Apapun yang berlaku, suka atau tidak, DYMM Raja-Raja Melayu perlu dipertahankan. Institusi beraja tidak boleh diheret ke dalam kancah politik tetapi sebagaimanapemimpin-pemimpin diberikan hak untuk membuat teguran yang berhemah, DYMM Raja-Raja Melayu juga BERHAK untuk bertitah dan bersuara menegur pemimpin-pemimpin dari mana-mana pihak atau parti siasah sekalipun jika dilihat ianya adalah untuk kebaikan rakyat jelata.
Harap faham bahawa, DYMM Raja-Raja Melayu tidak boleh dilihat sebagai terikat atau terpengaruh untuk menyetujui sebarang penerangan dari mana-mana pihak kerana sebarang keputusan terakhir adalah di atas pertimbangan mereka sendiri. Sebarang perselisihan pendapat perlu dicari jalan penyelesaian terbaik agar tidak menjadi kemelut yang berpanjangan.
Saya secara peribadi, tidak bersetuju, cara teguran yang boleh mengaibkan maruah mereka kerana jarang atau tidak ada langsung saya mendengar pada era ini, DYMM Raja-Raja Melayu mengaibkan sebarang pihak dalam teguran mereka.
Sistem beraja telah wujud di Nusantara berabad yang lalu dengan perlembagaan dan undang-undang tubuh tersendiri yang masih konsisten malah menjadi rujukan pula kepada Perlembagaan Negara yang kita semua kenali masa kini.
Kesetiaan pada Raja dan Negara adalah satu perjanjian keramat Rukun Negara. Para penasihat termasuk pihak berkuasa Islam, Ulama dan Mufti perlu memainkan peranan penting dan adil dalam memberikan fatwa mahupun pandangan mengenai perkara ini tanpa sebarang ketakutan atau tekanan politik.
Agama perlu ditegakkan, Raja Berpelembagaan wajib dihormati, perlembagaan wajib dilindungi serta demokrasi perlu diteruskan.
Sebarang usaha untuk menjatuhkan Raja-Raja Melayu perlu ditentang.

