Kajian : Nik Zafri (Januari, 2006)
Artikel berikut adalah kajian bebas pengarang dan bukanlah bertujuan untuk memberikan khidmat nasihat kepada pembaca. Pembaca digalakkan menghubungi pihak yang berwajib seperti institusi perbankan dan kewangan.
Mungkin ramai yang pernah mendengar frasa 'money laundering' atau 'pengubahan wang haram'. Aktiviti money laundering ini telah mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada sesebuah negara. Setakat ini Malaysia mengamalkan dasar yang agak ketat bagi menangani masalah ini.
Money laundering dikatakan amat popular di peringkat antarabangsa terutamanya golongan pengedar-pengedar dadah, kongsi gelap, bookie, pemain judi dan kumpulan pengganas. Walaupun terdapat pelbagai undang-undang telah digubal di seluruh dunia, namun money laundering, amat sukar di kawal.
Dikatakan money laundering berasal daripada satu kumpulan kongsi gelap/penjenayah antarabangsa yang menggunakan duit hasil kegiatan jenayah untuk 'dilaburkan' atau 'dibersihkan' dengan menggunakan jalan-jalan yang berlandaskan undang-undang seperti menerusi aktiviti pembelian saham, stok, derivatif, futures, FOREX, insurans, pembiayaan industri/projek yang besar, terlibat dalam sektor hartanah dan sebagainya.
Malah 'penjenayah' menggunakan wang berkenaan bagi 'membiayai' dan 'membeli' bank-bank tertentu (yang bermasalah) untuk diniagakan menerusi pelbagai skim pinjaman berfaedah termasuk segala potongan cukai bagi 'membersihkan' wang berkenaan dan mengikut 'lunas undang-undang' serta dianggap sebagai 'revenue'/hasil. - ('doing the wrong thing the right way' - pengarang)
Suatu laporan antarabangsa pernah dikeluarkan yang menyatakan bahawa kewujudan Money Laundering juga menandakan wujudnya operasi jenayah terancang (organised crime) dan transnasional.
Money Laundering juga amat cepat evolusinya di mana penjenayah amat bijak menyesuaikan teknik 'pelaburan' agar sukar dikesan tambahan pula dengan adanya teknologi ICT yang mempermudah dan mempercepatkan lagi urusan 'perniagaan'. Apabila banyak keuntungan diperolehi dari 'pelaburan' money laundering, maka dengan sendirinya kekemungkinan 'keuntungan' ini digunakan pula untuk membiayai aktiviti jenayah adalah tinggi.
