Sunday, September 25, 2016

CARA BERFIKIR DAN BERTINDAK YANG BERJAYA - Nik Zafri

Boleh dikatakan kebanyakan dari kita gagal dalam melakukan sesuatu tugasan adalah bukan kerana cara bertindak tetapi CARA BERFIKIR.

Saya pasti ramai yang menggemari topik motivasi termasuklah menyertai kursus, membeli buku, membaca artikel dll yang memaparkan rahsia kejayaan perniagaan mahupun karier.  Ironinya, tidak ramai pula yang berjaya walaupun telah mendapat tip-tip dari mereka yang berpengalaman.

Sebenarnya, kesalahan bukanlah pada bahan motivasi atau teks yang digunakan oleh penceramah atau cara ceramah disampaikan atau apa yang dibaca, tetapi kegagalan itu adalah kerana peserta kursus atau pembaca bahan-bahan itu sendiri.

Ini kerana terdapat sifat ingin berjaya serta-merta dan beranggapan motivasi yang disalurkan kepada mereka adalah berbentuk magis atau “kuasa yang sakti” untuk mengubah hidup mereka dalam tempoh yang cepat.  Ini sebenarnya adalah sifat tergesa-gesa dan juga rasa “tamak” dan bukannya pemikiran positif.

Buktinya, mereka hanya akan bersemangat dalam tempoh jangkamasa yang singkat.  Selalunya mereka akan gagal (malah sentiasa gagal) mengekalkan keadaan “bersemangat” itu.  Bila semangat yang berkobar-kobar itu mula pudar, perasaan mereka akan sedikit demi sedikit diganti dan akhirnya dikuasai dengan “rasa rugi berbelanja untuk kursus motivasi”, “buat habis duit saja”, “tidak menjadi”, “ianya bohong” dsb. Lebih teruk lagi apabila penulis atau penceramah disalahkan – “penceramah itu hanya nak buat duit sahaja”

Tanpa disedari, pemikiran negatif inilah yang akan mencetus gelombang yang dicemari kebencian, irihati, marah, sakit hati, sangka buruk, sentiasa menyalahkan orang lain atas ‘nasib kita, menjadi pasif’ dll. Ini akan menyebabkan golongan ini berada dalam apa yang saya ibaratkan sebagai “causality loop” (1)  – suatu keadaan yang mana golongan ini terperangkap dalam suatu kitaran hidup yang sama, membosankan dan tidak ada jalan keluar. Produktiviti kerja dan keuntungan/pendapatan perniagaan serta urusan anda juga akan terganggu. Anda rasakan seolah-olah anda tidak cukup masa untuk melakukan sesuatu perkara yang penting dalam hidup anda. Disusuli pula dengan rasa tertekan hampir setiap masa, selera makan anda kurang atau terlalu kuat. Lebih teruk lagi, anda dapati anda telah disahkan mengidap penyakit kronik seperti obesiti, darah tinggi, diabetes dll. Dunia anda akan menjadi sempit sehingga hari anda meninggal dunia dengan penuh rasa kekecewaan.

MAHUKAH ANDA MENJADI BEGINI? SAMPAI BILA??


“Apa yang anda fikir, anda akan zahirkan, anda akan menariknya, jika anda tumpukan masa ke atas apa yang anda tidak mahu, maka semuanya yang anda tidak mahukan itu akan dizahirkan, ditarik pada diri anda satu demi satu”

Apa yang dirasakan seperti “kononnya ada perbezaan” dalam kitaran ini – hanyalah suasana yang dicipta dari ilusi dan escapism sekadar hanya mengisi rasa kekosongan dalam diri. Ibaratkan seseorang yang mengubah kedudukan perabut dalam rumah yang sama untuk menghilangkan kebosanan melihat posisi yang sama setiap hari.

(1) A temporal causality loop (or simply causality loop) is a type of phenomenon whereby a specific moment in time repeats itself continually inside an independent fragment of time.

Kaedah terbaik ialah :

1.  Riadah – apabila anda mengesan masalah bakal melanda dan cuba menguasai diri anda :

kosongkan diri anda serta merta, tarik nafas yang panjang – tahan dan hembus perlahan-lahan (3 X berturut-turut), tutup mata perlahan-lahan seolah-olah anda mula tidur, pandang (antara dua kening) seolah-olah anda berada dalam cahaya yang terang bersuhu nyaman, angin sepoi-sepoi bahasa, suasana di tepi pantai yang indah. 


