Pada suatu masa - kira-kira dua bulan sebelum penghujung tahun lalu, sedang saya mencari beberapa perkakasan di DIY, tiba-tiba saya disapa. Saya melihat orang yang menyapa itu adalah kawan lama dalam "construction" yang lama menghilang. Katanya baru sampai "KL". Jadi saya pun mengambil peluang mengajaknya ke gerai berdekatan untuk berbual kisah-kisah lama. Saya dapati sepanjang perbualan, tingkah-lakunya sangat ganjil seperti "kucing hilang anak". Saya juga terkejut apabila dia menyatakan, ibubapanya telah meninggal serta dia juga telah bercerai dengan isterinya yang mendapat hak jagaan anaknya.
Rupanya juga agak cengkung dan pakaiannya seperti tidak terurus. Tidak seperti saya kenali dia hampir 20 tahun yang lalu. Dia tiba-tiba menyebut dengan nada beria-ia mengajak saya bertemu dengan seorang kawannya. Saya mulanya enggan, entah kenapa rasa hati seperti tidak tenteram. Akhirnya dia seperti mendesak, saya terpaksa bersetuju.
Pada masa yang sama dia terus memanggil kawannya menerusi telefon di hadapan saya, terkejut juga. Saya beritahu kawan saya bahawa persetujuan saya bukanlah serta-merta tetapi dia seperti mendesak sangat untuk saya berjumpa kawannya. Semasa dia berbual di telefon, saya terdengar dia "berbahasa istana" dengan orang yang dipanggil. Saya terdiam. Dia seperti gembira sangat jika saya dapat bertemu rakannya. Saya beritahu dia bahawa saya perlu ke tempat lain terlebih dahulu kerana ada temujanji dengan orang lain. Dia terpaksa bersetuju walau saya lihat dia tidak begitu ikhlas. Sekali lihat, nampak macam "takut" sangat.
2 jam kemudian, saya datang ke tempat yang dijanjikan, sebuah restoran yang saya sentiasa kunjungi. Dari jauh saya lihat kawan saya seperti serius sangat berbual-bual dengan gaya hormat kepada "Tengku" ini - siap tunduk-tunduk lagi. Saya juga sempat sekali imbas melihat wajah "Tengku" ini dari jauh yang saya cuba camkan namun - tidak pernah saya jumpa atau kenal.
Beliau berusia lebih kurang lingkungan awal 40-an. Setelah saya bersalam dengan sahabat saya, saya hulurkan tangan pada "Tengku" ini, dia menyambut salam saya tanpa berdiri. (Hati saya berkata : "amboi sombongnya, kerabat-kerabat diraja yang saya kenali termasuk bertalian rapat dengan Duli-Duli YMM Raja-Raja Melayu, pun amat "merendah diri" - sentiasa bangun dan bersalaman dengan saya" termasuk seorang yang bertaraf "Pemerintah").
Saya tidak suka bersangka buruk dengan sesiapa, lalu saya pun duduk di kerusi sisi meja makan. Kawan saya tiba-tiba mencuit mengajak saya ke pintu masuk utama restoran. Dia bertanya samada saya ada duit dalam RM100.00 untuk dia membayar "bil" "santapan" "Tengku" berkenaan. Hati saya "amat panas" tetapi saya tenangkan jiwa saya dan memberitahu kawan saya dengan lembut. "Nanti la dulu, biar dia makan, kita tengok la macamana"
Sepanjang perbualan, "Tengku" berkenaan membahasakan dirinya sebagai "kita" tetapi caranya agak kekok (namanya saya rahsiakan dulu kerana hal ini telah saya laporkan kepada pihak atasan) Dia memesan "makanan barat" tetapi apabila ditanya, cara "masakan", dia seperti terpinga-pinga. Dah la cakap "orang putih" pun "broken" (nak tergelak - tak padan dengan sikapnya yang angkuh) Saya juga memerhatikan "table manners" beliau - seperti kali pertama makan dengan "sudu/garfu/pisau" - bunyi pun bising macam "orang lawan pedang".
Apabila saya meminta kawan saya memesan makanan, saya lihat kawan saya seperti serba-salah. Lalu saya memberikan isyarat untuk dia pesan sahaja - itupun Nasi Goreng Kampung dengan "ais kosong" (sedih aku melihatnya). Saya ketika itu baru sahaja makan di rumah - lalu memesan sirap bandung. (dalam hati, saya berkata, "aku nak lihat permainan manusia ("Tengku") ini)
"Tengku" ini mengaku seorang kerabat sebuah negeri yang memang saya kenali suasananya. (tidak perlulah saya sebut nama negeri berkenaan) Pakaiannya agak kemas walaupun tidak kena padanan jaket "motor" hijau, berbaju kemeja pendek dan seluar panjang berwarna kelabu walaupun berkasut "Bally".
Oleh kerana sepanjang perbualan, dia tidak pernah memanggil saya "Nik" mahupun "nama kedua saya" (Zafri) atau "Encik" - sebaliknya memanggil saya sebagai "awak", saya beranggapan dia ini "miskin budi bahasa dan peradaban" apatah lagi saya lebih tua darinya, lalu saya membalas panggilannya dengan nama "you" (nasib baik tidak gunakan "mung", "aku" macam orang Kelantan) kerana setelah kurang dari 1 minit saya berbicara dengannya, tahulah saya bahawa saya mungkin berhadapan dengan seorang "kerabat palsu". Kawan saya sudah kena "scam" sampai bercerai-berai suami isteri dan habis duitnya "ditipu" oleh "kerabat palsu" sepanjang hanya 2 tahun berkawan.
