Sumber berita/khabar ini terpaksa saya rahsiakan demi kepentingan dan menjaga maruah guru-guru, ibubapa dan murid-murid.
Sekolah-Sekolah di Kelantan termasuk di Kota Bharu kebanyakannya telah pun dibuka pada 11 Januari, 2015 (Ahad) – yakni sehari sebelum Selangor - kecuali beberapa buah sekolah (dipercayai 3-4 buah sahaja yang belum dibuka - di kawasan seperti Manek Urai dll)
Kebanyakan sekolah telah menjadi bekas pusat pemindahan sehingga ribuan orang. Setelah banjir surut, banyak guru-guru terpaksa kembali bertugas walaupun dalam keadaan banjir yang masih segar dalam ingatan.
Apa yang menyedihkan ialah, sesetengah keadaan sekolah yang menjadi pusat pemindahan belum dibersihkan malah :
a) berbau busuk kerana tompokan-tompokan najis di merata tempat samada air kecil dan air besar dan tandas-tandas yang busuk serta belum dipam, (ada yang dibungkus dengan kertas suratkhabar dan plastik)
b) bilik-bilik darjah yang telah dimusnahkan dindingnya
c) meja dan kerusi bertaburan - banyak yang hilang
d) bilik guru ada almari diselongkar dan dokumen juga bertaburan
e) kehilangan sesetengah harta sekolah
f) Selut dan lumpur di merata-rata tempat.
g) Sampah sarap yang bertaburan
dan banyak lagi kerosakan yang berlaku.
Ini disebabkan semasa banjir melanda, bekalan elektrik dan air telah terputus di kawasan-kawasan berkenaan – maka mereka yang berlindung di pusat pemindahan terutamanya anak-anak kecil terpaksa membuang air kecil dan besar di kawasan-kawasan dalam perkarangan sekolah. (Tidak dapat saya bayangkan bagaimana kaum Hawa yang berada di tempat berkenaan membuang air besar/kecil)
Kakitangan dan tenaga pengajar yang bertugas terpaksa mengeluarkan sedikit belanja untuk meminta sukarelawan-sukarelawan yang baru tamat bertugas, belum pun penat berehat, datang untuk membersihkan kawasan sekolah.
Lebih mengejutkan, murid-murid/pelajar-pelajar terpaksa ke sekolah. Ramai yang masih belum mendapat bantuan - ada yang tidak mempunyai buku teks dan buku latihan, memakai baju sukan kerana tiada duit membeli pakaian sekolah dsb.
Ada juga yang membawa plastik penuh sarat dengan buku. (nota : terdapat foto di internet, murid sekolah membawa 'kotak' untuk mengisi buku-buku sekolah - ianya adalah foto seorang murid di Sabah - dan tiada kaitannya dengan banjir)
Paling sulit ialah murid-murid Tahun 1 yang mana dapat dilihat segelintir ibubapa yang datang ada yang menangis walau ditenteramkan oleh guru-guru - kerana ketiadaan wang untuk membeli apa yang diperlukan oleh anak-anak mereka yang mula bersekolah dalam keadaan yang agar perit. Bayangkan perasaan anak-anak kecil ketika itu - bersekolah pada hari pertama dan mendapati sekolah mereka rosak - ibubapa pula dalam keadaan bersedih dsb. (Saya memuji tindakan professional tenaga pengajar, guru besar yang berjaya mengawal keadaan)
Apa yang menghairankan - didakwa pihak berkuasa negeri memaklumkan bahawa guru-guru besar dan pengetua tidak memohon lanjutan tempoh.
Bagaimana mungkin guru-guru besar dan pengetua ingin memohon lanjutan tempoh apabila :
a) notis/arahan yang diberikan kepada mereka sangat pendek malah notis berkenaan tidak menyebut mengenai tempoh lanjutan,
b) guru-guru besar dan pengetua termasuk tenaga pengajar/kakitangan baru ketika banjir sedang sibuk menguruskan hal anak-anak dan keluarga masing-masing termasuk harta mereka yang musnah - malah ada yang tidak menerima sebarang notis - diberitahu oleh rakan-rakan mereka yang menerimanya,
Malah di tengah-tengah kesibukan ini, ada tenaga pengajar terpaksa pula menduduki peperiksaan pula selama beberapa hari dalam keadaan getir kerana - demi ‘mematuhi arahan’. Mereka tidak dapat menumpukan konsentrasi terhadap peperiksaan berkenaan.
Mereka menyatakan bahawa Kelantan adalah yang paling teruk dilanda banjir – tetapi di negeri-negeri lain di utara Semenanjung, mendapat tempoh lanjutan walaupun banjir yang melanda di negeri-negeri ini tidaklah seteruk mana berbanding negeri Kelantan.
Ada yang mendakwa, pegawai atasan pada hari pertama persekolahan- telah datang memeriksa dan memantau untuk memastikan guru-guru/kakitangan-kakitangan ini datang bekerja.
Keluhan-keluhan ini telah disampaikan kepada saya dan saya amat berharap :
Jika benarlah kisah ini, saya meminta agar pihak berwajib terutamanya Kementerian Pelajaran dapatlah menyiasat kesahihan khabar ini.