2. Minda -  segera bersangka-baik (yakin yang negatif tidak selamanya negatif dan ianya pasti berubah menjadi positif), banyakkan senyuman, sentiasa berpesepsi positif - mengambil pengajaran dari kegagalan – menjadikannya satu kekuatan untuk bangkit walaupun jatuh berkali-kali, tidak mudah berputus asa, jika anda sakit - anda akan segera makan ubat dan bertemu dengan doktor, anda akan sentiasa berteguh cita-cita – berusaha ikhtiar – berdoa  - dan berserah setelah bekerja keras untuk mencapai cita-cita yang diidamkan.

Anda akan dapati produktiviti, kualiti kerja malah perniagaan yang anda jalankan mendapat keuntungan (samada besar atau kecil). Lebih menakjubkan anda sendiri tetap berperasaan gembira dan ceria.

PADAMKAN DAN LUPAKAN PERKATAAN ‘GAGAL’ DARI KAMUS DAN DIARI HDUP ANDA

Sekiranya anda boleh berada dalam suasana seperti ini dan mengekalkannya sehingga melihat hasil yang memberangsangkan, saya yakin, gelombang yang dicetuskan dari diri anda adalah berbentuk positif, anda mendapat ketenangan menerusi kesabaran, sentiasa gemar mendapatkan nasihat yang baik, sifat ingin mencontohi mereka yang berjaya malah anda akan kagum melihat mereka yang gagal tetapi tidak pernah putus asa dan bangkit dari kejatuhan dsb.


Anda juga akan bersifat lebih menyintai kemanusiaan – tiba-tiba terasa perasaan insaf dalam diri anda, tiba-tiba menjadi seorang penderma yang ikhlas – membantu mereka yang dalam kesempitan – menjaga alam sekitar – dll.

Anda menjadi seorang pemberi yang tidak pernah mahukan sebarang balasan kerana anda yakin bahawa setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Tanpa disedari, anda juga mendapati anda dikelilingi oleh mereka yang berfikiran positif dan sentiasa berjaya.

Malah tidak mengejutkan saya jika anda akan dapat "hidupkan jiwa-jiwa yang mati" dan mereka yang pernah gagal akan menjadikan anda sebagai contoh untuk mereka kembali berjaya!!



Kekuatan minda umpama ini sangatlah luarbiasa – ianya mampu menukar suasana  ‘causality loop’ kepada ‘ripple effects’  (2) yang membuka peluang demi peluang (seolah-olah tidak pernah kehabisan) dan anda rasakan diri anda sangat bertuah, menyedari betapa luasnya dunia ini terbentang menyediakan pelbagai perkara menarik yang masih belum anda terokai.  

(2) the continuing and spreading results of an event or action.

Anda menjadi seorang yang idealistik dan inovatif.  Andalah pelukis hidup anda sendiri. Anda juga menjadi seorang yang suka berterimakasih dan selalu bersyukur kerana dikurniakan akal yang bijak dan matang.  Pola pemikiran ini akan mempengaruhi tindakan anda. Anda sentiasa melihat jalan keluar dari segala masalah anda. 

Objektif anda adalah satu : “UNTUK BERJAYA”




PILIHLAH MASA DEPAN YANG CERAH SEKARANG!

Saturday, September 10, 2016

SEKITAR PERNIAGAAN FRANCAIS - Oleh Nik Zafri

Oleh : Nik Zafri Abdul Majid, Disember, 2005 - Sebarang penyalinan kembali harta intelek ini dalam apa juga bentuk tanpa kebenaran penulis adalah menyalahi undang-undang

Penulis pasti ramai di kalangan usahawan meminati bidang francais. Francais juga merupakan satu bidang yang sangat berpotensi untuk dimajukan. Bagi yang meminati bidang ini, berikut ada beberapa 'tips' yang boleh penulis kongsi bersama kepada bakal usahawan yang ingin terjun ke bidang ini.

