Sunday, March 26, 2023

MASALAH IBU TUNGGAL MENERIMA BANTUAN DARI GEREJA DAN DAKWAAN LEMBAGA ZAKAT TIDAK PERNAH MEMBERIKAN BANTUAN

 



Walaupun video ini video lama, pada pendapat saya, masalah seperti ini juga timbul disebabkan oleh banyak perkara yang mungkin kita terlepas pandang.  Ianya perlu dilihat dari banyak aspek - mengikut pengalaman : 

a) Ada asnaf yang buta huruf dan terpaksa dibantu pengisian borang permohonan serta mencari lampiran yang perlu, (saya ikut membantu secara sukarela tanpa mengenakan sebarang bayaran tidak kira bangsa atau agama - dan Alhamdulillah samada permohonan JKM, bantuan B40 termasuk Lembaga Zakat telah meluluskannya) Cuma yang jadi masalah, ialah untuk mendapatkan pengesahan tempoh mastautin atau pengesahan penghulu/ketua kampung atau wakil rakyat dll, kadangkala sukar kerana kesibukan mereka dengan urusan)

b) Ada asnaf yang tidak mempunyai akses kepada internet jauh sekali tahu menggunakan email atau membuat permohonan secara talian (masalah ini rasanya perlu diambilkira kerana tanpa akses kepada internet akan menyukarkan mereka memahami prosedur yang ditetapkan. Walaupun kerajaan sedang berusaha memastikan liputan internet di kawasan-kawasan tertentu, namun pendidikan asas menggunakan internet juga perlu diambilkira)

c) Ada asnaf yang baru hendak mendaftar, tidak ada duit tambang; jangankan ke Lembaga Zakat/Baitulmal, nak ke masjid pun tak lepas, (saya kadangkala membantu mereka tanpa mengenakan apa-apa bayaran untuk belanja tambang/kad touch and go dan kadangkala menghantar sendiri mereka ke Lembaga Zakat/masjid berdekatan)

d) Ada yang baru termasuk dalam golongan asnaf kerana kehilangan punca pendapatan dan mungkin terasa malu untuk memohon bantuan dari mana-mana pihak. (yang ini juga perlu dikenalpasti) Asnaf jenis ini boleh dikatakan "asnaf sementara" dan boleh dibantu sehingga mereka kembali mendapat pekerjaan atau menjalankan perniagaan. Ini juga memerlukan banyak agensi dan tidak semata-mata Lembaga Zakat,

Masalah bantuan dari gereja kepada orang Islam, pada saya, tidaklah menjadi satu masalah kerana ianya berdasarkan faktor kemanusiaan dan  asalkan tidak mengganggu gugat aqidah si penerima. Namun, ianya berpotensi mencetuskan sangkaan buruk orang ramai yang tidak menyiasat terlebih dahulu dan terus "membantai" Lembaga Zakat. Apapun, saya harap Lembaga Zakat tidaklah mengambil apa-apa tindakan perundangan samada kepada NGO berkenaan mahupun asnaf yang membuat dakwaan.

Seperkara lagi, pihak ketiga yang membantu asnaf kadangkala ada niat lain, mungkin ingin mendapatkan sedikit habuan dari bantuan Lembaga Zakat. Ada yang mengambil bayaran terlebih dahulu dan terus hilang atau meminta lebih bayaran dari asnaf.

Ini yang sukar nak dikawal kecuali jika asnaf berkenaan tahu haknya dan boleh melaporkan kepada pihak berwajib.

Mengenai masjid pula, saya ada mendengar khabar bahawa pihak pengurusan masjid kadang-kadang meletakkan syarat seperti, penerima perlu berdaftar sebagai kariah terlebih dahulu. Ada juga khabar segelintir sehingga menyindir asnaf kerana tidak datang ke masjid. selain dari khabar unsur politik diambilkira sebelum memberikan bantuan. Jika dakwaan-dakwaan ini benar, satu sikap yang perlu dielakkan samasekali. Ada di antara asnaf yang terpaksa berpindah randah kerana kegagalan membayar sewa rumah dan apabila mereka ke tempat baharu, sukar pada mereka untuk berdaftar pula sebagai kariah di kawasan baru.

Apa yang saya cuba ketengahkan di sini ialah pihak pengurusan masjid perlu lebih proaktif mendekati masyarakat dengan lebih banyak turun ke padang. Walaupun saya sedar, LZ, JKM dll ada turun ke padang, mungkin mereka perlu lebih banyak usaha untuk melakukan sesi penerangan dengan bantuan penghulu/ketua kampung dll. Pihak kejiranan juga perlu mengambiltahu apa yang berlaku di sekitar mereka dan memberikan input terus kepada LZ atau menerusi NGO atau penghulu/ketua kampung.

Ini pendapat dhaif dari saya berdasarkan pengalaman saya sendiri.


No comments:

Post a Comment