh Vietnam) di perairan Vietnam pada tahun 1574.

Lim Toh Khiam amat dikehendaki oleh Kerajaan China tetapi mereka gagal menangkapnya kerana Lim amat licik dan pandai menyamar serta mengamalkan pelbagai ilmu mistik/seni mempertahanan diri Cina.

Semasa di Taiwan, Lim Toh Khiam dikatakan menggunakan darah musuhnya yang dilumuri pada dinding kapal sebagai "pendinding ghaib kapal" atau "penggerun musuh"

Dia juga dikatakan memiliki 3 panah jampian bertujuan untuk membunuh Maharaja China pada waktu awal pagi. Lim juga mempunyai seekor ayam jantan untuk mengejutkannya pada tempoh yang ditetapkan iaitu pada waktu fajar menyinsing. Namun, usaha pembunuhan ini telah gagal kerana adiknya Jin Lieng telah menyebabkan ayam itu terkejut dan berkokok. Lim terbangun dari tempat tidurnya kerana menyangkakan waktu fajar telah tiba.

Akhirnya dia telah memanah 3 kali ke arah istana tetapi hanya terkena pada kerusi takhta yang kosong kerana Maharaja China masih beradu ketika itu. Maharaja China murka kerana mendapati ada nama Lim tertulis pada panah-panah berkenaan. Baginda mengarahkan tenteranya untuk menangkap dan menghukum Lim Toh Khiam namun gagal kerana Lim telah berjaya bolos dan melarikan diri.

Ada sumber yang menyatakan, hartanya ditanam di Gunung Dagu (Mount Dagu) arah barat Donggang Liaoning di Daguashan. Sumber lain menyatakan, dia mempunyai banyak harta dalam kuantiti hampir sembilan peti buluh yang tertanam di kawasan Bukit Takau, Taiwan sekitar tahun 1563.

Lim dikatakan berjaya melarikan semua harta-hartanya kemudiannya dan belayar ke Pattani dengan ramai pengikutnya. Semasa berada di Patani, Lim Toh Khiam membina hubungan yang baik dengan Sultan Mansur Shah Patani - dikatakan di zaman Dinasti Sri Wangsa. Baginda Sultan amat kagum dengan diplomasi dan kemahiran pertukangan besi terutamanya dalam pembinaan meriam (Phaya-Tani) Beliau telah dilantik sebagai ketua pelabuhan dan diamanahkan untuk menguruskan cukai ke atas pedagang-pedagang luar.

Dikatakan Lim Toh Khiam telah memeluk Islam ketika ini dan mendapat gelaran Tok Kayan atau Tok Egok. (Ada satu sumber menyatakan Lim Toh Khiam bergelar "Panyalimpanun")

Tok Egok juga telah menggunakan sebahagian hartanya untuk diinfakkan bagi membina pelbagai infrastruktur di Pattani termasuk sebuah masjid yang terkenal iaitu Masjid Kerisek (Krue Se) atau Krisek, Keresik, Kresik, Kresek dan Gresik.

Beliau juga telah berikrar taat setia kepada Sultan untuk menyerang musuh Pattani iaitu Siam. Di pertengahan 1570-an, Tok Egok berjaya mengumpulkan 2000 orang pengikut dari Pattani termasuk golongan pedagang yang menetap di sana. Dari satu sumber Dinasti Ming, pihak berkuasa China terpaksa bergabung dengan Siam dan Portugis bagi menangkis serangan hebat bertubi-tubi Lim Toh Khiam terhadap kerajaan Siam antara tahun-tahun 1578 - 1581.

Namun, ada rekod dari Hikayat Patani (Phongsawadan muang pattani) menunjukkan Kerajaan Siam berkali-kali cuma menyerang Patani tetapi dipatahkan kerana kehebatan meriam-meriamnya (Phaya-Tani) sebanyak 3 buah ( juga digelar Sri Patani dan Sri Nagara mempunyai saiz yang sama) selain meriam-meriam kecil (digelar Mahalela iaitu berukuran 5 hasta 1 jengkal)- ciptaan Lim Toh Khiam yang diperbuat/ditempah dari pelbagai jenis besi dan tembaga dari segenap pelusuk rantau.

(peristiwa ini juga dikaitkan dengan Syeikh Abdul Mubin dan Syeikh Gombak dari Minangkabau merupakan pedagang-pedagang barangan tembaga yang diarahkan untuk menjual kepada kerajaan Patani tetapi mereka telah menjualnya kepada kerajaan Melaka mengakibatkan mereka telah dihukum - tidak dapat juga saya sahkan kisah ini kerana terdapat konflik dalam beberapa catatan lain dari Minangkabau)

Satu-satunya putera pewaris takhta iaitu Sultan Patek yang masih muda ketika itu telah dibunuh oleh saudara tirinya, Raja Mambang kerana ingin menaiki takhta. Tidak dapat dipastikan apa yang berlaku pada Raja Mambang samada baginda telah dihukum atau telah melarikan diri dari Patani diusir tentera yang setia dengan Raja Hijau (Puteri sulong Sultan Mansur Shah Patani)