1. Mengetahui apa itu francais dengan membaca maklumat mengenainya, memasuki kursus jangkapendek/jangkapanjang, mendapatkan nasihat rakan-rakan yang telah berjaya di bidang francais, mendapatkan khidmat perunding/peguam/akauntan yang trampil/berkelayakan/berpengalaman, dan sebagainya,

2. Mengenalpasti kemampuan (pengetahuan dan kewangan) anda dan prospek menyertai bidang ini, jika terasa masih ada sebarang kekurangan yang nyata pada diri anda, maka berundurlah dengan seberapa segera,

3. Mengetahui bahawa francais adalah merupakan satu sistem edaran dan francaisor merupakan penciptanya di mana francaisi perlu mematuhinya,

4. Mengetahui bahawa perniagaan francais adalah seumpama mendapatkan satu lesen yang perlu dijaga dengan teliti dan tidak melanggar apa-apa undang-undang yang bersabit dengannya sehingga mengakibatkan lesen itu 'mati' atau 'ditarikbalik',

5. Setiap perniagaan yang baik memerlukan wawasan - maka anda juga perlu membuat satu wawasan selama 1 dekad atau lebih halatuju hidup anda (termasuk peribadi) dalam perniagaan ini - wawasan ini perlu dipecahkan (dan diukur/tandaras/benchmarking) kepada dasar, misi, objektif, sasaran, hasil keputusan termasuk PDCA

6. Memastikan jenis perniagaan yang sesuai - samada produk/perkhidmatan - yang akan diniagakan dalam bentuk francais,

7. Mengenalpasti kehendak francisor (yang boleh diibaratkan sebagai pelanggan) atau francaisi; jika anda francaisor; (yang boleh dianggap sebagai 'rakan kongsi' dan bukannya 100% sebagai seorang 'pembekal atau agen')

8. Adakah anda merancang untuk bekerja sendirian atau secara perkongsian samada francaisi atau francisor,

9. Jika anda berminat menjadi seorang francaisor, anda perlu memastikan jenis industri terbaik dan berpotensi dengan melihat 'petunjuk-petunjuk' seperti prestasi saham, operasi, kewangan, jualan/pemasaran dan prospektus syarikat-syarikat seumpamanya/pesaing sebelum melaburkan wang,

10. Jika anda berminat menjadi seorang francaisi, anda perlu mendapatkan maklumat semaksimanya dari francaisor dan :

10.1 menilai maklumat berkenaan,

10.2 jika perlu, anda harus melawat premis dan/atau kilang pengeluaran milik francaisor,

10.3 anda perlu bertanyakan maklumat-maklumat secara langsung dengan francaisor samada menerusi surat-menyurat, e-mail, panggilan telefon atau semasa lawatan ke premis francaisor,

10.4 jika francaisor memiliki laman web/portal, lawatilah laman web/portal berkenaan,

10.5 minta dari francaisor sebarang brosur/flyer/maklumat teknikal produk/perkhidmatan atau Contoh surat/perjanjian Tawaran Francais,

10.6 jika boleh, dapatkan senarai francaisi yang telah beroperasi dengan francaisor dan cuba hubungi francaisi berkenaan bagi mendapatkan maklumat mengenai francaisor dan cara sistem perniagaan ini beroperasi,

10.7 jika boleh, anda perlu mendapatkan aliran proses perniagaan (core-business plan) daripada francaisor (biasanya jika francaisor telah disijilkan dengan ISO 9000),

10.8 cuba dapatkan maklumat mengenai francaisor daripada vendor-vendor/pembekal-pembekal/sab-kontraktor yang membekalkan khidmat/produk kepada francaisor,

10.9 sertai pameran yang bersabit dengan perniagaan francais dan dapatkan seberapa banyak maklumat - tetapi ini belum mencukupi kerana anda masih perlu melawat premis francaisor,

11. Memahami cara pengurusan kewangan yang berkaitan dengan perniagaan francais yang telah anda pilih, (samada francaisi/francaisor)