Setelah hampir 30 minit "Tengku" ini cuba meyakinkan saya supaya memasuki satu skim "rahsia" kononnya "membantu masyarakat" (saya selalu mendengar akan topik ini dijadikan alasan - kisahnya betul, tetapi banyak yang menipu menggunakan kisah ini. Dari cara penerangannya itu juga banyak menimbulkan was-was) Tetapi saya kekal melakonkan watak seorang yang "lurus" dan tidak tahu apa-apa mengenai "skim" ini walaupun 3-4 perkara yang disebutkan itu adalah berlanggaran dengan undang-undang sekuriti/perbankan/kewangan/penggubahan wang haram.
Tanpa dia sedari, saya senyap-senyap whatssap seorang lagi kawan, supaya sengaja memanggil saya menerusi telefon. Taktik saya berjaya.
Kebetulan saya mengenali pemilik restoran berkenaan dan memberikan isyarat padanya yang saya akan bayarkan bil kemudian. Semasa di kaunter, Pemilik Restoran berbisik nak jumpa saya selepas "Tengku" itu "berangkat pulang". Saya mencadangkan satu lokasi lain (Agak-agak saya - mestilah dia nak tanya kes "kerabat" palsu ni)
Saya sekali lagi mengajak rakan saya keluar dan senyap-senyap menghulurkan sedikit duit padanya dan berjanji akan menghubunginya bila dia "free" (kawan saya beritahu bahawa dia menumpang rumah sepupunya lebih kurang 12km dari tempat tinggal saya) Saya juga cuba mendapatkan kad bisnes dari "Tengku" berkenaan tetapi dia membuat alasan bahawa "kadnya" dah habis dan berpesan minta saya beritahu kawan saya jika saya berminat.
Kawan saya segera berjabat salam dengan saya tetapi saya sengaja mengelak dari berjabat salam dengan "Tengku" berkenaan. Kawan saya dilihat "mengiringi" "kerabat" berkenaan ke dalam sebuah kereta model 1992 yang kondisinya agak kurang baik sedikit. Terlihat, garisan kuning pada frem no. plet kereta 4 angka dan juga satu stiker berwarna kuning bertampal di cermin. Kawan saya juga menjadi "supirnya" dan tolong "membuka pintu belakang" "Tengku" berkenaan. Katanya nak ke KLIA nak "berangkat" pulang ke "negerinya". Saya hanya terdiam cuma sangat simpati dengan rakan saya yang mudah "tertipu" dengan permainan "scammer". Mungkin juga kawan saya mengalami tekanan jiwa - kerana ibubapanya sudah tiada - bercerai pula dengan isteri dan tidak dapat bertemu anaknya sudah bertahun-tahun.
Semasa sampai di tempat "pihak berkuasa" bersama pemilik restoran berkenaan, saya telah dikejutkan dengan rekod/fail mereka menunjukkan bahawa "kerabat" berkenaan sudah "femes" rupanya - tidak apa-apa nama gelaran pangkal - dan sudah ada beberapa kes penipuan yang telah dilaporkan terhadap "kerabat ini" terutamanya kaum wanita yang mungkin terperangkap dengan penipuan "scammer playboy antarabangsa ini"
Kena denda pun sudah berkali-kali, kes undang-undang selesai "di luar mahkamah" kerana "menyamar" dan hampir dipenjarakan. Jika tidak ibunya datang membayar saman. Itupun ibunya berkali-kali menegaskan bahawa anaknya, dirinya dan suaminya "bukan kerabat diraja". (kesihan)
"Pihak berkuasa" bertanya pada saya jika saya ingin meneruskan hasrat saya untuk membuat laporan rasmi, lalu saya menggelengkan kepala dan berazam mengeluarkan kawan saya dari "penipuan" "Tengku" ini. (yang kemudiannya berjaya disedarkan) Rakan pemilik restoran juga terdiam seperti telah mendapat jawapan sebenar. Lalu dia berkata pada saya "Encik Nik, tak payah bayar" - saya niat sedekah pada orang yang tidak sihat jiwanya tadi" Mulia sungguh hati pemilik restoran ini.
Kisah ini banyak pengajarannya. Antara lain, jika kita tidak berbangga menjadi "diri sendiri" dan cuba menjadi "orang lain", memilih untuk hidup di alam "ilusi", maka di suatu masa "penipuan" kita akan diketahui, kalau tidak dengan cara aib, mungkin mengadapi risiko perundangan. Jika kita mudah terpedaya dengan muslihat orang lain, maka risikonya mungkin melibatkan rumahtangga kita. Tidaklah salah jika kita mengambil contoh yang baik untuk inspirasi diri tetapi carilah contoh yang berwibawa.
Sehingga hari ini - hampir 4 bulan - saya tidak lagi melihat kelibat "Tengku" ini di kawasan kediaman saya. (saya juga dah berpesan pada rakan-rakan supaya berhati-hati) Saya masih boleh bersabar tanpa kena tipu - kalau orang lain - tak taulah. Rakan saya pun entah ke mana perginya - harap-harap dia selamat.
No comments:
Post a Comment