Friday, October 16, 2015

PELAN PERNIAGAAN (PITCHING) UNTUK GERAN, MODAL TEROKA DLL.

Mempunyai pelan perniagaan yang baik adalah faktor penentu yang membezakan antara permulaan yang berjaya atau permulaan yang gagal. Kadangkala laporan prestasi perniagaan yang dibentangkan terlalu tebal – tanpa memikirkan psikologi pelabur yang kadangkala tidak mempunyai masa untuk membaca laporan berkenaan. (Tidak kira apakah jenis instrumen yang ingin anda pohon - modal teroka, geran, seed capitalangel funds dll)

Photo Source : http://www.marsdd.com


Memahami kehendak pelabur amat penting kerana mereka adalah pembiaya kepada perniagaan anda. Antara perkara yang perlu diketengahkan ialah beberapa unsur yang penting sahaja yang sering menjadi perhatian kepada pendengar terhadap sesuatu pelan perniagaan.

Pastikan pembentang tahu apa kehendak industri yang diceburi dan mempunyai pandangan yang munasabah terhadap masa depan perniagaan yang ingin diketengahkan. Ini termasuklah strategi pemasaran dan pulangan kewangan.

Pertama, kenali dahulu skop perkhidmatan/produk ICT yang dibekalkan serta persaingannya. Ini adalah antara perkara yang paling penting. Contohnya isu yang boleh disentuh ialah :
  1. berapa besarkah industri ICT berkenaan,
  2. siapakah di antara pesaing yang kuat,
  3. kecepatan pertumbuhan industri ICT berkenaan,
  4. adakah industri ICT berkenaan merupakan perintis (yang unik atau pertama) atau hanya salah satu industri yang telah ramai berkecimpung di dalamnya,
  5. Bahagian pasaran manakah yang dapat menarik perhatian ramai,
Pelabur/Pembiaya biasanya ingin mendengar mengenai pasaran yang tumbuh dengan cepat dengan persaingan yang minima (contohnya segmen pasaran berkadar 20-30%)  Jika persembahan itu hanya mengenai sesuatu perisian – contohnya perisian pemprosesan perkataan (word-processing)‘kononnya’ bagi menggantikan MS-Word, maka persembahan berkenaan sudah pasti akan mencapai jalan yang buntu. Walaupun perisian berkenaan mendapat hakcipta sekalipun (ini juga kadangkala memerlukan kos yang tinggi) tetapi untuk bersaing dalam pasaran yang sering jauh lebih inovatif dan menyediakan pelbagai kelebihan, cadangan perniagaan berkenaan pasti akan mendapat sambutan yang hambar dari bakal pelabur.

Kedua, Model Pulangan dan Perniagaan –Pelabur sangat gemar kepada aliran hasil/keuntungan yang besar dan berulang-ulang serta meninggalkan kesan nilai tambah kepada pelanggan. Perkara yang perlu ditanya antara lain :
  1. apakah jenis perniagaan baru yang bakal dibina dan prospeknya? 
1.1 Perkakasan komputer (contohnya) - Perisian yang boleh dipasang (install) atau dimuatturun? - Sistem yang berinteraksi secara talian sahaja?

Ketiga, Bagaimana cara pembayaran?
  1. Adakah dengan sekali pembelian dan menanti pesanan baru?
  2. Hasil bulanan yang berulang-ulang?
  3. Penggunaan yang perlu dalam kuantiti yang banyak?
  4. Harga berbanding dengan pesaing?
  5. Apakah kelebihan unik yang ingin dipaparkan dalam pasaran atau hanya menggunakan cara yang umum digunakan oleh pengusaha lain?
Keempat, Pelan Pemasaran dan Jualan. Antara perkara-perkara yang perlu diperhatikan ialah strategi :
  1. adakah ianya melibatkan jaringan B2C (perniagaan ke pengguna) atau B2B (perniagaan ke perniagaan)?
  2. Adakah ianya memerlukan pasukan jualan yang besar?
  3. Adakah pemasaran ke pengguna memerlukan pelaburan yang tinggi?
  4. Adakah pemasaran menggunakan enjin carian di talian, e-mel atau melibatkan diri dalam pameran perniagaan?
  5. Adakah perniagaan itu memerlukan media sosial seperti laman web (3D? html? Multimedia?) termasuk elemen video atau lain-lain audio visual dsb)
  6. Bagaimanakah keupayaan bahan-bahan promosi di talian untuk menjadi ‘viral’
Biasanya konsep jualan secara ‘perniagaan ke perniagaan’ adalah lebih murah untuk dilancarkan berbanding dengan konsep pemasaran ‘perniagaan ke pengguna’. Namun B2B biasanya sukar mendapat perhatian pelabur kerana ianya mempunyai kitaran jualan yang lebih lama (dan banyak modal diperlukan). Namun ini tidak bermakna B2B tidak mampu bertahan, cuma ianya memerlukan modal terutamanya di pihak pembentang pelan perniagaan. (perniagaan yang telah berjaya tetapi memerlukan modal yang lebih untuk membesarkan lagi perniagaan berkenaan)

Tetapi ‘perniagaan ke pengguna’ jika diatur strategi yang betul, maka jualan di talian berpotensi untuk mendapatkan keuntungan yang besar. Jika ianya berjaya dalam tempoh beberapa tahun (dari segi keuntungan dan penjenamaan) mungkin periklanan dan promosi dapat dikembangkan lagi ke radio, television mahupun bahan bercetak.

Apapun, pastikan pelaburan ke atas pemasaran dan jualan adalah munasabah bagi mencapai skel pulangan yang disasarkan. Paling penting, anda dapat ‘membaca fikiran’ pelabur mengenai apa yang sebenarnya mereka mahu dari anda.

Akhir sekali - yang keempat - Pasukan Pengurusan

Ini juga penting – siapakah ahli-ahli atau kakitangan-kakitangan yang akan menguruskan perniagaan berkenaan. Yang penting adalah pengalaman mereka dan bukti bahawa mereka mahir mengurus dan mentadbir perniagaan mahupun teknikal yang dicadangkan. Perkara ini kadangkala dipandang remeh oleh pembentang kerana terlalu ingin berjimat kos daripada memikirkan pelaburan di atas pekerja atau kakitangan yang kompetan.