Sunday, June 19, 2022

GENERASI MUDA- DENGARLAH - PESANAN RINGKAS DARI NIK ZAFRI

 Pada pendapat saya, pada zaman yang serba mencabar ini, setiap rakyat Malaysia memerlukan kelulusan/kelayakan akademik sekurang-kurangnya secara asas untuk bekerja apatah lagi berniaga terutamanya generasi muda.


Jangan terpengaruh dengan kisah-kisah Bill Gates, Zuckerberg atau Elon Musk. Walaupun dikatakan mereka tidak berkelulusan tinggi tetapi mereka telah banyak membuat kajian dan mengambil kursus-kursus tertentu bersabit kemahiran/kompentensi mengenai elektrikal/elektronik, sains komputer, kejuruteraan dll.

Saya sendiri tidak mempunyai kelayakan tinggi (sehingga kini saya menyesal kerana tidak menyambung pelajaran ke peringkat lebih baik) kecuali mempunyai puluhan sijil-sijil kemahiran pelbagai berorientasikan kompetensi, cukup pengalaman bekerja dengan memberanikan diri berkhidmat dengan firma-firma antarabangsa seperti UK, Australia, US dan Jepun demi kemajuan diri.

Saya juga menanam dalam diri saya untuk gemar membaca buku pelbagai sabjek, menyertai kursus, belajar, sanggup menerima kritikan semasa bekerja dan membuat penyelidikan dan pembangunan di samping memberikan ceramah dan latihan di beberapa IPTS dan IPTA selain syarikat-syarikat MNC dan sektor Perkhidmatan Awam - sesetengahnya bertaraf PhD dan MBA.

Zaman saya adalah zaman yang berbeza dengan zaman sekarang - bukan ada PTPTN, tidak banyak IPT Swasta, bukan ada internet, bukan ada "Grab", bukan ada "cashless transaction" dan kemudahan-kemudahan lain - kesukaran-kesukaran inilah menjadikan saya lebih matang dan sanggup menghabiskan duit demi ilmu dan pengalaman.

Mungkin sekarang, generasi terkini tidak melalui kesempitan generasi kami atau generasi terdahulu dari kami - lalu merasakan satu tekanan untuk menimba ilmu dan pengalaman walhal kemudahan sentiasa ada untuk memudahkan kita menjadi masyarakat yang bijak.

Sekarang kita patut bersyukur kerana adanya akses pada internet. Bagi saya, secara peribadi, saya dapat melipatgandakan lagi pengetahuan dan kemahiran dalam bidang yang saya minati.

Saya juga bukan spesi yang fokus kepada satu bidang sahaja, tetapi saya juga membuka hati kepada bidang-bidang lain termasuk teknologi terkini.

No comments:

Post a Comment