![]() |
| Image Source : |
Rasuah tetap rasuah walau bagaimana pun ianya ditafsir. Terdapat banyak trend baru untuk menutup rasuah.
Semua organisasi, entiti perniagaan dll adalah tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) dan mereka perlu berhati-hati dalam mewujudkan prosedur yang perlu meliputi apakah beza di antara apa yang ditafsir sebagai "tidak beretika" dan apa yang ditafsir sebagai "bersalahan dari segi undang-undang".
Apatah lagi syarikat-syarikat dan firma-firma yang benar-benar ikhlas untuk menjadikan amalan urustadbir korporat sebagai panduan mereka.
Kita sudah banyak mendengar mengenai Tanggungjawab Sosial Korporat atau CSR di mana sejumlah derma yang besar jumlahnya diberikan kepada persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan yang berasaskan kebajikan.
Percaya atau tidak, terdapat ahli pertubuhan/persatuan atau kelab sebegini mempunyai perhubungan secara terus dengan orang-orang berpengaruh dalam sesebuah agensi kerajaan mahupun swasta.
Bukan satu kebetulan, setelah mana-mana entiti atau organisasi menyumbangkan derma yang banyak menerusi NGO berasaskan kebajikan, penderma ini akan mendapat habuan projek dsb. hasil daripada 'bantuan' yang diberikan oleh ahli NGO berkenaan.
Rasa saya, sudah sampai masanya, ROS, SSM, Jabatan Audit Negara, SPRM dll melakukan penyiasatan 'forensik' yang terperinci ke atas NGO-NGO yang begitu banyak di negara ini. Sesetengah yang saya temui, tidak segan-silu menyatakan pada saya bahawa tujuan penubuhan NGO ni adalah untuk mendapatkan wang, habuan malah geran pula.
Penyiasatan patut ditumpukan kepada :
a) Kenali siapakah mereka yang menjadi ahli dalam NGO berkenaan atau melantik ahli keluarga yang berkaitan dengan mereka yang mempunyai jawatan dan pengaruh dalam tender dsb.,
b) Penilaian "due diligence" untuk memastikan adakah NGO yang ingin ditubuhkan benar-benar entiti filantrofik (penilaian ini juga perlu diperluaskan kepada entiti pelaburan atau koperasi atau konsortium atau syarikat "berhad" atau syarikat "perdagangan")
c) Sebarang permohonan derma atau pemberian derma yang terlalu besar jumlahnya serta berkaitan pula dengan tender atau kontrak secara generik perlu disiasat
d) Memastikan bahawa terdapat dasar yang jelas sebagai panduan ke atas CSR atau derma yang bertemakan "kebajikan" bagi memastikan :
i) ianya sampai kepada golongan sasaran atau ahli yang memerlukan,
ii) terdapat ketelusan dalam laporan yang dikemukakan termasuk persetujuan dan disclosure sebelum dan selepas wang derma diterima
Paling penting di sini ialah Pegawai-Pegawai yang dilantik menjaga perbendaharaan dan kewangan perlukan tauliah yang secukupnya. Begitu juga dengan para penilai NGO berkenaan.