Dikatakan Tok Egok telah mengahwini Raja Hijau. (namun tidak dapat dipastikan samada mereka mempunyai zuriat walaupun ada kisah mulut dari Pattani menyatakan satu rekod dari China menyatakan bahawa keturunannya hasil perkahwinan dengan Raja Hijau telah mewarisi kerajaan Patani kemudiannya - tidak dapat dipastikan kesahihannya - malah ada sumber mendakwa Tok Egok usianya panjang serta masih hidup di zaman Raja Biru (1616) dan masih jadi penasihat kepada pembina-pembina meriam untuk Raja Biru- tetapi ada rekod lain menunjukkan Tok Egok telah kembali ke rahmatullah dalam tahun-tahun sekitar 1580-an)

Kedatangan Tok Egok ke Pattani juga telah mempengaruhi siri-siri migrasi kaum Cina Teochew yang sangat ramai ke Pattani. Ada yang memeluk Islam dan ada yang kekal dengan agama asal. (malah terdapat penempatan kaum Cina di kawasan berkenaan) Rekod seorang Pedagang Belanda pada tahun 1603 oleh Jacob Van Neck menunjukkan ramai orang-orang Melayu Islam dari keturunan Cina (yang mendakwa keturunan Tok Egok atau berkaitan persaudaraan dengan Tok Egok) dan kaum Cina Teochew menjadi penduduk Pattani.)

Tok Egok dikatakan mempunyai seorang lagi adik perempuan bernama Lim Ko Niao. Lim Ko Niao telah belayar ke Pattani untuk mencari abangnya bagi memohon abangnya pulang ke China kerana ibunya sedang sakit tenat. Lim Ko Niao dikatakan telah bertemu abangnya tetapi abangnya enggan pulang ke China kerana dia dikehendaki oleh pihak berkuasa China.

Lim Ko Niao yang sangat kecewa dengan keputusan abangnya kerana dia sanggup datang dari jauh kerana ibunya sakit. Oleh kerana kecewa dan tidak dapat pulang ke China tanpa abangnya dan terkenangkan ibunya yang masih sakit, Lim Ko Niao dikatakan telah membunuh diri dengan menggantung diri pada sebatang pokok gajus.

Tok Egok amat sedih dengan kematian adiknya dan telah meminta orang-orang Cina Teochew yang tinggal di Pattani bagi menguruskan pengkebumian adiknya mengikut adat Cina. Dikatakan jirat adiknya berada tidak jauh dari Masjid Kerisik. Pada awal abad ke 20, satu kuil tokong dibina di kawasan jirat Lim Ko Niao dan ramai bangsa Cina dari Selatan Thai datang bagi memberikan penghormatan kepada Lim Ko Niao.

Meriam-meriam Tok Egok ini telah berjaya menyekat empat kali serangan Siam ke atas Patani iaitu pada tahun 1603, 1632, 1634 dan 1638.

Pada tahun 1631, Patani pernah menghantar bala tentera ke Ligor (Nakhon Si Thammarat) untuk membebaskan wilayah itu dari cengkaman Siam, dua buah kapal Siam berjaya dirampas dengan 2 orang Belanda. Kemudian angkatan Siam bejaya merampas kembali Ligor dari tangan Patani, tetapi 2 orang Belanda masih hilang, menyebabkan Belanda memihak kepada Siam dalam peperangan menentang Patani.

Di antara serangan Siam yang terbesar ke atas Patani berlaku pada Mei 1634, dimana 60,000 bala tentera Siam melanggar Patani, tetapi angkatan Siam ini mengalami kekalahan akibat serangan kuat dari gabungan bala tentera Patani dan juga Portugis yang asalnya menyokong Kerajaan Siam dan China selain bersekutu dengan Empayar Johor-Pahang-Riau-Lingga apabila Raja Ungu yang memakai gelaran Paduka Sultanah Syah Alam telah berkahwin dengan Sultan Pahang, 

Pada tahun 1785, Siam akhirnya telah berjaya mengalahkan Patani setelah pelbagai pertempuran yang sengit. Meriam-meriam Phaya-Tani Tok Egok (Sri Nagara dan Sri Patani) telah dirampas oleh Siam di mana salah satu dari meriam berkenaan ditempatkan di hadapan pejabat Kementerian Pertahanan Thailand di Bangkok. (ada sumber menyatakan bahawa salah satu meriam berkenaan ada di dalam Istana Thai dan ada juga yang mendakwa masih ada salah satu dari Meriam itu disimpan di Pattani - tidak dapatlah saya mengesahkan dakwaan ini)

Terdapat banyak petisyen dari saki-baki keturunan-keturunan Raja Pattani bersama penduduknya untuk dikembalikan meriam-meriam Phaya-Tani ke Pattani.

Dikatakan kerajaan Thailand telah membina replika Phaya-Tani dan diletakkan di hadapan Masjid Krisek namun ianya dimusnahkan penduduk tempatan kerana disyaki meriam palsu.


No comments:

Post a Comment