12. Mengetahui bayaran-bayaran yang perlu seperti royalti, jaminan bank (BA/BG/LC), iklan dan promosi dan sebagainya,

13. Mengetahui jumlah modal yang diperlukan untuk mula beroperasi?

14. Membuat satu rancangan/pelan perniagaan termasuk analisa pasaran dan risiko, ramalan jualan, sumber manusia yang trampil/berkelayakan/berpengalaman, ramalan aliran tunai, untung rugi, dan sebagainya,

15. Sentiasa mempunyai hubungan/komunikasi yang baik antara francaisi dan francaisor. Walaupun sesetengah masalah pasti akan timbul sehingga ke peringkat yang boleh 'mengancam' kontrak/perjanjian atau kepentingan mana-mana pihak, namun komunikasi yang baik boleh menyelesaikan segala masalah yang timbul,

16. Sentiasa mendapatkan khidmat nasihat perunding/akauntan/peguam yang dilantik - ini penting bagi memahami kehendak francaisor/francaisi seperti spesifikasi, perjanjian yang akan ditandatangani dan sebagainya.

Samada anda seorang francaisi atau francaisor, penulis ucapkan :

SELAMAT MAJU JAYA!!m

Wednesday, September 07, 2016

RASUAH "CARA BARU" - Oleh Nik Zafri

Image Source : greece.greekreporter.com

Rasuah tetap rasuah walau bagaimana pun ianya ditafsir. Terdapat banyak trend baru untuk menutup rasuah. 

Semua organisasi, entiti perniagaan dll adalah tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) dan mereka perlu berhati-hati dalam mewujudkan prosedur yang perlu meliputi apakah beza di antara apa yang ditafsir sebagai "tidak beretika" dan apa yang ditafsir sebagai "bersalahan dari segi undang-undang".

Apatah lagi syarikat-syarikat dan firma-firma yang benar-benar ikhlas untuk menjadikan amalan urustadbir korporat sebagai panduan mereka.

Kita sudah banyak mendengar mengenai Tanggungjawab Sosial Korporat atau CSR di mana sejumlah derma yang besar jumlahnya diberikan kepada persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan yang berasaskan kebajikan.

Percaya atau tidak, terdapat ahli pertubuhan/persatuan atau kelab sebegini mempunyai perhubungan secara terus dengan orang-orang berpengaruh dalam sesebuah agensi kerajaan mahupun swasta.

Bukan satu kebetulan, setelah mana-mana entiti atau organisasi menyumbangkan derma yang banyak menerusi NGO berasaskan kebajikan, penderma ini akan mendapat habuan projek dsb. hasil daripada 'bantuan' yang diberikan oleh ahli NGO berkenaan.

Rasa saya, sudah sampai masanya, ROS, SSM, Jabatan Audit Negara, SPRM dll melakukan penyiasatan 'forensik' yang terperinci ke atas NGO-NGO yang begitu banyak di negara ini. Sesetengah yang saya temui, tidak segan-silu menyatakan pada saya bahawa tujuan penubuhan NGO ni adalah untuk mendapatkan wang, habuan malah geran pula.

Penyiasatan patut ditumpukan kepada :

a) Kenali siapakah mereka yang menjadi ahli dalam NGO berkenaan atau melantik ahli keluarga yang berkaitan dengan mereka yang mempunyai jawatan dan pengaruh dalam tender dsb.,

b) Penilaian "due diligence" untuk memastikan adakah NGO yang ingin ditubuhkan benar-benar entiti filantrofik (penilaian ini juga perlu diperluaskan kepada entiti pelaburan atau koperasi atau konsortium atau syarikat "berhad" atau syarikat "perdagangan")

c) Sebarang permohonan derma atau pemberian derma yang terlalu besar jumlahnya serta berkaitan pula dengan tender atau kontrak secara generik perlu disiasat

d) Memastikan bahawa terdapat dasar yang jelas sebagai panduan ke atas CSR atau derma yang bertemakan "kebajikan" bagi memastikan :

i) ianya sampai kepada golongan sasaran atau ahli yang memerlukan,

ii) terdapat ketelusan dalam laporan yang dikemukakan termasuk persetujuan dan disclosure sebelum dan selepas wang derma diterima

Paling penting di sini ialah Pegawai-Pegawai yang dilantik menjaga perbendaharaan dan kewangan perlukan tauliah yang secukupnya. Begitu juga dengan para penilai NGO berkenaan.