
Ruangan Korporat - 08/11/2011
Bakal cipta sejarah baharu
Oleh SARAH NADLIN ROHIM
bisnes@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 7 Nov. - Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dipercayai bakal menjadi pengeluar kolagen dan gelatin halal pertama dunia apabila menjadi pemegang ekuiti terbesar bagi sebuah syarikat yang baharu ditubuhkan.
PNB dikatakan bakal memegang 70 peratus kepentingan dalam syarikat itu.
Menurut sumber, kedua-dua pihak sedang melakukan perbincangan dan keputusan mengenainya bakal diketahui menjelang akhir tahun ini.
''Lebihan pegangan kepentingan pula adalah kepada pemilik kepakaran pengeluaran produk kolagen dan gelatin.
''PNB merupakan calon pilihan untuk memegang kepentingan terbesar itu, tetapi keputusan akhir akan hanya diketahui menjelang akhir tahun ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Tambah sumber itu, melalui pemilikan itu, bakal menjadikan Malaysia sebagai negara Islam pertama yang mengeluarkan kolagen dan gelatin dengan pensijilan halal.
''Setakat ini, hanya 0.7 peratus gelatin di pasaran dibuat menggunakan sumber halal dan tiada lagi negara Islam meneroka untuk pasaran tersebut.
''Malaysia akan menjadi negara Islam pertama yang berbuat demikian, ia sejajar dengan matlamat negara untuk menjadi hab halal global,'' jelasnya.
Pada masa ini, pengeluaran gelatin global adalah sekitar 400,000 tan yang bernilai AS$2.2 bilion (RM6.82 bilion).
Gelatin merupakan bahan penting yang banyak digunakan dalam pembuatan makanan, perubatan, kosmetik dan sebagainya.
Potensi pasaran bagi produk itu terutama di Timur Tengah adalah sangat besar dan ia baik untuk perdagangan negara.
----------------------------
Tujuan saya memaparkan artikel ini ialah kerana ada beberapa perkara yang saya rasa perlukan penjelasan.
a. Berita ini menggunakan perkataan 'sumber', 'dipercayai', 'dikatakan' dsb. seolah-olah perkara ini belum dipastikan.
b. Tidak diberitahu 'sumber' berkenaan.
c. Selalunya kenyataan akhbar seperti ini akan dikeluarkan oleh pegawai rasmi (spt. Ahli Lembaga Pengarah) daripada PNB
d. Biasanya sasaran perniagaan sebesar ini akan menjadi sebahagian dari KPI PNB.
e. Seolah-olah ada pihak lain yang ingin mencadangkan penglibatan PNB dalam industri & kolagen gelatin halal.
Walaubagaimanapun, jika berita ini benar, maka banyak manfaat akan diperolehi. Cuma saya berharap ada kenyataan rasmi dari PNB mengenai perkara ini.