Sunday, June 07, 2015

TEKANAN JIWA BOLEH MELANDA SESIAPA SAHAJA - Nik Zafri berkongsi pengalaman

Tekanan jiwa boleh melanda sesiapa sahaja tidak kira usia, bangsa dan keturunan.

Seseorang yang mengalami tekanan jiwa kadangkala perawakan luarannya seperti orang yang normal tetapi pandai menyembunyikan masalah jiwa yang sangat berat dalam hatinya.

Ada yang sampai menyangka masalah seperti ini akan ‘pergi begitu sahaja’.

Mengikut pengalaman saya, antara tanda-tanda tekanan jiwa ialah :

1) Terlalu kerap berbicara mengenai sesuatu kejayaan sendiri yang telah lama berlalu. Biasanya 'kisah kejayaan sendiri' ini terbit semasa seseorang itu mengalami kesempitan hidup.

Orang seperti ini akan ‘beralih’ dari satu kawan ke satu kawan yang lain – akhirnya kitaran cerita yang sama akan didengari berulang-kali oleh kawan-kawan yang pernah mendengar kisah berkenaan.

Seorang kawan yang baik biasanya akan berdiam diri kerana tidak mahu memalukan rakannya itu.

Bagi saya, ianya satu sikap yang kurang tepat. Wajarnya seorang rakan yang baik itulah yang perlu menegur secara ‘perlahan-lahan’ dan berperingkat-peringkat supaya rakannya yang terkena 'tekanan jiwa' itu sedar akan REALITI di sekelilingnya dan meneruskan kehidupan.

2) Telah berusaha keras tetapi gagal mencapai kejayaan yang diidam-idamkan – yang mungkin mampu mengubah kehidupannya.

Maka orang ini ada yang gagal keluar dari dunia kegagalannya atau tidak akan mengaku bahawa dia sudah gagal kerana masih menyangka dia akan berjaya.

Berlakulah ‘waiting’ game’ (penantian) dalam tempoh yang sangat panjang. Akhirnya orang ini akan memberitahu kawan-kawannya yang lain bahawa ‘dia telah berjaya’.

Sindrom yang mirip kepada kisah di atas ialah - manusia yang kecewa kerana gagal dalam mencapai cita-citanya kerana kesilapannya sendiri.

Manusia seperti ini tiada pendirian tetap – semuanya nampak  ‘tidak betul’ bagi mereka - tetapi hakikatnya mereka sendiri tidak ada matlamat hidup.

Apabila ada rakan mereka yang mula menunjukkan tanda kejayaan, mereka memberikan sejuta alasan yang menakutkan supaya rakan ini jauhkan diri dari kemenangan.

Manusia kecewa ini mempunyai sifat dengki (walaupun tidak diakuinya) dengan kejayaan mereka dan mahu rakan mereka 'jadi seperti mereka' - kecewa dan pemalas.

(Jika anda melihat ketam di dalam lubang pasir di tepi pantai, anda akan terlihat jika ada rakan ketamnya ingin keluar dari lubang pasir berkenaan, ketam di bawahnya akan menarik rakannya supaya tertimbus ke dalam lubang pasir berkenaan. Inilah analogi kepada manusia yang kecewa ini - tidak mahu rakan lain 'naik ke atas' dan menariknya kembali supaya tertimbus bersamanya) 

3) Kenangan lalu seperti dipukul, didera, dibuli atau lain-lain trauma yang menyakitkan. Tubuh badan yang dipukul, didera dan dibuli mungkin dapat dipulihkan dengan cepat tetapi apa yang lebih menyakitkan adalah perasaan dan hati mangsa berkenaan yang tidak dikendalikan dengan cara yang betul.

Tanda penyakit jiwa pada dirinya ialah antara lain : untuk 'menghilangkan trauma' berkenaan, dia akan ‘mencipta’ kisah lalu secara kontra bagi ‘menyedapkan’ hatinya – contohnya dialah yang sebenarnya memukul, membuli, mendera dll. (hakikatnya dia tidak mahu mengaku bahawa dialah sebenarnya yang dipukul, didera dan dibuli)

4) Terdapat unsur ‘rejection’ (penolakan, penafian) dalam sesuatu harapan atau permohonan. Ini biasanya berlaku bagi seseorang yang terlalu fanatik/taksub terhadap seseorang idolanya.

Dia akan ‘mencipta ilusi’ seolah-olah dia ada ‘hubungan yang akrab’ dengan idolanya itu. Lalu dia akan meyakinkan dirinya sendiri bahawa ‘idolanya itu adalah ‘perfect’ (sempurna) mengikut imaginasinya sendiri. Dia juga akan 'gembira' dapat ‘hidup dalam alam khayalan’ bersama idolanya.

Hinggalah pada suatu ketika, dia mendapati idolanya tidak seperti dia sangkakan atau idolanya tidak melayaninya (seperti dalam alam khayalannya), maka dia akan memberontak, memfitnah dan mengganggu idolanya itu.

Kes-kes seperti ini berlaku dalam salah faham mengenai sesuatu hubungan baik yang disangka suatu percintaan, minat terhadap seseorang artis yang berlebih-lebihan, terlalu taksub kepada seseorang pemimpin agama atau sesuatu ajaran atau taksub terhadap bomoh/dukun dll.